KOLABORASI ALIF SATAR DAN DURIOO+ UNTUK MEMBAWA MAKNA SURAH AL-FATIHAH KEPADA KANAK-KANAK


Dalam usaha untuk mendekatkan kanak-kanak dengan Al-Quran, penyanyi terkenal Alif Satar telah berkolaborasi bersama dengan platform penstriman selamat, Durioo+ untuk penghasilan video lagu animasi berjudul ‘Al-Fatihah’. Lagu ini dihasilkan melalui siri animasi teater muzikal islamik ‘Durioo SHOWTIME!’ khusus untuk membantu kanak-kanak memahami makna di sebalik surah Al-Fatihah dengan cara yang menarik dan mudah difahami.

Alif Satar, melalui akaun Instagramnya, berharap agar lagu ini dapat menjadi alat bantu pembelajaran yang efektif bagi kanak-kanak untuk mengenali dan memahami kandungan Al-Quran.

“We gotta make a change one step at a time. Ini misi bersama Durioo+. Kita nak bentuk masa depan anak-anak kita. We start with the basic!” kata Alif melalui kiriman di Instagram.

Pengasas Durioo+, Sinan Ismail berkata, “Kami di Durioo+ sentiasa mencari cara-cara inovatif untuk mendekatkan kanak-kanak dengan ajaran Islam. Lagu 'Al-Fatihah' ini adalah pemula. Ia satu usaha murni untuk mengajak kanak-kanak mendalami makna Al-Quran dalam suasana yang menyeronokkan dan mudah difahami. Kami percaya kolaborasi dengan Alif Satar ini akan memberikan impak yang positif kepada generasi muda.”

Melalui kiriman di Facebook, Sinan memaklumkan Durioo+ bakal menggerakkan bengkel dan klinik yang boleh membantu kanak-kanak dan masyarakat memahami Al-Quran dan terbuka untuk berkolaborasi dengan mana-mana pihak.

Durioo+, platform penstriman yang komited untuk menyediakan kandungan berkualiti tinggi yang selamat dan bermanfaat untuk kanak-kanak Muslim, terus memperluas koleksi kandungan mereka dengan pelbagai program pendidikan dan hiburan. Lagu ‘Al-Fatihah’ akan menjadi sebahagian daripada koleksi eksklusif Durioo+ yang direka khusus untuk mendidik kanak-kanak melalui hiburan.

Lagu "Al-Fatihah" akan dilancarkan secara rasmi di aplikasi Durioo+ bermula 19 Jun 2024 dan boleh diakses oleh semua pelanggan Durioo+. Manakala ‘sneak peek’ dan video di belakang tabir boleh ditonton di YouTube Durioo+ Malaysia. Para ibu bapa digalakkan untuk memperkenalkan lagu ini kepada anak-anak mereka sebagai alat bantu pembelajaran yang seronok dan mendidik.

Comments

Popular posts from this blog

BIASISWA SISWI SAFI MENYOKONG WANITA MALAYSIA MEMACU MASA DEPAN

4 TIPS BERGUNA UNTUK MELANCONG OLEH UNIVERSAL TRAVELLER

APAKAH RISIKO MAKANAN DIPROSES BERLEBIHAN YANG WAJIB DIKETAHUI?