BAGAIMANA ANDA INGIN NIKMATI KOPI ANDA PADA 5 DISEMBER, HARI KOPI TURKI SEDUNIA?


Dengan aroma semerbaknya yang memenuhi ruang kediaman, pejabat, kafe dan jalanan, kopi Turki merupakan sebahagian penting dalam tradisi Turki dan salah satu pengalaman yang paling luar biasa dan menyenangkan ketika kunjungan anda ke Türkiye. Di Türkiye, kopi Turki ialah pengantara sosial yang menyatukan orang ramai sekali gus membantu mereka bersosial. Kopi memainkan peranan pada mesyuarat penting dan situasi sosial yang mana ia menjadi kebiasaan untuk bertanyakan soalan serupa semasa perbualan selepas makan, iaitu: “Bagaimana anda ingin nikmati kopi anda?”. Rasa unik dan nilai tradisional ini membolehkan penyertaan kopi Turki dalam Senarai Warisan Budaya Tidak Ketara UNESCO pada tahun 2013. Sejak itu, 5 Disember iaitu tarikh penyertaan Kopi Turki dalam senarai UNESCO mula diraikan sebagai ‘Hari Kopi Turki Sedunia’.

Warisan Budaya Berabad Lamanya

Kopi Turki menjadi nadi pada kehidupan sosial sejak ia pertama kali dihasilkan di tanah ini pada abad ke-16. Ia kemudiannya berkembang ke seluruh geografi Uthmaniyyah yang luas dan melangkaui sempadan bersama ritual, tradisi dan peranannya. Ia merupakan sesuatu yang penting dalam budaya Turki, dan perkataan Turki untuk sarapan ialah "kahvaltı", dan ia diterjemahkan sebagai “sebelum kopi". Setiap kali anda mengunjungi rakan atau keluarga di Türkiye, anda akan sentiasa disajikan kopi Turki sebagai minuman untuk mengalu-alukan kedatangan anda. Ia menjadi sebahagian penting dalam majlis keraian perkahwinan, pertunangan, kelahiran, dan hampir segalanya.

“Bagaimana anda ingin nikmati kopi anda?”

Kaedah bancuhan kopi Turki kekal tidak berubah berabad lamanya, dan inilah salah satu sebab di sebalik keunikannya. Kopi Turki disediakan dengan membancuh biji kopi yang dikisar halus dan berserbuk bersama air sejuk dalam teko unik yang dikenali sebagai ‘Cevze’. Selepas mendidih sehingga berbuih, ia dituang ke dalam cawan kopi untuk menghasilkan buih seakan-akan baldu di atasnya. Tidak seperti kopi yang lain, kopi Turki dituang ke dalam cawan dengan serdaknya sekali dan ia sentiasa dihidangkan dengan segelas air, kudapan Turki atau manisan lain.

Duta Besar Türkiye ke Malaysia, Emir Salim Yüksel

Kaedah pengisaran dan penyediaan kopi Turki mungkin berbeza-beza berdasarkan ramuan dan tabiat di wilayah negara berkenaan. Pokok mastic yang boleh ditemui di seluruh rantau Aegean, membawakan tradisi pembuatan kopi Turki bersama mastic gum. Kopi Menengiç yang disediakan dengan mengeringkan biji kacang daripada pokok Pistacia terebinthus, ternyata sangat terkenal di Gaziantep, salah sebuah bandar Türkiye di tenggara Anatolia dan tempat bercucuk tanam pistachios. Kopi Dibek yang kebiasaannya ditumbuk dalam lesung batu, menjadi popular sebagai alternatif kopi Turki yang unik kerana aromanya yang lembut dan kopi Turki yang boleh disajikan bersama susu. Kopi Mırra yang sering dikenali sebagai kopi pejal dan pahit lazimnnya digemari di daerah tenggara Türkiye, Şanlıurfa dan Mardin.

Di Türkiye, terdapat pepatah tradisional Turki dan ia mengetengahkan kepentingan kopi dalam budaya Turki, “Setiap cawan kopi membawa kenangan selama 40 tahun”.


Comments

Popular posts from this blog

SUNWAY MALLS MERAIKAN ULANG TAHUN KE-50 SUNWAY GROUP DENGAN PENUH GILANG DI SELURUH NEGARA

X-CHANGE: ASTRO ORIGINALS YANG PERTAMA HIMPUNKAN PELBAGAI BAHASA, MENGGABUNGKAN GENRE AKSI, JENAYAH & ROMANTIK

KEMPEN ‘MEMPERKASAKAN IMPIAN WANITA’ SUNSILK BERJAYA MENJANA RM100,000 UNTUK SOKONG WOMEN OF WILL

BAWAH PAYUNG AWAN - GANDINGAN ISTIMEWA NABILA RAZALI, BEN AMIR DAN NELISSA NIZAM