‘KONSERT COUNTDOWN KITA 2026’: ASTRO SATUKAN ARTIS PELBAGAI BANGSA RAIKAN TAHUN BAHARU

Syarikat hiburan dan penyiaran terkemuka negara, Astro, kembali dengan penganjuran konsert hujung tahun yang dinanti-nantikan, Konsert Countdown KITA 2026, seperti diumumkan dalam rakaman program popular MeleTOP. Meneruskan kejayaan luar biasa tahun lalu yang menarik lebih 30,000 penonton di lokasi serta mencatat lebih 18 juta tontonan di platform digital, konsert ini terus mengukuhkan kedudukannya sebagai acara kiraan detik tahun baharu paling ikonik dalam sejarah hiburan tanah air.

Tahun ini, konsert berprestij tersebut menjanjikan malam penuh gemilang dengan persembahan daripada barisan artis ternama tempatan bagi menutup tirai 2025 dan menyambut kehadiran tahun baharu dengan semangat serta aspirasi baharu. Selaras dengan tema “KITA”, acara ini meraikan kepelbagaian Malaysia, bagaimana setiap rentak dan suara membawa cerita, identiti serta aspirasi rakyat. Muzik menjadi jambatan penyatuan, menghimpunkan semua untuk melangkah ke tahun baharu dengan penuh optimisme dan kebersamaan.

Antara artis yang bakal memeriahkan pentas termasuk Ella, Alleycats, Faizal Tahir, Amir Masdi, Hael Husaini, Nadeera, ALPHA, Mimi Fly, Darkkey, Ruhan (juara Big Stage Tamil), Geraldine Gan, Nicole Lai, Zuvy, Jun Jun, Auddra, Rayme dan ramai lagi. Putri Yasmin Megat Zaharuddin, Naib Presiden Kandungan GenNext Astro, berkata: “Tahun lalu, konsert countdown kami menerima sambutan luar biasa. Tahun ini, kami memperluaskan barisan artis untuk pengalaman lebih meriah dan inklusif, seiring tema KITA sebagai simbol kebersamaan. Mengambil kira situasi banjir yang sedang melanda negara, Astro turut menyeru penonton untuk menyumbang kepada keluarga mangsa melalui Bantuan Bencana Banjir Astro Kasih.”

Konsert ini akan berlangsung pada 31 Disember 2025 di The Symphony Walk (East), IOI City Mall Putrajaya. Pre-Show KITA 2026 bermula jam 4.00 petang hingga 6.30 petang dengan barisan bakat Astro Home of Live, dihoskan oleh Haziq Hussni. Persembahan utama bermula jam 9.00 malam hingga 10.00 malam, menampilkan artis popular Malaysia, dihoskan oleh Nabil Ahmad bersama Revathy Mariappan dan Yoon Ng. Kemuncak acara ialah kiraan detik menjelang jam 12 tengah malam, diikuti pertunjukan bunga api eksklusif berskala besar serta persembahan penutup daripada penyanyi tersohor tanah air.

Astro sekali lagi berbesar hati menjalin kerjasama dengan IOI City Mall Putrajaya sebagai penaja utama dan rakan lokasi rasmi, serta Hotel Moxy Putrajaya sebagai hotel rasmi. Pelanggan Astro turut menikmati ganjaran eksklusif melalui Astro Rewards, termasuk kredit segera RM6 di aplikasi Club IOI, manfaat parkir percuma sehingga 4 jam, diskaun parkir tanpa had, serta potongan 15% di Hotel Moxy.

Sebagai usaha memeriahkan suasana, Astro turut menganjurkan pra-acara eksklusif Hello Putrajaya pada 6 Disember 2025 di IOI City Mall Putrajaya. Showcase ini menghimpunkan selebriti daripada program popular Astro seperti Elite, Mendua, Mark Adam, Nubhan, Iskandar Ismail, Ruri Repvblik (Gegar Vaganza 12), Naqiu, Iaman dan Saputra (The Chosen One XTRA), Mazleen (Juara Kilauan Emas 2025), Auddra, Sharifah Shahira, Amad dan Siti Sairah (Talk To My Manager), ALPHA (Big Stage Alpha), Zuana (Raise The Star Malaysia), Alvin Chong, Nicole Lai (Astro Star Quest), V-Haara (Attam) dan ramai lagi.


Hello Putrajaya turut berkolaborasi dengan VIU, menampilkan sesi meet & greet drama hit Satu, Dua… Dia? bersama barisan pelakon utama, eksklusif untuk pelanggan Astro melalui Astro Rewards. Acara ini menjadi pemanas suasana menjelang malam penuh gemilang Konsert Countdown KITA 2026.

Comments

Popular posts from this blog

SEPARUH NAFAS CINTA: SENGSARA PERKAHWINAN PAKSA DAN IBU MENTUA DARI NERAKA

SAFI MELANCARKAN SUNSCREEN SERUM PERTAMA: SAFI PERFECT WHITE 3X ADVANCE WATERY LIGHT SERUM SUNSCREEN

LUSH MALAYSIA MEMPERKENALKAN RANGKAIAN SNOW FAIRY PERTAMA DI SUNWAY PYRAMID

DESARU COAST DAN BOXXTOMOI ASIA MELANCARKAN COASTAL COMBAT 2026