MERUNGKAI MISTERI ENDOMETRIOSIS UNTUK MEMBERI HARAPAN DAN MEMPERKASA KAUM WANITA

Di Malaysia, satu perjuangan yang senyap menjejaskan kehidupan kira-kira 350,000 orang wanita. Ini selaras dengan perangkaan global yang menganggarkan kira-kira 190 juta orang wanita yang sedang menghadapi ‘musuh’ yang tidak dikenali ramai ini, iaitu endometriosis. Ia merupakan satu penyakit yang mungkin pernah didengari, tetapi tidak ramai yang benar-benar memahaminya.

Image by jcomp on Freepik


Sempena Bulan Kesedaran Endometriosis, marilah kita kenali secara ringkas tetapi kritikal mengenai penyakit yang seringkali diselubungi misteri dan salah tanggapan bagi memperkasa kaum wanita dan orang tersayang mereka dengan ilmu dan juga harapan.

Bayangkan satu penderitaan yang sukar untuk difahami dalam betuk keadaan yang merebak secara senyap dalam kalangan jutaan wanita dan seterusnya menimbulkan kesakitan yang amat teruk dan menjejaskan aktiviti paling rutin seperti kitaran haid, hubungan seksual serta rutin mudah harian seperti membuang air kecil atau buang air besar.

Ini adalah realiti yang menyedihkan bagi mereka yang menghidap penyakit endometriosis, keadaan di mana tisu yang menyerupai lapisan rahim tumbuh di luar rahim. Penyakit ini akan menyebabkan kesakitan yang teruk, kembung perut, keletihan, dan pelbagai gejala lain. Bagi kebanyakan orang, simptom ini boleh memberikan kesan terhadap kesihatan mental wanita, yang membawa kepada kemurungan dan kebimbangan. Namun, mereka masih dijangka menjalani kehidupan harian secara normal, lazimnya bersendirian dan tanpa sokongan yang sewajarnya untuk mengharungi penyakit tersebut.

Keadaan ini menjadi semakin serius apabila ia melibatkan kesuburan dan wanita dalam usia reproduktif. Dengan peratusan 30% hingga 50% wanita tidak subur didapati menghidap endometriosis, impian untuk menjadi ibu sebaliknya menjadi mimpi buruk. Peluang untuk hamil mungkin terhalang oleh penyakit ini yang menyebabkan anatomi pelvis yang herot, tiub fallopio berparut, dan pelbagai faktor lagi yang mempengaruhi kualiti telur dan kehamilan.


Satu perjuangan senyap yang seringkali tidak diketahui.

Walaupun terdapat statistik yang ketara dan angka yang mengejutkan, namun apa yang lebih membimbangkan adalah kekurangan kesedaran mengenai penyakit ini.

Surita Mogan, Pengasas dan Presiden Persatuan Endometriosis Malaysia (MYEndosis) menegaskan bahawa walaupun terdapat ramai wanita yang terjejas oleh endometriosis di negara ini, masih terdapat dokumentasi dan kesedaran yang terhad tentang penderitaan mereka.

“Rakyat Malaysia secara amnya tidak mempunyai pengetahuan yang meluas mengenai endometriosis dan mengapa sesetengah wanita mengalami keadaan ini. Salah satu sebab utama adalah kerana ia sering dianggap sebagai subjek tabu. Orang ramai masih merasa tidak selesa untuk berbicara tentang kesihatan haid secara terbuka walaupun ini tidak seharusnya berlaku,”katanya.

“Malah, memecahkan kebisuan ini adalah sangat penting. Dengan memupuk perbualan terbuka dan meningkatkan kesedaran tentang topik tersebut dalam kalangan orang ramai, kita boleh memperbetulkan salah tanggapan dan mewujudkan komuniti prihatin yang mana kaum wanita boleh bersuara tanpa kebimbangan. Kita perlu mengubah naratif mengenai haid dan endometriosis. Kita memerlukan penyelidikan, sumber dan pengiktirafan yang lebih baik tentang keadaan ini. Dengan berbuat demikian, kita boleh mencipta masa hadapan di mana endometriosis bukan lagi suatu penderitaan dalam senyap, tetapi suatu cabaran yang harus dihadapi dengan persefahaman dan perpaduan,” jelasnya.


Walaupun topik tabu ini masih diselubungi kebisuan, kita masih mempunyai harapan! Seperti Surita Mogan, terdapat ramai penyokong dan profesional perubatan lain yang berhempas-pulas untuk membantu wanita yang menghadapi endometriosis. Mereka membentuk komuniti wira tanpa didendang yang mendedikasikan kerjaya mereka untuk berjalan seiringan bersama pesakit, dari proses diagnosis, rawatan, sehingga kepada penjagaan dan sokongan berterusan yang amat diperlukan. Antara mereka ialah Dr. Liza Ling Ping, Perunding Obstetrik, Pakar Ginekologi dan Pakar Kesuburan di TMC Fertility, rangkaian pusat kesuburan dan pakar wanita yang terletak di Pulau Pinang, Ipoh, Johor Bahru, dan Lembah Klang.

“Sempena Bulan Kesedaran Endometriosis ini, kami telah meningkatkan usaha kami untuk memberi penerangan tentang kesan penyakit ini, terutamanya terhadap ketidaksuburan. Kami berharap usaha ini dapat membantu memperkasakan wanita untuk mendapatkan diagnosis yang segera dan juga rawatan yang menyeluruh, agar tiada wanita yang menghadapi penderitaan endometriosis berseorangan,” kata Dr. Liza.

“Selain simptom fizikal, kami telah menyaksikan bagaimana endometriosis turut memberi kesan yang mendalam kepada kesejahteraan emosi, perhubungan dan kualiti hidup seseorang. Dengan menyediakan pendidikan, sokongan dan pilihan rawatan lanjutan, kami berhasrat untuk memperkasakan dan membimbing wanita serta keluarga mereka agar mereka menerima penjagaan dan perhatian yang sewajarnya. Matlamat kami adalah untuk meningkatkan pemahaman dan juga rawatan yang lebih mendalam untuk penyakit ini, serta membawa perubahan positif dalam kehidupan wanita tanpa mengira di mana," tambahnya.


Memahami endometriosis dan langkah selanjutnya

Endometriosis dibahagikan kepada empat tahap, setiap tahap mencerminkan kompleksiti dan dan impak berbeza penyakit ini. Daripada kesan yang minimum hingga teruk, setiap tahap menggambarkan keadaan penularan penyakit dan memberikan pengetahuan tentang gejala dan pilihan rawatan yang boleh digunakan untuk mengurangkan kesakitan dan memulihkan kualiti hidup.

Tahap pertama, atau endometriosis minimum, melibatkan tompok tisu kecil yang bertaburan, lazimnya tanpa simptom atau dengan ketidakselesaan pelvis yang ringan. Pada tahap kedua, endometriosis ringan, terdapat peningkatan jumlah tompok tisu, dan ia berpotensi untuk menjejaskan kesuburan dan menyebabkan kesakitan semasa haid dan ketidakselesaan semasa hubungan seks. Tahap tiga, atau endometriosis sederhana, jumlah tompok tisu semakin meningkat, dan mungkin juga terdapat tisu parut dan perekatan. Ini akan menyebabkan sakit pelvis kronik dan masalah penghadaman. Tahap empat, atau endometriosis teruk, dicirikan oleh tompok tisu yang meluas, sista besar, dan parut tisu yang ketara, mengakibatkan kesakitan yang teruk dan berpotensi menjejaskan fungsi usus dan kencing.

Walaupun tiada penawar yang mutlak untuk endometriosis, klasifikasi tahap keadaan pesakit oleh pakar diagnosis boleh membantu mereka mendapatkan pilihan rawatan yang sesuai untuk menangani simptom tersebut dan meningkatkan kualiti hidup.

Dalam hal ini, pengetahuan dan tindakan awal adalah amat penting. Terdapat pelbagai jenis rawatan yang tersedia untuk pesakit, termasuk pembedahan laparoskopi dan rawatan kesuburan khusus yang bertujuan untuk menangani simptom-simptom dan mencegah penularan penyakit. Diagnosis dan tindakan awal boleh memberi akses kepada pilihan rawatan yang lebih berkesan, yang bukan sahaja mengurangkan simptom , tetapi juga meningkatkan kualiti hidup, malah melindungi kesuburan seseorang pesakit.

Bagi mereka yang mengesyaki bahawa diri mereka, atau seseorang yang rapat mungkin menghidapi endometriosis, ia adalah sangat penting untuk mendapatkan bantuan pakar dan rawatan perubatan profesional. Langkah ini juga penting untuk dijadikan teladan oleh ramai orang lain yang mungkin sedang menderita dalam diam. Dapatkan bantuan dan mara ke arah masa hadapan di mana endometriosis bukan lagi satu penderitaan yang disembunyikan, tetapi satu cabaran yang dihadapi dengan belas kasihan, pengetahuan, dan yang paling penting, harapan.

Comments

Popular posts from this blog

SUNWAY MALLS MERAIKAN ULANG TAHUN KE-50 SUNWAY GROUP DENGAN PENUH GILANG DI SELURUH NEGARA

X-CHANGE: ASTRO ORIGINALS YANG PERTAMA HIMPUNKAN PELBAGAI BAHASA, MENGGABUNGKAN GENRE AKSI, JENAYAH & ROMANTIK

KEMPEN ‘MEMPERKASAKAN IMPIAN WANITA’ SUNSILK BERJAYA MENJANA RM100,000 UNTUK SOKONG WOMEN OF WILL

BAWAH PAYUNG AWAN - GANDINGAN ISTIMEWA NABILA RAZALI, BEN AMIR DAN NELISSA NIZAM