JANGAN PANDANG BELAKANG 2 - FILEM SERAM TERBITAN METROWEALTH BAKAL DITAYANGKAN DI 14 BUAH NEGARA
Metrowealth International Group (MIG) telah mengumumkan bahawa filem Jangan Pandang Belakang 2: Aku Tahu Asal Usulmu (JPB2) akan mencatat rekod tersendiri dengan tayangan di 14 buah negara. Filem ini merupakan filem pertama tempatan yang ditayangkan bukan sahaja di Asia Tenggara malah di seluruh dunia.
Pengasas dan CEO MIG, David Teo, menyatakan bahawa beliau tidak menjangka sekuel kepada filem yang mencetus fenomena 17 tahun lalu, Jangan Pandang Belakang (JPB), akan mendapat sambutan luar biasa daripada pengedar antarabangsa.
Berita baik tentang tayangan global filem ini telah diumumkan di sebuah majlis yang dilangsungkan di ibu pejabat MIG, diikuti dengan pesta makan durian untuk para media yang hadir.
Filem seram ini bakal ditayangkan di 14 buah negara termasuk
- Malaysia
- Singapura
- Brunei
- Thailand
- Indonesia
- Cambodia
- Filipina
- Vietnam
- Myanmar
- Laos
- New Zealand
- Rusia
- Turkey
- Australia
Menurut penerbit David Teo, selepas kecemerlangan Jangan Pandang Belakang di enam negara di Asia Tenggara, kini beliau ingin mengulangi kejayaan dengan melebarkan sayap filem ini ke seluruh dunia dan seterusnya mengembalikan fenomena filem seram Malaysia.
Beliau juga mahu berterima kasih kepada rakan media yang tidak pernah putus asa dalam memberi sokongan kepada beliau sepanjang pembikinan filem ini dari proses awal sehingga kini. David Teo turut menambah, beliau berharap agar sokongan dari pihak media berterusan agar mampu menarik lebih ramai penonton ke pawagam pada 21 November 2024 nanti.
Filem Jangan Pandang Belakang 2 ini ditulis dan diarahkan oleh Pierre Andre and dibintangi oleh pelakon handalan seperti Emma Maembong, Iedil Dzuhrie Alaudin, Mawar Rashid, Alif Hadi, Khatijah Tan, Rumaini Sidek, Hafidzuddin Fazil, Cat Farish, Kel Narina dan ramai lagi.
Filem ini merupakan kisah kesinambungan saka keluarga Opah yang mencari tuan baharu untuk didampingi. Namun, ada sesuatu lain yang menghalang dan membawa kepada pelbagai kejadian menyeramkan.
Dalam perkembangan lain, MIG juga telah siap penggambaran dan menunggu tarikh tayangan bagi dua filem cereka lain iaitu, DAJAL (SATU MALAM DIPEDAJAL) dan CITRA APARTMENT yang bakal menemui penonton pada tahun 2025.
Comments
Post a Comment