ADYEN MENJALINKAN KERJASAMA DENGAN FRASERS HOSPITALITY UNTUK MENINGKATKAN PENGALAMAN TETAMUNYA DI BANDAR-BANDAR UTAMA



Adyen, platform teknologi kewangan global yang menjadi pilihan kepada perniagaan terkemuka, mengumumkan bahawa ia menguasai proses pembayaran untuk pengusaha hospitaliti global Frasers Hospitality di Singapura, Malaysia, Australia dan seluruh Eropah. Jenama yang pernah memenangi anugerah dan terkenal dengan kecemerlangan perkhidmatannya, Frasers Hospitality memahami bahawa inovasi berterusan adalah kunci utama untuk menyediakan penginapan yang sukar dilupakan kepada para tetamunya dan pada tahun 2021, ia memperkenalkan pengalaman tetamu yang lancar di seluruh laman webnya, proses daftar masuk dan penawaran makanan dan minuman (F&B) di bawah satu platform oleh Adyen.

Melalui kerjasama ini, para tetamu yang tiba di tempat penginapan milik Frasers Hospitality boleh menjimatkan masa di kaunter menyambut tetamu semasa proses daftar masuk/daftar keluar, dan meluangkan lebih banyak masa untuk menikmati kemewahan penginapan mereka. Selain itu, tetamu juga boleh memilih kaedah pembayaran kegemaran mereka, bukan sahaja dalam talian semasa tempahan awal sebelumnya tetapi juga di luar talian, iaitu semasa daftar masuk/daftar keluar dan di kedai-kedai F&B yang diuruskan oleh Frasers Hospitality. Melalui Adyen, tempat penginapan di bawah Frasers Hospitality boleh menawarkan tetamu pelbagai pilihan pembayaran, termasuk semua kad kredit utama dan kaedah pembayaran pilihan tempatan seperti Alipay, WeChat Pay, UnionPay dan GrabPay.

“Tetamu kami menganggap pangsapuri servis kami umpama rumah mereka sendiri. Jalinan perasaan yang mesra ini terhasil daripada komitmen kami yang berterusan untuk menyediakan penginapan yang paling selesa kepada mereka,” kata Mark Chan, Ketua Pegawai Operasi Frasers Hospitality. “Dengan penyelesaian inovatifnya, Adyen bukan sahaja dapat memberikan pengalaman penginapan yang lancar kepada tetamu kami, malahan juga memudahkan proses penyelarasan belakang tabir (back-of-house) pasukan operasi kami.”

“Proses mengendalikan tempat penginapan bukanlah sesuatu yang mudah, dengan terdapatnya pelbagai bahagian di dalam ekosistem yang harus dipantau oleh pengusaha,” kata Soon Yean Lee, Pengurus Negara, Malaysia, Adyen. “Dengan adanya sebuah platform tunggal Adyen, kami merasa gembira dapat membantu Frasers Hospitality dalam mengurangkan kerumitan operasi mereka di pelbagai tempat penginapan di bawah pengurusan mereka di pasaran Malaysia dan sebagainya.”

Kadar penghunian yang turun naik merupakan salah satu cabaran paling sukar yang dihadapi oleh para pengusaha penginapan, kerana mereka mesti bersedia untuk memenuhi permintaan di musim puncak dan musim bukan puncak dengan tepat pada masanya. Hasil penyepaduan sepenuhnya Adyen dengan penyedia pihak ketiga seperti sistem pengurusan hartanah membolehkan pengusaha hotel menyelaraskan data pembayaran dengan data penghunian dengan mudah. Dengan adanya maklumat keseluruhan penghunian bilik yang tepat di hujung jari, Frasers Hospitality dapat menyesuaikan operasi mereka untuk memenuhi trend permintaan dengan mudah.

Penyelesaian bersepadu Adyen mengoptimumkan lagi operasi Frasers Hospitality sepanjang masa. Sebelum ini, kakitangan kaunter menyambut tetamu terpaksa menutup terminal komputer kendiri secara manual ketika audit malam bagi seluruh bahagian hotel dan memasukkan maklumat pembayaran pada hari tersebut ke dalam sistem pengurusan hartanah mereka. Dengan menggunakan proses penyelesaian Adyen, maklumat tersebut direkodkan secara automatik ke dalam sistem selepas selesainya setiap transaksi, dengan itu menghapuskan keperluan untuk melakukan audit malam.



Comments

Popular posts from this blog

COLGATE OPTIC WHITE PURPLE: UBAT GIGI PEMUTIH UNGU PERTAMA COLGATE

ICBS 2024: MENJEMPUT ANDA MENEROKA INOVASI KAFE DI KUALA LUMPUR!