COCA-COLA LANCAR BOTOL PLASTIK PET 100% KITAR SEMULA BUAT JULUNG KALINYA DI MALAYSIA
Sistem Coca-Cola di Malaysia mengorak langkah penting ke arah mencapai ekonomi kitaran pembungkusan plastik, dengan melancarkan botol Coca-Cola® Rasa Asli dan Coca-Cola® Zero Sugar 500ml yang diperbuat daripada plastik 100% kitar semula (tidak termasuk penutup dan label) di seluruh negara.
Pada masa ini, Coca-Cola menawarkan sekurang-kurangnya satu jenama yang diperbuat daripada botol plastik 100% kitar semula di lebih 40 negara di seluruh dunia, termasuk Indonesia, Myanmar, Vietnam, Thailand, Singapura, dan kini di Malaysia.
Botol plastik PET 100% kitar semula itu mengekalkan mutu tinggi yang diharapkan oleh pengguna, serta mematuhi piawaian global The Coca-Cola Company yang ketat terhadap pembungkusan botol plastik gred makanan dan 100% kitar semula. Selain itu, ia juga memperoleh pengiktirafan Halal daripada Badan Pemeriksa Halal yang diiktiraf oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).
Kirsten van Zandwijk, Sustainability & Partnerships Director, ASEAN & South Pacific, The Coca-Cola Company berkata, “Menyedari betapa mendesak dan rumit cabaran sisa plastik di Malaysia, kami mengiktiraf perlunya usaha kerjasama bagi menangani isu ini. Selaras dengan komitmen kami untuk membina ekonomi kitaran di negara ini, kami telah memperkenalkan reka bentuk pembungkusan yang inovatif seperti botol plastik 100% kitar semula baharu kami. Ini selari dengan falsafah jenama kami ‘Dari Botol Jadi Botol’ yang menekankan bahawa setiap botol mempunyai ‘hayat kedua’. Malah itu, kami juga sedang memperluaskan program pengumpulan dan kitar semula, serta mengeratkan kerjasama dengan pihak-pihak berkepentingan dan industri. Dengan memanfaatkan pengaruh dan jangkauan jenama Coca-Cola, kami melibatkan pengguna Malaysia secara aktif dalam inisiatif kitar semula, bagi membudayakan konsep bahawa setiap botol mampu ditransformasi dan menyumbang kepada masa depan mampan.
Inisiatif ini selaras dengan strategi pembungkusan mampan global The Coca-Cola Company, dengan sasaran untuk menggunakan sekurang-kurangnya 50% kandungan kitar semula dalam pembungkusannya menjelang tahun 2030 di seluruh dunia.
“Pelancaran botol plastik 100% kitar semula di Malaysia menonjolkan komitmen tidak berbelah bahagi kami terhadap kemampanan alam sekitar. Menyedari peranan penting yang dimainkan oleh perniagaan dalam menjana perubahan positif, kami kekal berdedikasi untuk menyokong dan memacu pengumpulan pembungkusan pasca pengguna. Matlamat kami adalah untuk terus menggunakan bahan kitar semula, dan melakukan sumbangan ketara ke arah objektif alam sekitar Malaysia. Dengan melibatkan diri secara aktif dalam amalan mampan dan membudayakan ekonomi kitaran, kami berusaha memberi sumbangan yang berterusan ke arah masa depan yang lebih mampan,” kata Khairul Anwar Ab. Gahani, Public Affairs, Communications & Sustainability Director, Malaysia-Singapore-Brunei, Coca-Cola Bottlers Malaysia.
Selain itu, Coca-Cola juga berusaha memacu inovasi dalam pembungkusan serta mengembangkan kapasiti pengumpulan dan kitar semula di Malaysia dengan kerjasama Coca-Cola Bottlers (Malaysia) Sdn Bhd, iaitu unit pembotolannya. Botol plastik 100% kitar semula menjalani pemprosesan dan pembuatan secara tempatan di kilang pembotolan Coca-Cola di Bandar Enstek, Negeri Sembilan, sekali gus menonjolkan kebanggaannya sebagai sebuah entiti Malaysia. Komitmen ini bertepatan dengan dedikasi Coca-Cola terhadap kemampanan, dan menyerlahkan bahawa botol-botol ini ‘dibuat di Malaysia, oleh rakyat Malaysia, untuk rakyat Malaysia’, serta menghidupkan slogan ‘Dari Botol Jadi Botol’ yang melambangkan perjalanan transformatif setiap botol.
KEMPEN ‘RECYCLE ME!’ COCA-COLA MALAYSIA
Sebelum pelancaran botol plastik PET 100% kitar semula, Coca-Cola Malaysia telah membawa kembali kempen ‘Recycle Me!’ untuk tahun kedua berturut-turut, bagi meningkatkan kesedaran serta memacu tindakan berhubung pengasingan dan kitar semula plastik.
Inisiatif kemampanan itu yang dilancarkan dengan kerjasama AEON Malaysia, Hiroyuki Industries, dan Trash4Cash, bertujuan memupuk kesedaran masyarakat umum tentang nilai kitar semula.
Menerusi kempen itu, pengguna digalakkan mengumpul botol PET bagi menebus ganjaran tunai berdasarkan kuantiti sumbangan mereka. Bagi setiap 10 botol yang disumbangkan, peserta akan layak menebus insentif beli balik Trash4Cash sebanyak RM0.10 serta barangan Coca-Cola. Malah, pengguna kini boleh mengimbas kod QR pada ‘Smart Recycle Bin’ untuk memberikan butiran mereka sekali gus menjamin pengalaman yang lancar dan cekap.
Tahun ini, Coca-Cola Malaysia dan rakan-rakan kongsinya telah memperluaskan usaha mereka ke 15 cawangan AEON di lima negeri, iaitu Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor. Semua botol yang dikumpul kemudiannya akan diangkut ke syarikat kitar semula yang terkemuka, Hiroyuki Industries, untuk diproses menjadi botol-botol baharu pada peringkat seterusnya.
Untuk maklumat lanjut tentang inisiatif kemampanan dan pengumuman masa depan Coca-Cola Malaysia, sila layari halaman Facebook, Instagram, atau laman web rasmi Coca-Cola Malaysia.
Comments
Post a Comment