“SETULUS HATI” DIPILIH TEMA PROGRAM RAMADAN DAN SYAWAL DI RTM


Setulus Hati diangkat bagi berkongsi pelbagai pengisian program pilihan sepanjang bulan mulia ini khas buat penonton dan pendengar setia RTM. Menyemarakkan kempen Ramadan Syawal, tema penuh bermakna ini dilancarkan Radio Televisyen Malaysia (RTM) bertempat di Angkasapuri Kota Media, semalam membabitkan semua saluran TV dan juga 34 stesen radio RTM seluruh negara.

Menurut Datuk Suhaimi Sulaiman, Ketua Pengarah Penyiaran, “Bagi memenuhi citarasa tontonan masa kini, beberapa penambahbaikan dilakukan selain kualiti yang diberikan meningkat dari hari ke hari dan ini yang dititikberatkan di RTM”.

Bermula minggu pertama Ramadan hingga ke sambutan Hari Raya, penonton dihidangkan dengan seleksi kandungan hebat merangkumi program-program kerohanian, telefilem, drama bersiri, hiburan, sketsa, sitkom, variasi, bual bicara serta banyak lagi yang boleh distrim dalam talian melalui RTMKlik (rtmklik.rtm.gov.my) secara percuma.


RAMADAN

Masih kekal sebagai program yang ditunggu-tunggu, TV1 membuka tirai Ramadan dengan siaran langsung program bual bicara interaktif, Borak Dulu Baru Buka terbitan Unit Hiburan TV RTM. Hos Amin Idris, Khir Rahman dan Wany Hasrita mengundang tetamu yang berkredibiliti mengupas topik pilihan berkaitan Ramadan, motivasi, kerohanian dan kesihatan disiarkan sepanjang Ramadan, pukul 6.45 petang.

Telemovie istimewa mengisi slot Panggung RTM bertajuk Perang Panjut 7 Likur diterbitkan oleh Unit Drama TV RTM menampilkan pelakon berpengalaman Fadilah Mansor, Hamidah Wahab dan Delimawati dalam cerita tiga wanita veteran yang mengadakan pertandingan Pesta Panjut bagi meraikan malam tujuh likur di kampung mereka.


Saluran sama menyiarkan drama antaranya Azan Terakhir, Namaku Adam dan Terhijabnya Pintu Syurga, slot Widuri drama bersiri Dia Dari Syurga lakonan Aliff Aziz dan Ummi Nazeera. Juga Syahadah, program dokumentari terulung di RTM.

Sementara itu, menerusi Saluran TV2, penonton dijanjikan dua program baharu iaitu tayangan Drama Bersiri Khas Ramadan Nyawa Berganti Cinta yang akan bersiaran mulai 12 Mac ini, setiap hari pada pukul 6.00 petang. Drama ini mengisahkan kehidupan Izhar (Azlee Khairi) sebagai seorang doktor yang komited dengan kerjayanya sehingga dianggap mengabaikan isterinya, Aishah (Aishah Azman) yang menderita menghidap barah.

Program lain yang turut mengisi Saluran TV2 adalah travelog Ronda-Ronda Ramadan musim ketiga, Telemovie Khas Suatu Hari Di Bulan Puasa dan Borak Tengah Lapar.

Saluran Okey pula menyiarkan drama bersiri Kasih Nelisa lakonan Dato’ Ahmad Tamimi Siregar, Rusdi Ramli, Puteri Lofea dan Nafiez Zaidi. Kisah seorang cucu bernama Nelisa yang nekad mencari Tok Ayah demi untuk mengetahui kisah sebenar di sebalik kebencian ayahnya dan cuba menyatukan mereka. Drama ini bersiaran setiap hari, pukul 2.30 petang. Saksikan juga program Dapur Bujang Duo, dan drama bersiri Sebiru Hujung Borneo.

Hisyam, juara Bintang Klasik 2023 turut menghiburkan penonton

Bahagian program radio juga meneruskan tradisi Jelajah Ramadan 2024 yang memasuki edisi ke-12 yang dirasmikan pada 10 Mac ini bertempat di Resort Warisan Pahlawan, Kuala Berang, Terengganu. Program tanggungjawab sosial korporat terpanjang di Malaysia ini melibatkan 34 stesen radio RTM seluruh negara memenuhi 38 aktiviti dalam masa 19 hari dan majlis penutupan pada 30 Mac ini bertempat di Petron Bandar Seri Alam, Masai, Johor.

Radio KLfm pula menerbitkan program Borak Tengah Lapar yang turut disiarkan menerusi TV2 dan RTMKlik. Program borak santai disiarkan sepanjang Ramadan ini menampilkan DJ Azwan dan tetamu antaranya PU Amin, PU Dr. Taha dan PU Rahmat juga sketsa oleh pelawak popular tanah air.


SYAWAL

Syawal ini, RTM menyediakan pelbagai program istimewa sempena Hari Raya untuk semua rakyat Malaysia sepanjang bulan mulia ini.

Sebanyak 16 program baharu dijanjikan kepada penonton TV1 yang bermula siaran dari malam raya seperti Gema Takbir, Siaran Langsung Solat Sunat Hari Raya Aidilfitri Dari KL, Borak Dulu Baru Buka (Khas Syawal), juga drama-drama terbaik menyentuh emosi mengisi slot Panggung RTM iaitu Raya Tak Nampak dan Abyad Sofi.

Program-program hiburan menarik seperti Temasya Aidilfitri, Berambeh Raya (RTM Sarawak) dan Bedayang Ta’ Aidilfitri (RTM Sabah) juga bual bicara Cuit Sikit Jangan Sentap, Iris Wanita, Panorama, dan Planet Sukan.

Terdapat juga program istimewa dari TV2 seperti filem-filem terbaik seperti Paskal, Spider-man: No Way Home dan Toolsidas Junior. Turut disiarkan telemovie Ustazah Ekspress. Kemeriahan Syawal turut diriuhkan lagi dengan rancangan hiburan Riang Riuh Raya dan Radar Skrin iaitu program terbaharu RTM yang menampilkan hos Tyzo Xander. TV2 turut menghadiahkan tayangan Muzikal Raya Bintang RTM yang menyaksikan persembahan peserta-peserta Bintang RTM 2024.

Saluran Okey akan menyajikan rancangan Masak Sana Sini New York Khas Raya di mana Nabila Huda akan membawa penonton ke kota nombor 1 dunia iaitu New York untuk memasak juadah berbuka puasa yang mudah, ringkas dan cepat bersama anak-anak Malaysia yang merantau di kota New York.

Saksikan juga rancangan Dapur Bujang Duo Khas Raya, serta dua telemovie iaitu Serambi Syurgamu dan Biniku Ratu Joran. Serambil Syurgamu menampilkan pelakon Shasha Abedul, Qi Razali dan Normah Damanhuri manakala Biniku Ratu Joran menggandingkan pelakon utama Arief Yong dan Dayana Roza. Khas edisi Raya turut disiarkan program seperti Versus, Steadey, dan Fresh Brew.

Nafiez Zaidi...antara pelakon yang memeriahkan majlis Program Khas Ramadan Raya RTM 2024

Istimewa buat pendengar radio, 34 stesen seluruh negara diserikan dengan pelbagai pilihan program raya termasuklah di TRAXXfm (Link up Radio Televisyen Malaysia & Radio Televisyen Brunei, NASIONALfm (Konsert Kita Suka Raya), JOHORfm (Muzikal Pantun), KENINGAUfm (Syair & Lagu), LABUANfm (Bamukun Raya) dan SARAWAKfm (Santai Pantun Berambeh Raya).

Meriahkan raya bersama program Drama Radio Raya melibatkan DJ 34 stesen 1 Suara terbitan NEGERIfm. Ia mengisahkan tentang kekecohan penduduk kampung apabila berlaku kehilangan barang untuk persiapan hari raya.

Nantikan juga siaran Konsert Kita Suka Raya terbitan NASIONALfm bersiaran pada hari raya pertama dan kedua, pukul 9.00 malam menampilkan artis Hael Husaini, Iman Troye, Iman Darwisy Bintang Kecil, Hadi Huv Bintang RTM dan Ieda Moin. Turut diserikan dengan penyampai 3 Suara – DJ Sonic, DJ Dyya dan DJ Nazrie.

Raikan pelbagai program dan acara sepanjang Ramadan diikuti kemuncaknya pada Syawal bersama-sama kami setulus hati di RTM.

 

Comments

Popular posts from this blog

COMBAT BAZE MEMBAWA PENGALAMAN REKREASI PENUH AKSI DI MALAYSIA

"CHECK, CONFIRM, CONSULT AND CHANGE" UNTUK MEMERANGI PRADIABETES

POWER ROOT TERUS MENYUMBANG KEPADA TABUNG KEMANUSIAAN PALESTIN MEDIA PRIMA

PROGRAM BAHARU ‘THE HARDEST SINGING SHOW’ CABAR VOKAL DAN KREATIVITI PENYANYI HEBAT TEMPATAN DI ASTRO