KARNIVAL BAN CANAL 2023 MERANCAKKAN INISIATIF EKOPELANCONGAN SABAK BERNAM DI BAWAH SABDA KERAJAAN NEGERI SELANGOR
Karnival Ban Canal 2023 yang meraikan keunikan semangat kemasyarakatan, kekayaan budaya, dan komitmen terhadap inisiatif ekopelancongan mampan di Sabak Bernam sampai ke kemuncaknya hari ini. Acara ini dianjurkan oleh Menteri Besar Selangor (Diperbadankan) (“MBI”) sebagai sebahagian daripada inisiatif Pembangunan Kawasan Sabak Bernam (SABDA). Karnival selama tiga hari ini mempamerkan identiti tempatan, penjagaan alam sekitar, dan wawasan yang dikongsi bersama demi kelestarian masa depan.
Dengan kehadiran kira-kira 10,000 pengunjung setakat ini, karnival itu berjaya menyatukan penduduk tempatan dan para pengunjung untuk menikmati keindahan alam semula jadi dan warisan budaya Sabak Bernam. Potensi Ban Canal sebagai kawasan tumpuan rekreasi dan ekopelancongan kontemporari menjadi bukti nyata komitmen daerah itu dalam memelihara warisan sejarah dan alam sekitarnya.
Pelbagai aktiviti telah diadakan bagi memeriahkan lagi karnival yang bukan sahaja menampilkan bakat dan kemahiran tradisional tempatan, tetapi turut memupuk semangat perpaduan dan kebanggaan dalam kalangan masyarakat. Sebanyak 14 aktiviti diadakan di sepanjang penganjuran karnival itu yang disertai oleh 1,200 individu, seperti Lumba Perahu Tradisional, Inovasi Rekacipta Perahu dan Larian Bendang.
Menteri Besar Selangor, YAB Dato’ Seri Amiruddin Shari menegaskan, “Pembangunan SABDA tidak hanya tertumpu kepada usaha menarik pelaburan besar bagi memacu ekonomi baharu sahaja, tetapi ia turut mendalami aktiviti dan sokongan yang diperlukan untuk membina semula kehidupan masyarakat di sini dan membantu projek sedia ada menerusi pemberian geran, penerapan teknologi, dan peningkatan kemahiran, antara lainnya.”
Diiktiraf sebagai zon ekonomi utama di bawah Rancangan Selangor Pertama (RS-1), inisiatif SABDA yang dipacu oleh MBI itu bertujuan untuk memastikan keterjaminan makanan Selangor dengan menyokong projek pertanian di Sabak Bernam dan memajukan ekonomi biru Selangor, yang akan menumpukan kepada pembangunan industri perikanan di daerah itu, termasuk pengeluaran produk hiliran makanan laut, di samping mempromosikan ekopelancongan akuakultur dan pertanian dengan impak yang minimum ke atas alam sekitar. SABDA dijangka akan membawa pelaburan kira-kira RM1.9 juta dan mencipta peluang pekerjaan bagi 3,600 penduduk setempat.
Pengerusi SABDA, Datuk Hj Rizam Hj Ismail, yang juga EXCO Kemajuan Desa Kerajaan Negeri Selangor mengumumkan bahawa Karnival Ban Canal akan menjadi acara ekopelancongan utama dalam kalender tahunan SABDA, dan berharap ia akan disenaraikan dalam kempen Tahun Melawat Selangor 2025. Ujar beliau, “Kami berharap dapat menyambut lebih ramai peserta dan pengunjung dari seluruh Malaysia dalam edisi yang akan datang.”
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MBI, Puan Hajah Norita Mohd Sidek menjelaskan bahawa komitmen MBI untuk menyuntik semangat baharu ke Sabak Bernam melangkaui karnival yang dianjurkan dengan mempromosikan ekopelancongan. Mengenai sokongan kewangan dan teknologi untuk perniagaan tempatan meningkatkan pendapat, beliau menjelaskan bahawa, “Sebarang pemberian geran akan merangkumi aspek pembangunan kemahiran bagi memperkasakan masyarakat tempatan. Matlamat kami ialah membantu penduduk Sabak Bernam memahami cara terbaik untuk memanfaatkan kaedah baharu bagi memaksimumkan output dalam pertanian dan perikanan, sekaligus memastikan kemampanan masa depan perniagaan dan kesejahteraan masyarakat.”
Comments
Post a Comment