VIETJET DAN AIRBUS MEMETERAI PERJANJIAN PEMBELIAN 20 BUAH PESAWAT A330NEO BERNILAI US$7.4 BILION DI PERTUNJUKAN UDARA FARNBOROUGH


Vietjet dan Airbus telah memeterai perjanjian pembelian 20 buah pesawat generasi baharu berbadan lebar A330neo (A330-900) bernilai US$7.4 bilion (kira-kira RM34.62 bilion) mengikut senarai harga pengeluar, di Pertunjukan Udara Antarabangsa Farnborough 2024. Majlis penandatangan kontrak tersebut disaksikan oleh Pengerusi Vietjet, Dr. Nguyen Thi Phuong Thao, dan Ketua Pegawai Eksekutif Perniagaan Pesawat Komersial Airbus, Christian Scherer.

Perjanjian ini merupakan salah satu yang terbesar di pertunjukan udara tersebut untuk tahun ini. Pesawat-pesawat baharu tersebut akan digunakan untuk penerbangan jarak jauh Vietjet yang kian berkembang serta di laluan yang mempunyai permintaan tinggi di rantau ini. Pesawat-pesawat baharu tersebut juga bakal menggantikan rangkaian pesawat A330-300s Vietjet yang sedia ada bagi menyokong pelan strategik syarikat penerbangan itu untuk mengembangkan lagi rangkaian penerbangan antara benuanya.

Pengerusi Vietjet, Dr. Nguyen Thi Phuong Thao berkata, “Pesawat A330neo adalah satu strategi bagi meluaskan rangkaian pesawat Vietjet dan meningkatkan kapasiti operasi ke tahap global. Pesawat A330neo berteknologi canggih dan cekap bahan api ini juga merupakan sebahagian daripada strategi pembangunan mampan dan matlamat ESG kami, yang menyasarkan pelepasan sisa karbon mencecah sifar bersih menjelang 2050. Para penumpang juga bakal menikmati penerbangan jarak jauh yang lebih selamat, selesa dan moden. Dengan adanya pesawat Airbus tersebut, Vietjet dapat menawarkan penerbangan yang lebih jimat kepada lebih 200 juta orang penumpang, termasuk mereka yang menaiki kapal terbang buat kali pertama. Usaha ini juga diharapkan dapat menghubungkan orang ramai, negara dan benua, mempromosikan pembangunan ekonomi dan menggalakan pertukaran budaya.”

“Kami amat teruja untuk menandatangani perjanjian bersejarah ini dengan salah sebuah syarikat penerbangan yang sedang pesat berkembang di Asia,” kata Benoît de Saint-Exupéry, Naib Presiden Eksekutif Jualan, Pesawat Komersial Airbus. “Ini menunjukkan keyakinan industri penerbangan terhadap generasi Airbus berbadan lebar terbaharu kami. . Pesawat A330neo juga mempunyai fleksibiliti untuk disesuaikan bagi semua jenis model perniagaan dan rangkaian penerbangan, sama ada laluan domestik dan serantau atau jarak jauh. Kabin Airspace yang pernah mendapat anugerah juga membantu syarikat penerbangan menyediakan pengalaman yang terbaik bagi semua penumpang dan boleh disesuaikan sepenuhnya dengan setiap model bisnes . Ia juga membolehkan Vietjet Air untuk meningkatkan kapasiti penumpang untuk laluan penerbangan antara benua pada kos yang lebih rendah, sekaligus mengurangkan penggunaan bahan api dan pelepasan sisa karbon.”


A330neo menampilkan kabin Airspace yang pernah merangkul anugerah dan menetapkan piawaian baharu dalam ciri keselesaan, keluasan dan reka bentuk, serta memberikan penumpang pengalaman yang unik semasa di udara. Ini termasuk sistem pencahayaan baharu, tempat menyimpan beg yang lebih besar dan akses kepada sistem hiburan terkini dan juga telekomunikasi. Dikuasakan oleh enjin Rolls-Royce Trent 7000 generasi terkini, A330-900 mampu terbang sejauh 7,200 nm / 13,300 km tanpa henti.

Vietjet mengendalikan rangkaian penerbangan yang mempunyai lebih daripada 105 buah pesawat. Kadar peningkatan jumlah penumpang yang berterusan adalah selaras dengan usahanya untuk mengembangkan lagi rangkaian penerbangan antarabangsanya. Antara laluan yang digunakan untuk penerbangan harian ialah Kuala Lumpur dengan Ho Chi Minh City, metropolis terbesar di Vietnam. Laluan ini menawarkan pilihan transit yang mudah kepada pelancong Malaysia untuk meneroka destinasi popular bukan sahaja di Vietnam malahan di seluruh rantau Asia Pasifik.

Comments

Popular posts from this blog

“RONA BOSPHORUS”, DRAMA ADAPTASI PERTAMA BUKA TIRAI DI RTM TAHUN 2025

SEJUTA BINTANG KEMBALI, TOP 32 BERSEDIA BERSAING DALAM CALPIS SODA ONE IN A MILLION!

KEHADIRAN WATAK-WATAK BAHARU MENCERIAKAN ASTRO SMK MUSIM 3