VIETJET MEMPERLUASKAN KERJASAMA STRATEGIK DI PERTUNJUKAN UDARA ANTARABANGSA FARNBOROUGH 2024
Berikutan tempahan 20 buah pesawat berbadan lebar A330neo di Pertunjukan Udara Antarabangsa Farnborough 2024, Vietjet telah menandatangani perjanjian penting dengan Rolls-Royce dan Lufthansa Technik, peneraju global dalam aeroangkasa dan kejuruteraan. Perjanjian ini penting ini dalam mengukuhkan lagi komitmen syarikat penerbangan tersebut terhadap penerbangan yang mampan dan kecemerlangan operasi melalui kerjasama strategik dan penambahan jumlah pesawat.
Dalam perjanjian bersejarah ini, Vietjet memperoleh 40 buah enjin Trent 7000 daripada Rolls-Royce, bersama-sama dengan perkhidmatan enjin TotalCare bagi 20 buah pesawat A330neo yang baru ditempah. Trent 7000 adalah enjin canggih yang terkenal dengan ciri mesra alam dan kemampanan. Ia menawarkan peningkatan 14% dalam keberkesanan pembakaran bahan api bagi setiap tempat duduk untuk A330neo. Ciri enjin ini dapat membantu Vietjet untuk mengurangkan pelepasan CO2 sebanyak lebih 100,000 tan bagi setiap pesawat dalam tempoh hayat penggunaannya .
Perkhidmatan TotalCare yang dipertingkatkan oleh sistem pemantauan kesihatan enjin termaju Rolls-Royce bertujuan meningkatkan kecekapan operasi, kebolehpercayaan dan ketersediaan enjin Trent 7000 Vietjet bagi rangkaian pesawat A330neo.
Dinh Viet Phuong, Ketua Pegawai Eksekutif Vietjet, berkata: “Gabungan enjin Trent 7000 moden dengan pesawat generasi terbaru Airbus A330neo dan disokong oleh perkhidmatan premium TotalCare dapat membantu Vietjet meningkatkan kualiti penerbangan, kebolehpercayaan dan kecekapan operasi. Dengan adanya enjin Rolls-Royce generasi terbaharu, ia diharapkan membantu mencapai matlamat ESG kami iaitu pelepasan sifar bersih menjelang 2050, selaras dengan strategi pembangunan mampan Vietjet.”
Selain itu, Vietjet mengukuhkan kerjasama globalnya dengan pemeteraian perjanjian Sokongan Komponen Lengkap (TCS) eksklusif dengan Lufthansa Technik, pembekal MRO terkemuka dunia. Perjanjian komprehensif yang bakal berkuatkuasa pada Oktober 2024 ini mencatatkan pencapaian baharu dalam kerjasama yang sedia terjalin antara kedua-dua buah syarikat tersebut.
Di bawah perjanjian TCS, Lufthansa Technik akan menyediakan perkhidmatan komponen yang meluas untuk rangkaian pesawat Vietjet yang kian berkembang dimana ia terdiri daripada 184 buah pesawat Airbus A320 dan 9 buah pesawat Airbus A330. Kontrak ini akan memastikan kecemerlangan operasi dan standard penyelenggaraan tertinggi bagi pesawat-pesawat Vietjet dan merupakan perjanjian TCS terbesar yang diperoleh Lufthansa Technik di rantau Asia Tenggara.
Berucap mengenai perjanjian tersebut, Johanna Koch, Naib Presiden Jualan Korporat Asia Tenggara dan Sub-benua India di Lufthansa Technik berkata: “Kami merasa teruja untuk memperluaskan kerjasama kami dengan Vietjet melalui perjanjian TCS yang penting ini. Kami bersyukur kerana Vietjet telah memberi kepercayaan mereka kepada kami sekali lagi untuk menjadi rakan niaga dan berkembang maju bersama-sama di masa hadapan . Lufthansa Technik komited untuk menyediakan perkhidmatan berkualiti dan sokongan terbaik untuk memastikan kejayaan berterusan operasi Vietjet.”
Rolls-Royce, sebuah syarikat aeroangkasa dan pertahanan British yang terkenal mempunyai warisan sejarah yang kaya sejak 1904. Lufthansa Technik adalah peneraju global dalam perkhidmatan pesawat teknikal yang dipercayai oleh syarikat penerbangan di seluruh dunia untuk penyelesaian MRO yang terbaik.
Dengan kerjasama Rolls-Royce, Lufthansa Technik dan rakan kongsi penerbangan global terkemuka yang lain, Vietjet meneruskan pelaburan dalam penyelesaian dan perkhidmatan teknologi penerbangan yang terkini untuk mengekalkan standard keselamatan dan kualiti yang tertinggi. Dengan rangkaian pesawat baharu yang mempunyai ciri pembakaran bahan api yang efisien dan kadar kebolehpercayaan teknikal 99.6%, Vietjet meraih kedudukan sebagai salah satu syarikat penerbangan terkemuka di peringkat serantau dan juga global. Syarikat penerbangan tersebut telah menerima penarafan keselamatan 7/7 bintang daripada AirlineRatings dan telah diiktiraf sebagai salah satu syarikat penerbangan tambang rendah paling selamat di dunia sejak 2018 lagi.
Vietjet mengendalikan rangkaian penerbangan yang mempunyai lebih daripada 105 buah pesawat. Kadar peningkatan jumlah penumpang yang berterusan adalah selaras dengan usahanya untuk mengembangkan rangkaian penerbangan antarabangsanya. Antara laluan yang digunakan untuk penerbangan harian ialah Kuala Lumpur dengan Ho Chi Minh City, metropolis terbesar di Vietnam. Laluan ini menawarkan pilihan transit yang mudah kepada pelancong Malaysia untuk meneroka destinasi popular bukan sahaja di Vietnam malahan di seluruh rantau Asia Pasifik.
Comments
Post a Comment