LEHA - ANGKAT KISAH PENGAWAL KESELAMATAN JADI HERO BANTERAS KES JENAYAH


Kerja sebagai seorang pengawal keselamatan mungkin dilihat antara pekerjaan yang sering dipandang rendah oleh segelintir pihak. Bagaimanapun, kerjaya pengawal keselamatan ini sebenarnya sangat penting dalam mengawal keselamatan di sesebuah kawasan atau premis daripada sebarang kemungkinan.

Oleh yang demikian, ia telah memberi ilham kepada syarikat produksi Alfanazra Productions untuk menghasilkan sebuah filem mengangkat mereka sebagai hero menerusi sebuah filem komedi berjudul LEHA.


Pengarahnya, Azaromi Ghozali berkata, dia tertarik untuk menghasilkan filem Leha kerana ia sebagai tanggungjawab sosial sebagai warga tempatan untuk mengangkat taraf pengawal keselamatan ke satu tahap yang lebih tinggi agar masyarakat memandang mereka ini mempunyai keberanian tersendiri, malah turut dilatih dengan latihan ala tentera.

“Pada saya ini merupakan antara tarikan utama dalam filem ini. Selalunya orang memandang rendah kerjaya sebagai pengawal keselamatan namun kali ini saya mengangkat mereka dengan sifat keberanian dan tanggungjawab.

“Sedangkan kita sedia maklum tentang pengorbanan mereka yang sangat besar dalam soal menjaga keselamatan orang awam. Boleh dikatakan filem Leha ini sebagai satu penghargaan buat seluruh warga pengawal keselamatan dan seluruh ahli Persatuan Industri Keselaman Malaysia (PIKM),” ujarnya.


Bercerita lebih lanjut mengenai filem berkenaan, Azaromi memberitahu menerusi filemnya itu, dia mengangkat dua orang pengawal keselamatan menjadi hero yang membantu membanteras sebuah kes jenayah.

Jelasnya, filem Leha ini mengisahkan tentang tiga orang pengawal keselamatan di sebuah kilang yang membantu menyelamatkan seorang gadis bernama Leha yang hampir menjadi mangsa culik gara-gara mempunyai maklumat dan dokumen mengenai jenayah pemerdagangan manusia di kilang tersebut.

Filem berkenaan menampilkan barisan pelakon-pelakon popular seperti Ali Puteh, Kodi Rasheed, Dboy Hamdan, Silfeny Osman, Khir Rahman, Cat Farish, Deen Wahab, Ikhwan Khairudin, Bidin Al Zaifa dan ramai lagi.


Dalam pada itu, Azaromi menjelaskan kali ini dia memilih genre aksi komedi kerana ingin memberikan penonton berasa terhibur dengan lawak jenaka yang disampaikan dan secara tidak langsung dapat melihat kisah keberanian 3 orang pengawal keselamatan tersebut.

“Pemilihan genre aksi komedi ini bukanlah ingin memperlekehkan kisah pengawal keselamatan dalam filem ini, tetapi saya mahu ia sesuai untuk ditonton oleh semua lapisan masyarakat tanpa mengira umur. Dengan cara ini akan menarik minat penonton dan tanpa ragu-ragu untuk menonton bersama anak dan isteri.

“Saya juga mahu menampilkan sedikit kelainan berbanding filem aksi komedi yang lain, kerana dalam penceritaannya terdapat ‘plot twist’ yang semestinya akan memberikan kejutan kepada penonton,” jelasnya.

Mengenai cabaran yang dilalui sepanjang pembikinan filem Leha ini, pengarah itu mengakui menghasilkan sebuah filem komedi memang agar sukar.


Jelasnya, sebagai seorang pengarah, dia perlu memastikan komedi yang disampaikan dapat difahami oleh penonton.

“Kalau nak buat cerita air mata atau kisah seram, ia memang agak mudah, namun jika filem komedi, ia sangat subjektif kerana bukan senang untuk buat penonton. Setiap orang ada citarasa tersendiri dan tidak perlu hairan jika satu panggung ketawa tiba-tiba serorang daripadanya langsung tidak senyum dan begitu juga sebaliknya apabila kita langsung tidak ketawa

“Inilah cabaran terbesar buat diri saya untuk mengarahkan sebuah filem komedi seperti Leha,” ujarnya.

Filem Leha akan mula ditayangkan di pawagam seluruh negara mulai 11 APRIL 2024 sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri nanti.


SINOPSIS

Mengisahkan mengenai seorang gadis, Leha pekerja di sebuah kilang yang mengetahui rahsia di sebalik kes jenayah pemerdagangan manusia di kilang tempat dia bekerja. Leha hampir-hampir diculik sekumpulan lelaki di depan kilangnya itu, namun kejadian berkenaan disedari dua orang pengawal keselamatan iaitu Sani dan Khai yang telah menyelamatkannya.

Rupa-rupanya, Leha telah menjumpai dokumen dalam sebuah pen drive yang mengandungi segala maklumat mengenai kegiatan jenayah yang dilakukan bosnya itu menjadi punca dia diculik. Rentetan daripada itu, Leha bersama Sani dan Khai dan seorang lagi pengawal keselamatan yang baru bekerja iaitu Adam telah bergabung untuk membongkar kegiatan jenayah berkenaan.

BARISAN PELAKON

ALI PUTEH - Sani
KODI RASHEED - Khai
D’BOY HAMDAN - Adam
SILFENY OSMAN - Leha
IKHWAN KHAIRUDIN - Zaman
CAT FARISH - Faizul
DEN WAHAB - Tuan Murad
BIDIN AL ZAIFA - Cak Cai

PELAKON PEMBANTU

BEN RYZLAN - Pak Ayob
ACHOK CHILOK - Bob

PENAMPILAN KHAS

KHIR RAHMAN - MR T.B

Comments

Popular posts from this blog

SERTAI KEMERIAHAN ’HELLO NU SENTRAL’ BERSAMA BINTANG TERHEBAT TEMPATAN PADA 27 APRIL INI!

"CHECK, CONFIRM, CONSULT AND CHANGE" UNTUK MEMERANGI PRADIABETES

FIRETALK 2024 BY NOURUL DEPP KEMBALI SUNTIK MOTIVASI, UBAH MENTALITI