REBECCA O'CONNOR MEMUKAU DENGAN DENDANGAN LAGU-LAGU TINA TURNER DALAM KONSERT "SIMPLY THE BEST: CELEBRATING TINA"
Para penggemar penyanyi lagenda Tina Turner pasti terhibur dengan konsert penghormatan atau tribute yang bertajuk “Simply The Best: Celebrating Tina” pada 11 Julai 2024 di Zepp Kuala Lumpur. Rebecca O’Connor, satu-satunya artis yang diberi pengiktirafan oleh Tina sendiri, memberikan persembahan yang memukau dan meninggalkan penonton terpesona.
O’Connor, yang berkecimpung dalam dunia hiburan dengan menyanyikan lagu Tina Turner sejak 15 tahun yang lalu, menghidupkan semangat Ratu Rock and Roll tersebut dalam setiap lagu. Interpretasinya terhadap lagu klasik seperti “What’s Love Got To Do With It” dan “Private Dancer” begitu sempurna, menciptakan suasana yang menggamit nostalgia.
Konsert malam tersebut telah dimulai dengan persembahan bintang hip-hop Malaysia, Kayda Aziz, yang membawakan hit “Call On Me” dengan dinamik.
Penampilan O’Connor di pentas persis Tina Turner, dengan dandanan rambut dan bibir merah ikonik ala Tina. Sepanjang persembahan 90 minit, para penonton menyanyi dan menari bersama mengikuti interpretasi lagu-lagu klasik Tina Turner seperti “Nutbush City Limits,” “Proud Mary,” dan banyak lagi.
Dalam persembahan lagu “Help,” O'Connor memakai baju berkilauan yang direka oleh pereka fesyen terkenal Malaysia, Dato’ Tom Abang Saufi. Rekaan dengan perincian yang halus memberikan sentuhan yang istimewa kepada persembahan beliau.
“Simply The Best” bukan sekadar konsert; ia adalah konsert bagi meraikan seorang penghibur legenda, yang dihidupkan semula oleh seorang artis berbakat, Rebecca O’Connor.
Dibawakan oleh Milestone Production, konsert ini wajib ditonton oleh peminat Tina Turner atau sesiapa juga yang berhibur dengan lagu-lagu rancak bertenaga yang memukau.
Comments
Post a Comment