SITI SALEHA BERANGKAT KE KOREA UNTUK SERTAI SEOUL INTERNATIONAL DRAMA AWARDS 2024!


Pelakon wanita popular, Siti Saleha tercalon dan kini berada di kedudukan teratas dalam undian bagi kategori Outstanding Asian Star di Seoul International Drama Awards 2024 (SDA), hasil daripada sokongan kuat peminat di seluruh Asia. Lakonan mantapnya dalam Tonton Original, SeOfis, telah memikat hati penonton, menjadikannya calon pilihan utama dalam anugerah ini. Majlis penganugerahan yang dinantikan ini akan berlangsung pada 25 September 2024 di Yeouido KBS Hall, Seoul, Korea Selatan.

Menurut Siti Saleha, beliau merasa sangat terkejut dan bersyukur dengan pencalonan ini. “Saya benar-benar tidak menyangka akan dicalonkan untuk anugerah berprestij ini, apatah lagi untuk kategori yang sangat besar seperti Outstanding Asian Star. Ini adalah pengiktirafan yang sangat bermakna buat diri saya, dan saya berasa amat bertuah menerima sokongan yang begitu luar biasa dari peminat di seluruh Asia. Saya harap pencalonan ini akan membuka lebih banyak peluang untuk saya serta rakan-rakan artis di Malaysia meneroka pasaran antarabangsa.”

Sejak diperkenalkan pada tahun 2005, Seoul International Drama Awards berperanan penting dalam mempromosikan kepelbagaian budaya melalui drama, dan kini menjadi platform global yang meraikan bakat-bakat dari seluruh dunia. Bagi tujuan menghargai pelakon yang menyerlah dalam industri drama sepanjang tahun lalu, Trofi Outstanding Asian Star akan ditentukan melalui proses undian secara global dan kategori ini akan menampilkan tujuh pemenang daripada 6 negara iaitu Korea (Lelaki & Perempuan), Thailand, Malaysia, Singapura, Filipina dan Indonesia. Pemenang dipilih berdasarkan undian peminat dari seluruh dunia melalui aplikasi IDOL CHAMP, dengan tempoh undian berlangsung dari 15 Jun 2024 hingga 14 Julai 2024.


Menurut Siti Saleha, pencalonan ini bukan sahaja menjadi kebanggaan untuk dirinya, tetapi juga buat industri seni tanah air, “Semua anak seni tanah air pastinya mengimpikan kemenangan di pentas antarabangsa tambahan berkongsi pentas yang sama bersama artis antarabangsa yang lain. Ini merupakan satu perkara yang besar dan membanggakan kerana kita bukan sekadar mewakili negara tetapi ia juga satu merupakan satu peluang untuk membuktikan bahawa bakat-bakat di Malaysia ini boleh mengembangkan sayap mereka di peringkat antarabangsa. Menerusi anugerah ini juga, ia akan menjadi satu titik permulaan bagi sesuatu yang lebih hebat.”

Kali terakhir Malaysia meraih kemenangan dalam kategori ini adalah pada tahun 2017. Pencalonan Siti Saleha dalam kategori ini membawa harapan besar negara dengan keunggulannya di peringkat antarabangsa dan ia juga memperkukuh lagi kedudukannya sebagai salah seorang pelakon terbaik di Malaysia. Siri SeOfis mengisahkan tentang cabaran dunia korporat menerusi pertembungan tiga personaliti wanita berkerjaya di usia 30-an yang akhirnya membentuk satu ikatan persahabatan bagi mengharungi suka duka, cita-cita dan cinta di ibu kota. Drama ini menampilkan barisan pelakon hebat yang lain seperti handalan Malaysia seperti Siti Saleha, Nadiya Nisaa, Nadia Aqilah, Fahrin Ahmad dan ramai lagi.

Comments

Popular posts from this blog

ASTRO MENAMPILKAN DRAMA ‘TERNYATA SEBUAH BAHAGIA’, MEMAPARKAN KISAH KETABAHAN SUAMI DAN ISTERI.

PESTA SEMBILAN MAHARAJA DEWA DAN AMALAN VEGETARIAN

KULIT LEBIH CERAH DAN LEBIH DILINDUNGI DENGAN PELINDUNG MATAHARI SAFI PERFECT WHITE 3X ADVANCE BRIGHTENING SPF 50+ PA ++++ YANG BAHARU