VIU MALAYSIA LANCARKAN SIRI SUPERNATURAL THRILLER TERBAHARU - NAFSU


Viu, perkhidmatan penstriman video OTT pan serantau milik PCCW melancarkan Viu Original terbaharu Nafsu yang dibarisi oleh barisan pelakon hebat seperti Kamal Adli, Azira Shafinaz, Aqasha, Khayrisyah Kemal dan Nia Atasha. 

Drama bersiri 8 episod terbitan Infinitus Productions ini merupakan siri Viu Original yang ke-26 ditayangkan di Malaysia dan akan mula ditayangkan pada 27 Jun dengan episod baru pada setiap hari Khamis. Nafsu menyingkap kisah di sebalik kawasan setinggan dan lorong gelap Kuala Lumpur dan lelaki bernama Sam yang menipu dan menyamar sebagai bomoh demi kelangsungan hidup. 


Bersama-sama rakannya, Suria, mereka mengaut duit golongan atasan yang mudah terpedaya dengan ilmu hitam. Namun hakikatnya, Sam memang mempunyai deria keenam dan pernah diajar ilmu Ruqyah semasa kecil, tetapi Sam menolak keupayaan itu kerana suatu tragedi. Apabila Dina, bekas kekasih Sam datang meminta pertolongan mencari Alia, adik perempuannya yang hilang selepas mendengar suara-suara aneh, Sam cuba menerima anugerahnya bagi membantu Dina. 

Kehilangan Alia cumalah satu permulaan kepada suatu ancaman yang lebih besar, melibatkan kumpulan ajaran sesat daripada golongan elit yang diketuai seorang lelaki misteri penuh karisma bernama Gusti. Disertai Dina dan Suria, Sam bakal diduga dengan perkara-perkara di luar jangkaan akal sementara bandar Kuala Lumpur menyaksikan rancangan besar Gusti berjalan. 


Pengurus Negara Viu Malaysia, Kingsley Warner berkata “Setelah kejayaan menghasilkan naskah berbentuk thriller seperti Hilang dan Nenek Bongkok Tiga, kami sangat teruja untuk membawakan sebuah lagi naskah buat peminat yang gemarkan siri bergenre ini. Dengan jalan cerita yang memukau, elemen mendebarkan serta watak-watak yang ditonjolkan menjadikan Nafsu adalah pilihan tepat untuk ditambahkan dalam senarai siri Viu Original kami.” 

“Para pelakon kami, Kamal Adli, Azira Shafinaz dan Aqasha merupakan nama yang sinonim dengan siri Viu Original. Sebelum ini mereka pernah membintangi Viu Original Black S1 & S2, Ijab Kabut dan Hilang. Nafsu merupakan gandingan pertama mereka bertiga di dalam siri yang berbentuk supernatural dan thriller. Pengalaman dan variasi kemahiran lakonan tersendiri mereka pastinya akan memberikan penonton pengalaman menonton yang lebih tulen dan menarik,” tambah Kingsley. 

Nafsu menjanjikan sebuah pengalaman menonton yang tidak akan dilupakan, berlatarbelakangkan lokasi menarik dan bersejarah di Malaysia, hiruk-pikuk jalan di kota metropolitan Kuala Lumpur, Janda Baik dan Batu Cave. Garapan sinematografi yang banyak bermain dengan cahaya di dalam siri ini akan membangkitkan mood seram dan mendebarkan serta memberi pengalaman menonton yang berbeza. Bukan itu sahaja, tenaga produksi berusaha keras bagi mengekalkan keaslian lokasi dan menggambarkan hakikat kawasan kejiranan dalam siri ini. 


Diarahkan oleh Sein Qudsi, ini merupakan naskah ketiga arahannya bagi Viu Original. Bersama Ghaz Abu Bakar, Sein telah mengarah musim kedua Viu Original Black (2021), sebuah adaptasi drama Korea dengan tajuk yang sama. 

Karya mereka telah menobatkan mereka anugerah kebangsaan untuk Pengarah Terbaik (Fiksyen) di Asian Academy Creative Awards 2021. 

Sein turut menggubah lagu tema Viu Original Nafsu ini berjudul “Kala Tiba” yang dinyanyikan oleh penyanyi terkenal, Marsha Milan. 


Penonton boleh menonton Viu Original Nafsu di aplikasi Viu, yang boleh dimuat turun secara percuma di App Store, Google Play, Huawei App Gallery dan TV pintar terpilih, serta di laman web www.viu.com. Untuk mengetahui lebih lanjut, muat turun Viu di App Store atau Google Play, atau layari www.viu.com. Ikuti kami di Facebook, Instagram, YouTube, Twitter, dan TikTok.

Comments

Popular posts from this blog

ASTRO MENAMPILKAN DRAMA ‘TERNYATA SEBUAH BAHAGIA’, MEMAPARKAN KISAH KETABAHAN SUAMI DAN ISTERI.

ASTRO ORIGINALS ‘PROJECT; EXIT’ MENGUPAS ISU KESIHATAN MENTAL & KONFLIK KELUARGA MENERUSI KISAH PERSAHABATAN YANG PENUH EMOSI

IQIYI SAJIKAN DRAMA BERSIRI ‘SATU HARI NANTI’ GANDINGAN BELLA ASTILLAH, EZAIDI AZIZ & EYKA FARHANA

IQIYI MEMPERSEMBAHKAN DRAMA BERSIRI TERBAHARU ‘SENYAWA’ LAKONAN MANTAP TRISHA OOI, SHAHZ JASZLE & SITI HARIESA