PEMENTASAN “THE SOUND OF MUSIC” SEKOLAH RENDAH SRI KDU BERJAYA MENGUMPUL DANA RM100,126 UNTUK DIDERMAKAN KEPADA TEACH FOR MALAYSIA.


Penglibatan murid-murid dalam persembahan kesenian membuahkan hasil yang tidak dapat disangkal lagi. Kajian menunjukkan bahawa golongan muda yang melibatkan diri dalam nyanyian, tarian, lakonan atau bermain muzik di atas pentas menerima empat kali ganda pengiktirafan dalam pencapaian akademik berbanding mereka yang tidak terlibat. “The Sound of Music” yang dipersembahkan oleh murid-murid Sekolah Rendah Sri KDU Kota Damansara bukan hanya sekadar hiburan, tetapi juga komited dalam menangani ketidaksamaan pendidikan. Melalui pementasann ini, Sekolah Rendah Sri KDU Kota Damansara telah berjaya mengumpul dana untuk disumbangkan kepada Teach for Malaysia, sebuah pertubuhan amal melalui pementasannya.

Encik Trevor Spence, Pengetua Eksekutif menekankan bahawa pengalaman di atas pentas amat berharga dan tidak ternilai. Pengalaman tersebut dapat mengajar anak-anak murid untuk berimprovasi, berdikari dan menangani cabaran - kemahiran yang memberi impak di dalam bilik darjah dan pelbagai konteks lain.

Menurut beliau lagi, “Pendedahan awal kepada keresahan semasa pementasan melengkapkan murid-murid untuk menghadapi detik-detik penting dalam hidup. Penerbitan "The Sound of Music" bukan sahaja memberi peluang kepada murid-murid untuk menghayati watak-watak dalam lakonan tetapi juga memupuk empati dan kerjasama berpasukan. Walaupun kemahiran ini mungkin tidak boleh diaplikasikan secara langsung dalam mata pelajaran akademik, namun proses itu mendedahkan kanak-kanak kepada pemikiran inovatif dan menyemai perasaan mencapai sesuatu kejayaan.”

Di bawah bimbingan Cik Foo Mei Kay, Ketua Seni Persembahan di Sekolah Sri KDU, pementasan tahunan yang melibatkan seramai 350 orang murid berumur antara 7 hingga 12 tahun telah menjalani latihan selama 11 minggu dengan dibantu oleh 76 orang guru. Proses kreatif dari segi pakaian, set pentas dan solekan adalah usaha kolaboratif yang melibatkan semua guru, murid dan juga sokongan padu daripada ibu bapa.

Di samping itu, jalan cerita yang diubah suai daripada cerita asal tetapi mempertahankan intipati naratif asal berjaya menghiburkan penonton kerana diselitkan dengan adegan jenaka dan gimik yang menarik. Bahasa Kebangsaan juga diselitkan dalam dialog untuk memberi impak positif dalam memertabatkan Bahasa Melayu.

Sewaktu majlis perasmian, Encik Anthony Partigon selaku Ketua Pegawai Eksekutif XCL Education menekankan, “Dengan sumbangan kepada Teach for Malaysia, adalah menjadi harapan kami untuk menggalakkan murid-murid Sri KDU untuk memberi impak positif kepada orang lain, memupuk pemahaman mereka tentang dunia yang lebih luas, menggalakkan empati kepada mereka yang kurang berkemampuan, dan memupuk sikap prihatin demi kesejahteraan orang lain.”


Pementasan muzikal, yang diadakan selama dua hari dan menarik kehadiran 1500 orang bagi setiap malam, serta dengan usaha kutipan dana dari karnival Merdeka mencapai kejayaan yang luar biasa dengan jumlah dana yang berjaya dikumpul sebanyak RM100,126. Dana ini bertujuan untuk menaja bakal graduan dan profesional muda, menyediakan mereka untuk berkhidmat sebagai guru di sekolah kurang berkemampuan di Perak dan Sarawak. Acara kemuncak majlis adalah penyampaian dana yang disaksikan oleh YAM Tunku Ali Redhauddin ibni Tuanku Muhriz, selaku Pengerusi merangkap Pemegang Amanah Pengasas Teach for Malaysia dan Pengerusi Gabenor di Sekolah Sri KDU.

Dana berjumlah RM4848 berjaya dikumpul melalui tabung derma dan jualan makanan semasa malam amal pementasan telah menjadikan keseluruhan dana yang berjaya dikutip sebanyak RM104,974 untuk didermakan kepada Teach for Malaysia.




Comments

Popular posts from this blog

COLGATE OPTIC WHITE PURPLE: UBAT GIGI PEMUTIH UNGU PERTAMA COLGATE

THE EXPERTS - FILEM AKSI HEIST YANG DINANTIKAN 2024, TAMPILKAN BARISAN PELAKON HEBAT TANAH AIR

ICBS 2024: MENJEMPUT ANDA MENEROKA INOVASI KAFE DI KUALA LUMPUR!