9 DESTINASI ALAM SEMULA JADI PALING POPULAR DI ASIA UNTUK 'HEALING'

Sempena pelancaran Eco Deals 2024, platform pelancongan digital Agoda telah menyenaraikan beberapa destinasi alam semula jadi yang paling digemari di Asia, berdasarkan data carian yang dibuat pada Januari 2024. Eco Deals 2024 merupakan kerjasama bernilai US$1 juta antara Agoda dengan World Wide Fund for Nature (WWF).

Enric Casals, Naib Presiden Asia Tenggara, Agoda, berkata, “Saya berasa amat bangga dan teruja bahawa dengan edisi ketiga program Eco Deals ini, Agoda berjanji untuk menyumbangkan sehingga satu juta dolar Amerika Syarikat kepada projek-projek pemuliharaan WWF di seluruh Asia Tenggara. Program Eco Deals dapat membantu para pelancong untuk memberi sumbangan mereka bagi melindungi keindahan alam semula jadi agar dapat dinikmati oleh generasi akan datang.”

Untuk menyemarakkan minat para pelancong terhadap keindahan alam yang unik dan luar biasa di serata Asia Pasifik, Agoda memilih beberapa destinasi alam semula jadi terbaik di sembilan pasaran untuk menghasilkan idea untuk menghubungkan semula diri dengan alam semula jadi melalui hutan purba, lembah yang dalam dan tasik yang tenang.

Alamilah destinasi yang hebat ini dalam percutian anda:

Gambar oleh Vishal Anand di Unsplash

1. Ooty, India

Ooty, yang juga dikenali sebagai 'Queen of Hill Stations’ atau Ratu Stesen Bukit, terletak di Bukit Nilgiri. Tempat ini merupakan sebahagian daripada Rizab Biosfera Nilgiri. Ia adalah kawasan hutan terlindung terbesar di India dan mempunyai sebuah bandar yang terkenal dengan keindahan tasik dan tamannya. Ooty merupakan destinasi idaman para pencinta alam yang gemarkan aktiviti berperahu, safari dan mendaki sambil menikmati keindahan alam semula jadi India.

Gambar oleh Giorgi Shakarashvili di Unsplash

2. Lombok, Indonesia

Gunung Rinjani - Lombok, Geopark Global UNESCO di Indonesia menampilkan landskap yang pelbagai, termasuk savana dan hutan tropika yang dibentuk oleh batu gunung berapi. Tersergam megah pada ketinggian 3,726 meter, Gunung Rinjani menawarkan pemandangan yang menakjubkan dari puncaknya. Danau Anak Segara yang terbentuk di dalam kaldera Rinjani menyediakan keindahan yang tenang dan menarik ramai penganut Hindu untuk melakukan upacara pujaan mereka di sana. Terokai Rinjani-Lombok untuk percutian yang penuh pengembaraan, keajaiban dan kenangan yang tidak dapat dilupakan.

Gambar oleh Sravan-v di Unsplash

3. Hakone, Jepun

Hakone merupakan sebuah destinasi pelancongan utama Jepun yang menawarkan pemandangan yang menakjubkan serta warisan sejarah yang kaya. Dikelilingi oleh kawasan pergunungan, tempat ini terkenal dengan keindahan bermusim, mata air panas dan tarikan kebudayaan seperti Tasik Ashi dan Kuil Hakone. Akses mudah ke Gunung Fuji, pilihan tempat makan yang beraneka jenis, dan cenderahati unik menambahkan lagi daya tarikannya untuk pengunjung dari seluruh dunia.

Gambar oleh Ryan ‘O’ Niel di Unsplash

4. Miri, Malaysia

Miri merupakan pintu masuk ke Taman Negara Gunung Mulu yang disenaraikan oleh UNESCO. Taman Negara tersebut adalah sebuah kawasan hutan hujan yang kaya dengan hidupan liar, dan mempunyai gua yang luas termasuk Sarawak Chamber, ruang gua terbesar di dunia mengikut keluasannya. Di sini, para pelawat boleh menerokai pembentukan kars, mendaki Gunung Api untuk melihat pemandangan yang menakjubkan di puncaknya, dan menyaksikan penghijrahan kelawar di Gua Rusa, melalui denai hutan yang mencabar dan juga menaiki bot.

Gambar oleh Nikko Lawrence Uy di Unsplash

5. Siquijor Island, Filipina

Siquijor, yang dikenali sebagai 'Pulau Mistik Visayas Tengah,' memikat hati pengunjung dengan pemandangan gunung dan air terjun yang indah. Gunung Bandilaan yang merupakan puncak tertinggi pulau tersebut mempamerkani tumbuh-tumbuhan asli dan lebih 100 spesies rama-rama yang boleh ditemui semasa mendaki. Air Terjun Cambugahay yang mempesonakan, terletak di dalam hutan hujan yang subur dan dikatakan mempunyai kuasa pemulihan, menjadikannya satu destinasi percutian yang tenang dari kesibukan hidup di bandar.

Gambar oleh Ji Ho Kim melalui Korea Tourism Organisation

6. Jeongseon-gun, Gangwon-do, Korea Selatan

Daerah Jeongseon di Wilayah Gangwon merupakan satu destinasi percutian alam semula jadi yang terkenal dengan pemandangan gunung yang damai. Ia menampilkan aktiviti luar yang bermusim, termasuk pendakian musim sejuk di Hambaeksan dan penerokaan musim luruh Gariwangsan. Pengunjung yang inginkan sesuatu yang mencabar boleh menikmati Byeongbangchi Skywalk yang mengujakan dengan pemandangan panoramik di kawasan pergunungan dan lembah di sekelilingnya. Saksikan keindahan semula jadi Auraji melalui aktiviti rekreasi seperti berakit yang menjadi satu kemestian semasa lawatan anda.


7. Hualien, Taiwan

Hualien, di pantai timur Taiwan, menawarkan landskap yang menakjubkan, budaya yang kaya dan pengembaraan luar rumah yang menngujakan. Taman Negara Taroko, satu mercu tanda utama Hualien terkenal dengan pembentukan tebing marmar yang dramatik, hutan yang subur dan sungai yang jernih, dengan denai kembara yang menuju ke tempat pemandangan yang memukau, air terjun dan kuil di tepi gunung.. Sebagai habitat kepada pelbagai hidupan liar, taman ini menawarkan pengalaman yang tidak dapat dilupakan bagi pencinta alam dan penggemar aktiviti kembara.

Gambar oleh Manahil Ilyas di Unsplash

8. Khao Yai, Thailand

Khao Yai atau Gunung Besar dalam bahasa Thai ialah tempat percutian alam semula jadi berhampiran Bangkok yang menampilkan taman negara pertama yang diiktiraf oleh UNESCO di Thailand. Dengan adanya hutan hujan yang luas, air terjun yang terkenal seperti Haew Narok dan Haew Suwat, dan pelbagai jenis hidupan liar termasuk gajah dan juga beruang hitam Asia, ia sesuai untuk aktiviti luar seperti mendaki, safari dan menyaksikan bintang, yang menawarkan pengunjung peluang untuk menikmati keindahan hutan belantara Asia secara lebih dekat.

Gambar oleh Thanh Tran di Unsplash

9. Dalat, Vietnam

Terletak tidak jauh dari bandar Ho Chi Minh yang sibuk, Dalat menjadi syurga kepada para pencinta alam dengan cuaca yang nyaman, hutan pokok pain dan juga air terjun. Ia sesuai untuk aktiviti mendaki, aktiviti di tasik seperti mendayung dan juga bersiar-siar menikmati keindahan taman-taman tempatan. Persekitarannya yang indah menjadikan Dalat satu tempat percutian yang sukar dilupakan oleh para pencinta alam dari seluruh dunia.

Sejak pelancarannya pada 3 Mac 2024 yang turut jatuh pada Hari Hidupan Liar Sedunia, pelancong ke Asia Tenggara boleh menempah Eco Deals di Agoda. Untuk setiap tempahan Eco Deals, satu dolar akan didermakan kepada projek-projek pemuliharaan World Wide Fund for Nature (WWF) untuk melindungi hidupan liar dan memulihara habitat kritikal di Asia Tenggara. Di samping itu, pelancong juga boleh menikmati diskaun sehingga 15%. Maklumat lanjut boleh didapati di www.agoda.com/ecodeals.

Comments

Popular posts from this blog

SUNWAY MALLS MERAIKAN ULANG TAHUN KE-50 SUNWAY GROUP DENGAN PENUH GILANG DI SELURUH NEGARA

X-CHANGE: ASTRO ORIGINALS YANG PERTAMA HIMPUNKAN PELBAGAI BAHASA, MENGGABUNGKAN GENRE AKSI, JENAYAH & ROMANTIK

KEMPEN ‘MEMPERKASAKAN IMPIAN WANITA’ SUNSILK BERJAYA MENJANA RM100,000 UNTUK SOKONG WOMEN OF WILL

BAWAH PAYUNG AWAN - GANDINGAN ISTIMEWA NABILA RAZALI, BEN AMIR DAN NELISSA NIZAM