SYAMEL DEDAH SISI LAIN DENGAN SINGLE TERBARU ‘HAMBA CINTA’


Mahu meneroka genre baharu dan mencari kelainan, Syamel gembira apabila melancarkan single Hamba Cinta bermula 16 Ogos yang lalu. Lagu berentak pop jazz itu dilihat sedikit lari daripada kebiasaan bagaikan memberi semangat baharu kepadanya.

Melihatkan sambutan hangat yang diberikan oleh peminat sejak dilancarkan Jumaat lalu, Syamel bersyukur kerana karya baharunya itu diterima baik dan menganggap itu petanda dia berada di landasan yang betul apabila memilih sisi berbeza untuk naskhah kali ini.

Syamel hanya mahu memberikan kelainan dan membuktikan bahawasanya muzik adalah sesuatu yang luas - sesiapa sahaja boleh meneroka potensi baharu untuk mencari kepuasan dalam berkarya.

“Sebagai penyanyi saya mahukan kelainan dalam repertoire sendiri terutama bila mengadakan persembahan. Semua pendengar mahu gembira menikmati muzik dan saya sendiri tidak mahu memberikan lagu berentak perlahan atau balada semata-mata.

“Bila bercerita mengenai muzik, kepelbagaian itu sangat penting. Muzik perlu dinikmati dengan seribu satu rasa. Harapnya mereka akan gembira menikmati Hamba Cinta pada masa akan datang,” katanya.

Intipati naskhah ini diambil daripada kisah hati yang menimpa sebuah perhubungan. Kasih sayang dan pengorbanan yang dibina akhirnya sia-sia dek pengkhianatan yang akhirnya membunuh sebuah kepercayaan seperti yang terjadi kepada kebanyakan pasangan.

Pada akhirnya, kasih sayang yang dibina bagai tiada harga dan mereka tidak lagi mahu menjadi hamba kepada sebuah perhubungan sebegitu.

(Kiri) Raqeem Brian, Pengarah A&R Warner Music Malaysia_Syamel (Kanan)Dinesh Ratnam, Pengarah Urusan Warner Music Malaysia 

Terdapat banyak perubahan yang dilakukan oleh Syamel bersama Yusuff Khan, Adam Armi dan Adly Kiddy yang bertindak selaku pencipta lagu ini. Tidak keterlaluan jika dikatakan ini merupakan lagu paling banyak melalui perubahan susunan muzik sebelum masuk ke studio rakaman.

Meskipun ini merupakan kerjasama pertama antara mereka, ia dilakukan demi memastikan hasil akhir memberikan kepuasan buat semua yang terlibat di belakang tabir seterusnya diterjemah ke dalam sebuah muzik video (MV).

Kali ini, Syamel berani mengambil cabaran menggunakan pasukan baharu dalam penerbitan MV berkenaan. Beberapa kod rahsia dan mesej tersembunyi turut disuntik bagi memastikan apa yang ingin diterjemah sampai kepada pendengar.

Secara harfiahnya, Hamba Cinta merupakan permulaan kepada sebuah transisi besar yang akan berlaku kepada perjalanan seninya memandangkan dia bersama syarikat rakaman Warner Music Malaysia sudah merancangkan mahu menerbitkan sebuah album penuh bagi melengkapkan katarsis seninya.

Lagu-lagu yang bakal dimuatkan dalam album berkenaan terdiri daripada pelbagai genre seperti pop rock, RNB, pop jazz selain lagu balada yang sudah sebati dengan dirinya sejak memulakan karier seni.

Sebagai pengkarya, perubahan yang dilakukan juga seiring dengan kematangan dirinya yang mahu meneroka sisi lain sebelum mengeluarkan album penuh yang dijadualkan terlaksana pada tahun hadapan.

“Selain sibuk mempromosikan Hamba Cinta, saya juga sedang sibuk mengumpul dan menerbitkan material baharu untuk album tersebut. Semua itu perlukan masa dan saya tak mahu tergesa-gesa menerbitkan tanpa sebarang persediaan.

“Saya gembira kerana pihak syarikat rakaman memberikan kebebasan untuk berkarya dan banyak kelainan akan diberikan demi memastikan peminat puas dengan naskhah baharu yang akan diterbitkan nanti,” katanya yang sudah merakamkan dua buah lagu sebelum ini bersama Warner Music Malaysia.

Meskipun mahu berubah angin, Syamel tidak akan sesekali meninggalkan lagu balada yang sudah sebati dengan dirinya. Dia faham kehendak sebahagian besar peminat masih tertumpu kepada genre berkenaan dan gembira memenuhi kemahuan mereka.

Berani memberikan kelainan, Hamba Cinta sebenarnya turut buat versi dangdut sebagai memenuhi kehendak semasa. Walaupun belum dilancarkan secara rasmi, versi berkenaan juga sedikit sebanyak menyerlahkan lagi sisi lain Syamel.

“Idea untuk menghasilkan lagu versi dangdut ini terhasil apabila melihatkan trend di TikTok. Saya mahu peminat mendengar dan melayan lagu ini sambil menari dan sebagainya. Bila melihatkan banyak versi begini mendapat sambutan, saya ambil cabaran ‘terjun’ sama.

“Harapnya peminat enjoy dan menikmati versi dangdut itu nanti,” katanya yang sedang merancang untuk mengadakan konsert solo sebagai simbolik kepada ucapan terima kasih kepada peminat yang tidak jemu-jemu menyokong kerjaya seninya.


Lagu ini sudah pun dilancarkan secara rasmi pada 16 Ogos yang lalu disemua platform digital seperti Spotify, Apple Music, KKBox, Deezer dan juga YouTube Music. Video muzik lagu ini juga boleh ditonton melalui YouTube Warner Music Malaysia mulai 21 Ogos 2024 ini.

Comments

Popular posts from this blog

IQIYI MEMPERSEMBAHKAN DRAMA BERSIRI TERBAHARU ‘SENYAWA’ LAKONAN MANTAP TRISHA OOI, SHAHZ JASZLE & SITI HARIESA

APAKAH RISIKO MAKANAN DIPROSES BERLEBIHAN YANG WAJIB DIKETAHUI?

PERSEMBAHAN BALET SENSASI LONDON MENAMPILKAN PENARI CILIK CEMERLANG, SOPHIA ONG DARI SELANGOR, DALAM BALLET NIGHTS KUALA LUMPUR!