KOLABORASI MEDIA PRIMA BERHAD DAN PTTI LANCAR MISI MEMBANTU CALON SPM BUAT PERSEDIAAN AKHIR


Menjelang peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia 2023 (SPM 2023), Media Prima Berhad menerusi saluran ntv7 berkolaborasi dengan PTTI, peneraju dalam pendidikan digital di Malaysia yang telah membuktikan keberkesanannya dalam merubah paradigma pembelajaran tradisional kepada pengalaman digital yang lebih interaktif dan efektif, dalam memperkenalkan program ‘PTTI Pecutan Akhir SPM’ untuk membantu calon-calon SPM 2023 membuat persediaan akhir. 

‘PTTI Pecutan Akhir SPM’ akan bersiaran secara langsung di ntv7 bermula 9 Disember 2023, setiap hari Sabtu dan Ahad, pukul 10.00 pagi hingga 11.00 pagi sebanyak 16 episod. Ikuti pembelajaran dan teknik menjawab soalan-soalan peperiksaan SPM untuk mata pelajaran teras dan aliran Sains iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sejarah, Sains, Matematik Tambahan, Fizik dan Kimia daripada barisan tenaga pengajar PTTI yang berpengalaman. 

Untuk merealisasikan kolaborasi ini, sidang media ‘PTTI Pecutan Akhir SPM’ telah berlangsung di Theatrette, Sri Pentas Bandar Utama pada hari ini. Hadir ke majlis tersebut ialah Ketua Pegawai Operasi Media Prima Omnia, Datuk Mohd. Efendi Omar; Ketua Pegawai Eksekutif ntv7, Seelan Paul; Ketua Pegawai Eksekutif PTTI, Siti Farhana Abu Osman serta duta dan ikon PTTI iaitu Iman Troye dan MK K-Clique. 

Seelan Paul, Ketua Pegawai Eksekutif ntv7 berkata, “Kami amat mengalu-alukan kolaborasi sebegini untuk mempelbagaikan lagi program pendidikan dan kandungan didik hibur di ntv7. Kami berharap penonton ntv7 terutamanya calon-calon peperiksaan SPM 2023 akan mendapat manfaat besar daripada program ‘PTTI Pecutan Akhir SPM 2023’ yang memperkenalkan cara pembelajaran mudah, ringkas dan menyeronokkan.” 

Menurut Siti Farhana Abu Osman, Ketua Pegawai Eksekutif PTTI, “PTTI merupakan platform pendidikan dalam talian di Malaysia dengan formula dan teknik menjawab peperiksaan yang terbukti berjaya membantu pelajar meningkatkan gred peperiksaan menerusi pembelajaran mudah dan ringkas. Inisiatif ini bukan sahaja meningkatkan akses pendidikan berkualiti tetapi juga membantu pelajar mencapai kecemerlangan akademik. Menerusi kolaborasi dengan Media Prima Berhad dimana ntv7 sebagai platform, saya percaya dapat membantu lebih ramai pelajar dan menaikkan lagi jumlah pelajar peroleh semua A di Malaysia di SPM 2023 ini.” 

‘PTTI Pecutan Akhir SPM’ 2023 dikendalikan oleh tenaga pengajar PTTI yang berpengalaman iaitu Muhammad Faizul bin Abd Hamid (Dr Faizul), Siti Farhana binti Abu Osman (Miss Fana), Race Monsopiad Moujing Jr (Sir Race), Amirul Asyraf Mustafakamal Shah (Sir Berg), Khairul bin Kamaruddin (Mr. K), Asrin Haikal bin Amir Hamzah (Sir Asrin), Hafiy Hanani Sarju (Miss Hanani), Muhammad Dzulfahmi bin Salehuddin (Sir Fahmi), Mohd Rashdan Bin Fauzan (Sir Rashdan), Muhammad Rozi bin Zulamran (Sir Rozi), Khairul Hamidi bin Khairul Anuar (Sir Midi), Umi Nazira Bt Mohd Yunan (Miss Umi), dan Nur Lahaniz binti Daud (Miss Neez). 

Mereka akan mengajar teknik-teknik menjawab berdasarkan analisis soalan percubaan SPM dari setiap negeri di Malaysia. Di studio, tenaga pengajar PTTI juga akan berinteraksi secara langsung dengan pelajar-pelajar yang dijemput hadir ke studio untuk membantu mereka untuk memahami, menguasai dan cara untuk skor peperiksaan SPM. Pelajar-pelajar yang dijemput ini secara tidak langsung dapat merasai pengalaman pembelajaran yang dikeudarakan secara langsung menerusi platform televisyen. 

PTTI turut mendapat pengiktirafan dari Malaysia Book Of Records (MBOR) apabila berjaya mencatat jumlah pelajar memperoleh semua A pada Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022 (‘Most Straight A’s SPM Students In A Tuition). 

Diharap dengan adanya kolaborasi ‘PTTI Pecutan Akhir SPM’ 2023 dapat memberi manfaat kepada pelajar SPM dan sekaligus mendapat keputusan yang cemerlang. Layari www.ptti.my untuk maklumat lanjut mengenai program pendidikan PTTI. 

Kepada pelajar yang bakal menduduki SPM 2023, saksikan ‘PTTI Pecutan Akhir SPM’ setiap Sabtu dan Ahad bermula 9 Disember 2023, jam 10.00 pagi hingga 11.00 pagi. Siaran ntv7 juga boleh diikuti secara langsung menerusi siaran tonton Live TV dan XTRA Live TV, myfreeview CH107, Astro CH147, unifi CH107, dan secara maya menerusi platform digital YouTube @ntv7MALAYSIAOfficial. 

Untuk mengikuti perkembangan dan informasi terkini, layari laman media sosial rasmi Facebook, Instagram, Twitter, TikTok dan Telegram di @ntv7Malaysia.

Comments

Popular posts from this blog

SUNWAY HEALTHCARE GROUP MELANCARKAN E-BUKU PERTOLONGAN CEMAS PEDIATRIK, MEMBUKA AKSES KEPADA ILMU UNTUK MENYELAMATKAN NYAWA