GENG KUBUR - KISAH SERAM EMPAT SEKAWAN SUKA LEPAK DI TANAH PERKUBURAN


Memilih tanah perkuburan sebagai lokasi untuk melepak pastinya dilihat sebagai aktiviti yang sangat pelik. Namun, ia bukanlah sesuatu perkara yang mustahil dan perbuatan melepak di tanah perkuburan ini memang selalu dilakukan pengarah Gavin Yap. 

Gavin berkata, sejak dia dan keluarganya kembali semula ke Malaysia setelah berhijrah ke United Kingdom, tempat tinggalnya memang terletak dengan kawasan perkuburan. “Saya tidak pasti sama ada secara kebetulan atau tidak, apabila kami menetap di Damansara Utama, rumah kami terletak hampir dengan tanah perkuburan. 


Setelah pindah ke Pulau Pinang, kediaman kami juga masih dekat dengan kubur. Jadi, boleh dikatakan melepak di dalam kawasan tanah perkuburan memang menjadi antara aktiviti saya bersama rakan-rakan ketika zaman persekolahan dulu,” ujarnya yang pernah mengarahkan filem Dendam Pontianak bersama Glen Goei. 

Sehubungan itu, Gavin memberitahu bahawa ia telah menimbulkan idea buat dirinya untuk menghasilkan sebuah filem yang berkaitan dengan aktiviti sedemikian. Ujarnya, berdasarkan pengalamannya itu telah menghasilkan sebuah filem seram berjudul Geng Kubur, di mana dia turut bertindak sebagai pengarah dan penulis skrip. 

Bercerita lebih lanjut mengenai filem tersebut, Gavin berkata, ia mengisahkan tentang empat orang sahabat baik yang menjadikan lepak di tanah perkuburan sebagai aktiviti utama mereka. “Geng Kubur bukan sekadar filem seram semata-mata, tetapi ia menitikberatkan kepada perjalanan kehidupan setiap watak iaitu empat orang sahabat. 


“Di sebalik kegemaran melepak di kawasan kubur, masing-masing ada kisah sendiri yang telah menghantui kehidupan mereka,” ujarnya. 

Filem Geng Kubur menampilkan barisan pelakon-pelakon muda seperti Firdaus Sufiyan, Mia Sara Shauki, Lion Chong dan Sasidaran selaku teraju utama. Menurut Gavin, penggambaran dilakukan pada September 2022 di beberapa buah lokasi seperti di Hulu Langat, Bandar Utama dan Kampung Baru. Mengenai harapannya untuk filem ini, Gavin berkata dia mengharapkan naskhah terbaharu itu mendapat diterima dan menghiburkan penonton. 

Ujarnya, dia yakin mereka yang menonton akan mengenang kembali kehidupan semasa zaman persekolahan dahulu. “Saya percaya, setiap penonton akan melihat ‘diri’ mereka dalam setiap watak yang ditampilkan. 

Ia bukan sekadar filem seram semata-mata, tetapi lebih daripada itu,” ujarnya. Sementara itu, Michael Chen selaku penerbit eksekutif menjelaskan pihaknya tertarik untuk menerbitkan Geng Kubur kerana kelainan yang ditampilkan. 


Michael berkata, Geng Kubur bukanlah sekadar mahu menonjolkan seram samata-mata, tetapi turut menyelitkan beberapa elemen lain untuk diangkat menjadi sebuah filem. “Selain elemen seram, antara tarikan dan kelainan filem ini adalah ia mengangkat tentang tema persahabatan, kekeluargaan dan penerimaan diri. 

“Dalam filem ini, setiap watak utama tidak menjalani kehidupan yang sempurna dan mereka perlu berhadapan isu yang melanda diri masing-masing. Boleh dikatakan, ada mesej yang ingin disampaikan kepada penonton,” ujarnya. 

Mengenai kos pembikinan pula, Michael mendedahkan kos keseluruhan untuk menghasilkan Geng Kubur adalah sebanyak RM1.2 juta. Namun begitu, beliau menyatakan dapat menerbitkan filem berkenaan telah memberi kepuasan tersendiri buat dirinya. “Saya dah Gavin sudah lama berkawan dan berkerjasama dalam pelbagai projek sejak tahun 2006. 


Apabila dia mencadangkan idea filem ini, saya percaya ia adalah sebuah naskhah yang sangat menarik untuk diterbitkan menjadi sebuah filem. “Selain itu, saya juga mempunyai pasukan produksi yang telah memberikan kerjasama sangat baik sepanjang penggambaran. Saya sendiri tidak sabar untuk filem ini ditonton oleh rakyat Malaysia,” jelasnya. 

Ujar Michael, filem ini juga turut mendapat maklum balas daripada mereka yang telah menontonnya dalam tayangan yang dibuat secara tertutup. “Rata-rata yang menonton juga memuji keserasian keempat-empat barisan pelakon. Malah, ada penoton yang mengimbas semula bahawa ada babak dalam filem pernah berlaku dalam diri mereka,” ujarnya. 

Diterbitkan Iron Hill Media Sdn. Bhd., filem Geng Kubur akan menemui penonton di pawagam mulai 25 April 2024.


SINOPSIS 

Firhan, Fang Liang, Prem dan Melati bersahabat baik dan sering menjadikan kubur tempat lepak mereka (kubur bukan muslim). Firhan yang kehilangan ibu akibat kemalangan 10 tahun lalu, masih tidak dapat melupakan ibunya dan dia sering bergaduh apabila emosinya terganggu. Dia merasakan mimpinya adalah realiti dan percaya ibunya masih hidup dan telah mengajak kawan-kawannya pergi ke tempat kejadian untuk mencarinya. 

Semasa berada di hutan, pemikiran mereka telah dimanipulasi dan mereka mengalami pelbagai kejadian aneh yang menakutkan. 

BARISAN PELAKON 

Firdaus Sufiyan sbg Firhan 
Mia Sara Shauki sbg 
Melati Lion Chong sbg Fang Liang 
Sasidaran sbg Prem 
Nabil Zakaria sbg Mus 
Nadia Aqilah sbg Nurul (ibu Firhan) 
Muhammad Saif sbg Firham (kecil) 
Mia Sabrina Mahadir sbg Hantu Hutan 
Amir Ameezan sbg Amir (ayah Firhan) 
Ghafir Akbar sbg Kaunselor 
Grace Ng sbg Ibu Fang Liang 
Terry Gallyot sbg Ayah Fang Liang 
Charles Roberts sbg Ramu 
Bella Rahim sbg Hantu Kopek 
Mogan Chandra Dass sbg Ayah Prem 
N. Dharshini C. Nadarajah sbg Ibu Prem 

PRODUKSI 

Terbitan - Iron Hill Media Sdn. Bhd. 
Pengarah - Gavin Yap 
Idea Asal - Gavin Yap 
Skrip - Gavin Yap & Honey Ahmad (co-writer) 
Penerbit Eksekutif - Sheen S. Singh Michael Chen 
Penerbit Penyelaras - Kaze Ng Qin Ying 
Pengurus Produksi - Oscar Lee Joon Hong 
Pengurus Lokasi - Tunku Mahir 
Pengarah Fotografi - Khairil M. Bahar 
Rekabentuk Produksi - Paul Hasham 
Busana - Elaine Ng 
Tatarias - Momoko Chang Ker Aunn & Iven Wong Wen Fu 
Grip/Gutso Grips - Sanny Singh 
Rakaman Audio Lokasi - Chen Fuan Sheng, MJ Tan, Tsen See Min (Jay) 
Pengarah Lagak Ngeri - Ayez Shaukat 
Peralatan Kamera & Teknikal - The Rental House/Link Choong How (Henry) 
Audio Pasca Bunyi - Nadir Studios/Ashwin Gobinath 
Pasca Produksi - Plus One Studio/Erik Moh 
Pasca Warna - Visual Fidelity/Hendro Setyo Wibowo 
Sarikata - Mamu Vies

Comments

Popular posts from this blog

CARIAN TAHUN 2024: INILAH PERKARA YANG DICARI, DISAMBUT, DAN DIINGATI OLEH RAKYAT MALAYSIA

‘REAL MEN MALAYSIA: WIRA MERAH’- 8 SELEBRITI JALANI KEHIDUPAN SEBENAR JABATAN BOMBA DAN PENYELAMAT MALAYSIA

SEBARKAN KASIH SAYANG DAN KEBAIKAN DENGAN VOLUNTOURISM