SITKOM “APARTMEN PUTRA” MUSIM BAHARU LEBIH MENCUIT HATI


Menjanjikan wajah baharu yang lebih segar dalam sketsa yang dipersembahkan di samping mengetengahkan isu-isu semasa yang berlaku dalam kalangan masyarakat kita, sitkom terbitan Radio Televisyen Malaysia (RTM), “Apartmen Putra” bakal kembali mencuit hati penonton setia RTM mulai penghujung tahun ini.

Memasuki musim keenam dan ketujuh, sitkom arahan Zarool Fahmee Khairuddin dan Rohayu A.W yang merupakan penerbit di Unit Drama TV RTM ini mengekalkan pelakon Atu Zero, Eric Fuzi, dan Noorkhiriah, selain menyaksikan kemunculan watak-watak baharu dibawakan oleh pelakon Mamak Puteh, Jiggy Masin, Dewa Sapri, Zulin Aziz, Elly Arifin, dan Kenchana Devi.

Dirakamkan di Studio M1, Angkasapuri, Kuala Lumpur, sitkom ini juga turut diserikan dengan kemunculan artis jemputan pada setiap minggu. Antara artis terlibat termasuklah Azhan Rani, Yasmin Hani, Nazeera Sardi, Dato' Fazley Yaakob, Faradhiya, Dr Soo Wincci, Ridzokumura, Adam Corrie, Noreen Iman, Mark Adam dan ramai lagi.

Perkongsian 13 episod setiap musim ini mengetengahkan banyak kisah masyarakat kelas pertengahan dengan berlatar lokasi sebuah apartmen di tengah bandar raya Kuala Lumpur. Pelbagai konflik dan masalah yang berlaku antara penghuni rumah tersebut namun dapat diselesaikan dengan baik meskipun terdapat percanggahan pendapat antara mereka. Setiap isu atau masalah yang dihadapi dipersembahkan secara lucu dan bersahaja walaupun perkara tersebut agak serius.

Sitkom ini mengisahkan tentang tiga orang lelaki dalam sebuah apartmen iaitu Ba (Atu Zero), Subadron (Mamak Puteh) dan Uncle Joe (Dewa Sapri) yang merupakan ahli baru rumah berkenaan. Ketiga-tiga mereka berbeza usia, kerjaya dan perangai. Ba (30an) merupakan seorang “propman” syarikat produksi, Subadron (40an) seorang penganggur yang sedang mencari kerja dan Uncle Joe (50an) merupakan gamer profesional.

Subadron asalnya berpewatakan lembut dalam Apartmen Putra musim sebelum ini. Selepas dia menyertai program PLKN, perwatakannya berubah menjadi lelaki sejati. Uncle Joe merupakan ahli baru dalam rumah Ba. Uncle Joe memiliki seorang anak iaitu Jaafar. Namun mereka telah terpisah dan Uncle Joe tidak mengetahui bahawa anaknya, Jaafar merupakan pengurus penyelenggaraan Apartmen Putra.

Julia merupakan penjaga kedai Serba Ada Mart yang menggantikan Maya (Reen Rahim) yang telah membuka cawangan di tempat baru. Julia merupakan seorang andartu yang sibuk mencari jodoh. Perwatakannya bimbo, suka berhias dan suka buat live tutorial make up. Dia sering diusik oleh Ba dan Subadron.

Elly pula merupakan barista di sebuah kafe francais (NESQ Café) yang diwujudkan sebagai elemen baru dalam musim baharu ini. Elly seorang yang cantik dan bijak. Dia bekerja di kafe untuk mencari pengalaman kerja sementara menunggu peluang pekerjaan yang lebih baik. Elly merupakan teman wanita Jaafar. Dek kerana kebijaksanaannya, dia menjadi rujukan Subadron untuk memperbaiki Bahasa Inggeris masing-masing. Hal ini menimbulkan perasaan cemburu dalam hati Jaafar.


Apartmen Putra sebelum ini telah bersiaran sebanyak lima (5) musim sejak November 2021 hingga Januari 2024.

Comments

Popular posts from this blog

ASTRO MENAMPILKAN DRAMA ‘TERNYATA SEBUAH BAHAGIA’, MEMAPARKAN KISAH KETABAHAN SUAMI DAN ISTERI.

ASTRO ORIGINALS ‘PROJECT; EXIT’ MENGUPAS ISU KESIHATAN MENTAL & KONFLIK KELUARGA MENERUSI KISAH PERSAHABATAN YANG PENUH EMOSI

IQIYI SAJIKAN DRAMA BERSIRI ‘SATU HARI NANTI’ GANDINGAN BELLA ASTILLAH, EZAIDI AZIZ & EYKA FARHANA

IQIYI MEMPERSEMBAHKAN DRAMA BERSIRI TERBAHARU ‘SENYAWA’ LAKONAN MANTAP TRISHA OOI, SHAHZ JASZLE & SITI HARIESA