SEPUTAR LAWATAN NICHOLAS TSE UNTUK PROMOSI FILEM ‘CUSTOMS FRONTLINE’ DI KUALA LUMPUR
Para peminat di Malaysia akhirnya dapat menyaksikan dari dekat pelakon Hong Kong, Nicholas Tse yang berkunjung ke Malaysia untuk mempromosikan filem terbaharunya, ‘Customs Frontline’ pada 9 Julai lalu. Beliau diiringi oleh pengarah filem tersebut, Herman Yau.
Dalam lawatan promosi filem ‘Customs Frontline’ ke Malaysia ini, mereka telah hadir di sidang media di Menara Kuan Choo dan sesi bertemu peminat di The Connection, Pavilion Kuala Lumpur dan juga di Aurum Theatre, The Exchange TRX.
Filem aksi edaran Shanghai Pictures yang sangat dinantikan, ‘Customs Frontline’ telah mula ditayangkan di Malaysia pada 5 Julai 2024. Filem ini bukanlah sebuah drama polis biasa; ia mengisahkan kehidupan sebenar pegawai kastam Hong Kong dan memaparkan keberanian serta dedikasi mereka dalam memerangi jenayah global termasuk penyeludupan senjata api yang jarang memfokus atau menonjolkan kepakaran anggota kastam.
Bersama media Bahasa Malaysia & Inggeris |
Diarah oleh Herman Yau, ‘Customs Frontline’ menampilkan barisan pelakon yang terkenal, termasuk penghibur legenda Jacky Cheung, yang kembali ke layar perak selepas "berehat" selama lapan tahun. Cheung bergabung dengan Nicholas Tse dan Karena Lam dalam filem aksi yang hebat ini.
Pengarah Filem ‘Customs Frontline’ - Herman Yau |
Nicholas Tse - Tiga Peranan dalam filem: Pelakon, Koreografer Aksi & Penggubah Lagu Tema
Tse memegang bukan dua tetapi tiga peranan dalam filem ini, iaitu pelakon watak Chow Ching-lai, koreographer aksi dan juga penggubah lagu tema filem ini. Beliau tidak hanya memberikan persembahan yang hebat, tetapi juga membuat penampilan pertamanya sebagai koreografer aksi filem ini. Projek ini mempunyai makna istimewa bagi Tse, yang telah mengagumi filem aksi Hong Kong sejak kecil.
“Sewaktu kecil saya selalu meniru aksi Jackie Chan dan Donnie Yen. jika ditanya, secara jujur saya akan meneruskan tradisi merisikokan diri untuk melakonkan babak aksi dalam filem Hong Kong. Kerana itu saya turut menjadi koreografer aksi buat pertama kali dalam sejarah lakonan menerusi Customs Frontline,” ujar Tse.
Pemenang Aktor Terbaik dalam Hong Kong Film Award ke- 31 itu juga mahu terus membawa semangat dan dedikasi yang pernah ditonjolkan mendiang Pengarah Benny Chan menerusi dunia sinema Hong Kong seperti dalam filem Gen-X Cops, New Police Story, Shaolin dan Raging Fire.
Lagu tema filem ‘Customs Frontline’ digubah khas oleh Nicholas Tse untuk dinyanyikan oleh Jacky Cheung.
Filem aksi tanpa henti ini telah memperolehi kerjasama penuh daripada Jabatan Kastam Hong Kong dan difilemkan di lokasi-lokasi utama seperti Ibu Pejabat Kastam Hong Kong dan Pangkalan Tentera Laut Ngong Shuen Chau bagi menambahkan lapisan autentisiti kepada cerita.
Sinopsis Ringkas
Dua pegawai Kastam Hong Kong, Chow Ching-lai (Nicholas Tse) dan Cheung Wan-nam (Jacky Cheung) merupakan pasangan mentor dan anak didik yang cukup akrab. Ching lai telah diarahkan bekerjasama dengan Interpol menyelesaikan kes penyeludupan senjata api. Namun Wan-nam telah membuat keputusan yang menjadikan siasatan kes tersebut lebih rumit.
Jangan ketinggalan untuk menyaksikan ‘Customs Frontline’ di pawagam berhampiran anda sekarang!
Comments
Post a Comment