NAS-T TERPILIH UNTUK MENGHIDUPKAN WATAK SUPERHERO IKONIK MALAYSIA, KELUANG MAN!


Teka-teki siapakah pelakon yang akan membawakan watak superhero ikonik Malaysia, KELUANG MAN akhirnya terjawab apabila bintang aksi, Nas Muammar Zar atau dikenali sebagai Nas-T dipilih untuk memegang peranan itu. Muncul di atas pentas majlis pelancaran dengan menanggalkan topeng KELUANG MAN, Nas bakal digandingkan dengan pelakon utama yang lain seperti Remy Ishak, Anwaar Beg Moghal dan Datuk Rosyam Nor.

Selain itu, Astro Shaw turut mengumumkan rangka sesi penggambaran, sasaran tarikh tayangan, serta perancangan untuk produksi dan pemasaran bagi universe adiwira tempatan terbesar.

KELUANG MAN merupakan siri animasi popular yang diperkenalkan pada akhir era 1990-an dan berjaya mencipta fenomena tersendiri serta menjadi kebanggaan Malaysia. Menariknya, berdasarkan pencarian kata kunci di Google Trends, KELUANG MAN masih dicari sejak tahun 2004 sehingga kini dan diperkatakan. Di platform TikTok, menerusi #KeluangMan telah mencatat 20 juta tontonan, manakala video berkaitan KELUANG MAN di YouTube menerima 8 juta tontonan. Begitu juga dengan koleksi lukisan peminat (Fan Art) yang banyak dihasilkan. Lebih membanggakan, Google kenang pencipta KELUANG MAN, Allahyarham Kamn Ismail menerusi Google Doodle khas.

Versi filem bakal diarahkan oleh pencipta bersama trilogi filem Polis Evo serta merupakan pengarah dan showrunner drama premium popular Projek: High Council dan Projek: Anchor SPM, Anwari Ashraf yang turut bertindak sebagai penulis skrip. Astro Shaw kini dalam fasa pra-produksi dan sesi penggambaran dijangka bermula April tahun hadapan.

KELUANG MAN memaparkan kisah tentang seorang pesakit psikiatri yang menjadi adiwira bertopeng dalam membenteras jenayah. Selain watak KELUANG MAN, Remy Ishak terpilih membawakan watak antagonis bernama Shamsir, Anwaar Beg Moghal sebagai Inspektor Sahab dan Datuk Rosyam Nor sebagai Ahmad.


Menurut Penerbit Eksekutif KELUANG MAN merangkap Naib Presiden, Ketua Astro Shaw & Perniagaan Melayu Nusantara , Raja Jastina Raja Arshad, “Selepas Astro Shaw mengumumkan penghasilan filem KELUANG MAN, pelbagai reaksi positif diterima daripada peminat serta menerima liputan meluas. Ini membuktikan KELUANG MAN masih relevan dan mempunyai impak yang sangat besar kepada penonton Malaysia. Dalam masa yang sama, kami mahu memperkenalkan semula IP animasi kebanggaan negara kita melalui live action movie kepada generasi baru; dan tentunya mengangkat karya ini ke tahap yang lebih tinggi, dengan skala yang lebih besar.”

“Antara yang menjadi tumpuan tentunya pemegang watak KELUANG MAN dan selepas menjalankan sesi uji bakat, Astro Shaw mencapai kata sepakat untuk memilih Nas Muammar Zar kerana ciri-ciri dan dedikasi beliau yang menepati kriteria karakter. Kami percaya Nas mampu membawakan kelainan dalam menghidupkan watak animasi kegemaran ramai ini. Kami ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua yang hadir bagi sesi uji bakat dan kami akui semuanya hebat-hebat belaka. Tidak ketinggalan, kami turut membariskan gandingan pelakon berkarisma tanah air seperti Remy Ishak, Anwaar Beg Moghal dan Datuk Rosyam Nor. Filem KELUANG MAN dijangka menemui penonton pada tahun 2025. Kami sedang merangka strategi dalam menghasilkan universe terbesar KELUANG MAN dan mengalu-alukan peluang kepada pelbagai pihak untuk bekerjasama dalam francais ini. ”

Pengarah dan Penulis Skrip filem KELUANG MAN, Anwari Ashraf pula menjelaskan; “Setelah menimbang-tara lebih beratus calon termasuk pelakon berpengalaman dan bakat baru, jelas pada kami bahawa Nas Muammar Zar adalah KELUANG MAN yang kami cari. Aura lahiriah Nas sebagai seorang individu persis dan jitu dengan jiwa Borhan, sehingga kami tidak teragak-agak memilih beliau.”

“Buat masa ini, kami masih dalam proses pra produksi. Proses penjadualan, pencarian lokasi, dan memapan cerita sedang berjalan. Seiring itu, proses yang paling mendebarkan bagi kami adalah proses mereka-bentuk kostum KELUANG MAN turut berjalan. Kami sedar akan tanggungjawab besar yang digalas dalam memenuhi ekspektasi peminat animasi ikonik ini; jadi kami sentiasa berwaspada dalam melaksanakan visi kreatif kami.”

Sesi uji bakat tempoh hari mempunyai 3 fasa. Fasa pertama dibuka pada 28 Julai sehingga 28 Ogos lalu. Calon perlu menghantar video tentang diri dan personaliti mereka. Fasa kedua adalah calon yang terpilih dipanggil untuk uji bakat secara fizikal. Fasa ketiga, daripada 10 bakat yang telah disenarai pendek, hanya seorang dipilih oleh produksi untuk membawa watak KELUANG MAN.

Sementara menantikan filem KELUANG MAN ditayangkan, peminat setia serta penonton generasi baru boleh menonton siri animasi popular ini di www.keluangman.com sekarang bermula dari musim pertama sehingga musim ketiga.

Nantikan filem adiwira ikonik Malaysia KELUANG MAN yang akan menemui penonton di pawagam tidak lama lagi. Gunakan #KeluangMan bagi berkongsi pendapat mahupun keterujaan anda tentang filem ini. Ikuti perkembangan terbaru serta klip-klip menarik KELUANG MAN di TikTok, Instagram, X, Facebook Astro Shaw dan Astro Gempak.

Comments

Popular posts from this blog

ASTRO MENAMPILKAN DRAMA ‘TERNYATA SEBUAH BAHAGIA’, MEMAPARKAN KISAH KETABAHAN SUAMI DAN ISTERI.

PESTA SEMBILAN MAHARAJA DEWA DAN AMALAN VEGETARIAN

LOSYEN DAILY MOISTURIZING ENERGIZING AVEENO® – STANDARD BAHARU DALAM PENGHIDRATAN KULIT DAN PENYEGARAN DERIA!