IKAT 2.0: EDISI PULAU PINANG DIBUKA PADA 27 HINGGA 28 APRIL 2024 DI LOFT 29, GEORGETOWN


IKAT 2.0 Edisi Pulau Pinang, sebuah platform yang melestarikan warisan seni tenunan dan tekstil Malaysia akan dibuka secara rasmi kepada orang ramai esok. Dengan berpaksikan tema 'Tradisi Tapestri', IKAT 2.0 Edisi Pulau Pinang memberi peluang unik kepada penduduk wilayah Utara untuk mengetahui lebih dekat tentang keindahan Batik Pantai Timur Malaysia yang kompleks. Bermula daripada motif sehingga teknik dan penciptaan tekstil secara artisan, semuanya bertempat di Loft 29, Georgetown pada 27 - 28 April 2024.

Dipelopori oleh studio kreatif Experiential Design Team (EDT) dan dipersembahkan oleh Yayasan Hasanah, IKAT atau singkatan “Immersive Knowledge and Textile” dianjurkan untuk memberi nafas baharu, menggalakkan semula penglibatan orang ramai dan menimbulkan rasa penghargaan rakyat Malaysia terhadap tekstil warisan menerusi pengalaman immersif, teknologi dan kerjasama strategik dengan artis, artis media baharu, institusi pendidikan serta pakar dalam subjek khusus.

Dengan bermula di Kuala Lumpur pada Januari 2024, IKAT 2.0 merupakan hab pengalaman tekstil timbul (pop-up) yang dijadualkan siri menjelajah Malaysia, diadakan di Pulau Pinang pada April 2024; Terengganu pada Julai 2024 dan berakhir dengan pameran di Sarawak pada Oktober 2024. Setiap edisi mempamerkan tema unik, tekstil warisan yang berbeza, tukang dan kurator.

“Kami amat berterima kasih atas sokongan padu yang kami terima daripada pakar dalam bidang tekstil, kraf, seni, fesyen dan pendidikan. Dengan kepakaran kolektif mereka, digabungkan dengan maklum balas berharga yang diterima semasa Edisi Kuala Lumpur, membolehkan kami memberikan pengalaman pembelajaran secara immersif yang akan dikongsikan bersama masyarakat Pulau Pinang. Dengan bermulanya perjalanan kami meniti keindahan tapestri Batik Pantai Timur bersama rakan-rakan dari utara, kami berharap ia dapat menyemarakkan perspektif baharu dan menjalin hubungan yang lebih mendalam dengan khazanah budaya unik kami,” kata Mahesh Naiker, Penyelaras Projek IKAT.


“Kisah-kisah budaya Malaysia penuh dengan kepelbagaian dan mendalam, namun sering kali tidak diceritakan. Dengan IKAT, kita boleh memanfaatkan kuasa teknologi untuk mendedahkan tentang kekayaan warisan kita dengan cara yang menarik, sambil memberi penghormatan kepada tukang berbakat dan kurator sejati di sebalik seni dan kraf tradisional kita," kata Khadijatul Azada, Ketua Kurator IKAT 2.0 edisi Pulau Pinang. “Batik adalah sebahagian daripada warisan budaya Malaysia, melambangkan warisan seni negara kita yang diwarisi turun-temurun. Dengan IKAT 2.0: 'Tradisi Tapestri', kami berhasrat untuk menimbulkan rasa bangga dalam kalangan rakyat Malaysia, memupuk dan memperbaharui ikatan dengan warisan yang dihargai,” Hanuni Ab Halim, Kurator Bersama IKAT 2.0 edisi Pulau Pinang.

IKAT 2.0: TRADISI TAPESTRI

Terokai warisan Batik Pantai Timur Malaysia di IKAT 2.0 Edisi Pulau Pinang. Penganjuran hab pengalaman tekstil timbul (pop-up) yang dinamik selama dua hari ini, menawarkan pelbagai aktiviti yang memberikan pengalaman unik, antaranya astaka pengalaman immersif, pameran tekstil, pengalaman fizikal dan digital berinspirasikan motif, bengkel amali melibatkan tukang mahir Kelantan, sesi bual bicara dan juga pertunjukan fesyen.

Dengan bertemakan ‘Tradisi Tapestri’, edisi Pulau Pinang ini bakal menyelami kepentingan simbolik lima elemen, iaitu Bumi, Air, Api, Logam, dan Kayu dalam pembuatan Batik. Ia membawa penonton menerokai budaya untuk memahami bagaimana elemen-elemen tersebut membentuk naratif, teknik dan penciptaan batik Malaysia.

Penganjuran IKAT 2.0: ‘Tradisi Tapestri’ diketuai Khadijatul Azada dan Hanuni Ab Halim. Khadijatul Azada merupakan pendukung kuat usaha penjenamaan dan pemeliharaan warisan budaya Malaysia selain turut terlibat dalam inisiatif pemerkasaan wanita. Beliau juga pernah mengetuai Projek Lining Perak Malaysia - sebuah inisiatif komuniti yang mendapat sokongan Yayasan Hasanah yang komited kepada pemeliharaan dan pemuliharaan warisan Malaysia menerusi tekstil tradisional, kraf logam dan seni persembahan. Manakala Hanuni pula merupakan seorang artis dalam seni ikat celup yang menjiwai bidang yang diceburi dan juga merupakan bekas Ketua Pegawai Operasi sebuah syarikat berimpak sosial yang memberi fokus untuk mempamerkan ciptaan batik hebat serta hasil premium dari Kelantan.

Sorotan IKAT 2.0: Tradisi Tapestri adalah seperti berikut:-

● Astaka Pengalaman Immersif (Immersive Pavilion): Galeri menarik seluas 480 kaki persegi ini menampilkan lima naratif yang menggambarkan Bumi, Air, Api, Logam, dan Kayu. Ia menawarkan pengunjung merasai pengalaman yang terbaik melalui tukang mahir dan ekspresi budaya Batik Malaysia yang telah kekal merentasi generasi.

● Pameran Tekstil: Selami diri menerusi pengalaman pertama di pameran tekstil, di mana anda dapat menerokai keanggunan abadi, kreativiti dan kesenian batik yang berasal dari Pantai Timur Malaysia. Alami sendiri pengalaman yang memberi tumpuan terhadap komponen penting pembuatan batik, termasuk pengecapan, celupan pewarna semula jadi serta lukisan Batik.

● Demonstrasi Langsung Pembuatan Batik dan Bengkel Amali oleh Tukang Mahir - Md Ghani bin Mat, Padil Osman and Nawwal binti Abdul Kadir. Md Ghani bin Mat, diiktiraf sebagai Adiguru dalam kraf blok batik akan mendedahkan proses menukang dan pembentukan blok batik dengan teliti. Padil Osman, artis yang berbakat dalam batik dan cat air, menghidupkan tradisi dan kreatif intipati batik melalui demonstrasi langsungnya. Sementara itu, pelajari tentang rahsia purba proses pencelupan semula jadi dengan Nawwal binti Abdul Kadir, artis pewarna semula jadi, penyelidik dan pensyarah di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) akan mempamerkan pelbagai tumbuhan, akar dan daun yang digunakan dalam proses pencelupan dengan peluang untuk melibatkan diri dalam mewarnakan kain batik bersamanya.

● Sesi Bual Bicara: Libatkan diri anda dalam sesi perbincangan dan bertukar pandangan bersama Azzaha Ibrahim, seorang arkitek, penyelidik bebas dan artis Corak Malaysia, dan Nawwal binti Abdul Kadir di mana mereka akan berkongsi aspirasi dan kepakaran mereka dalam teknik penghasilan motif serta proses pencelupan warna semula jadi.

● Pertunjukan Fesyen: Bertemakan penggunaan semula kreatif dan inovasi, pertunjukan fesyen ini akan mempersembahkan koleksi yang direka oleh pelajar fesyen dari Fakulti Seni Kreatif dan Gaya Hidup Universiti Limkokwing. Pertunjukan fesyen ini diselia oleh Dato Tiffanee Marie Lim.

Dalam bidang membudayakan warisan dengan teknologi, IKAT 2.0 merupakan satu-satunya acara berpengalaman yang menyatukan tekstil warisan dengan memberi pengalaman interaktif. IKAT 2.0 diterajui oleh Experiential Design Team (EDT) - sebuah studio kreatif yang pakar dalam realiti maya, realiti tambahan, serta realiti campuran. Projek ini direalisasikan oleh Yayasan Hasanah melalui geran pemuliharaan tekstil warisannya. IKAT 2.0 turut disokong oleh Filamen, Limkokwing University of Creative Technology, Penang Art District, Loft 29, WHOLE Malaysia, dan RUBIX Communications.

Kemasukkan ke hab pengalaman tekstil pop up IKAT 2.0: Tradisi Tapestri adalah percuma, dari pukul 10.30am ke 10.30pm. Untuk maklumat lanjut mengenai IKAT 2.0, sila layari https://ikatmalaysia.com/ atau ikuti Instagram @IKATMalaysia.


Comments

Popular posts from this blog

IQIYI MEMPERSEMBAHKAN DRAMA BERSIRI TERBAHARU ‘SENYAWA’ LAKONAN MANTAP TRISHA OOI, SHAHZ JASZLE & SITI HARIESA

APAKAH RISIKO MAKANAN DIPROSES BERLEBIHAN YANG WAJIB DIKETAHUI?

PERSEMBAHAN BALET SENSASI LONDON MENAMPILKAN PENARI CILIK CEMERLANG, SOPHIA ONG DARI SELANGOR, DALAM BALLET NIGHTS KUALA LUMPUR!