PUTERI KHAREEZA BAKAL PUKAU PEMINAT MELALUI SHOWCASE SOLO PERTAMANYA, ‘SEBENAR’,


Selepas mencipta nama dalam dunia muzik dan mencuri hati penonton di layar televisyen, kini saatnya penyanyi dan pelakon versatil, Puteri Khareeza, memukau penggemar muzik dan suaranya melalui showcase solo pertamanya, ‘Sebenar’, yang bakal menyapa peminat pada 16 November 2024 di RCD Big Studio, Plaza Alam Sentral, Shah Alam. Sidang media eksklusif hari ini diadakan untuk memberikan gambaran awal mengenai showcase ini yang juga menjadi pentas utama bagi Puteri untuk menampilkan single terbarunya, "Sebenar", yang merupakan lagu runut bunyi (OST) drama popular TV3, Khilaf Yang Tertulis. Sebagai tanda istimewa, Puteri turut mempersembahkan dua buah lagu secara eksklusif untuk tetamu media yang hadir.

Puteri Khareeza tidak dapat menyembunyikan keterujaannya mengenai showcase sulungnya ini, dan berjanji akan memberikan persembahan yang terbaik buat semua peminat yang hadir. Showcase ‘Sebenar’ bukan sahaja menjadi platform untuk mempamerkan bakat nyanyian, tetapi juga memberi peluang kepada peminat untuk mengenali lebih dekat sosok Puteri Khareeza yang sebenar dan meraikan perjalanan seni Puteri Khareeza dalam industri hiburan.


"Saya sangat gugup tetapi pada masa yang sama teruja kerana ini adalah kali pertama saya akan mengadakan showcase yang dibantu oleh pihak pengurusan. Saya akan berikan yang terbaik buat peminat dan keluarga saya," ujar Puteri Khareeza. Beliau turut berterima kasih kepada mereka yang telah menyokongnya selama ini, terutama pihak pengurusan dan guru vokal yang membantu dalam persiapan untuk showcase ini. Dengan persiapan selama lima bulan latihan bersama guru vokal, Cikgu Delly, serta bantuan pengurusan Alternate Records, beliau yakin dapat memberikan persembahan yang mengagumkan. “Showcase ini adalah pencapaian besar bagi Puteri sejak memulakan karier dalam industri hiburan. Ini adalah showcase pertama saya. Peluang ini adalah yang terbaik dan saya akan mengingati sejarah ini sebagai titik penting dalam kerjaya saya," tambahnya lagi. "Saya berharap dapat menghiburkan tetamu yang hadir dan memberikan persembahan yang terbaik buat semua peminat saya," katanya penuh harapan.

Lagu-lagu yang bakal dipersembahkan adalah gabungan lagu-lagu popular dan beberapa lagu baharu yang pastinya membuat peminat teruja. Proses pemilihan lagu dibuat dengan teliti untuk memenuhi citarasa peminat dan menonjolkan keunikan vokalnya. Antara lagu-lagu yang bakal disampaikan termasuk "Sebenar", "Sakitnya Hati", "Duka Di Sebalik Tawa", “Sinaran”, dan banyak lagi. Showcase ini dijangka dapat menarik kira-kira 500 orang peminat setia, yang juga akan dimeriahkan dengan persembahan kolaborasi istimewa bersama artis jemputan seperti Haris Fayahet, Zazo Maulana, Maria Khairul (alumni Lagu Cinta Kita 3) dan Adi dari kumpulan Venus.


Puteri Khareeza telah membuktikan bahawa kejayaan dalam industri hiburan tidak menghalangi seseorang untuk mencapai prestasi akademik yang cemerlang. Sebagai pelajar dalam jurusan undang-undang di UiTM Shah Alam, Puteri berjaya menyimbangkan karier dan pendidikan. Sokongan dari keluarga, rakan-rakan, dan terutamanya Alternate Records, menjadi sumber kekuatannya, "Bagi saya, pendidikan amat penting dan perlu diseimbangkan dengan minat saya dalam seni. Alhamdulillah, pensyarah saya sangat memahami dan sentiasa menyokong kerjaya seni saya," ujar Puteri. Walaupun berhadapan dengan cabaran, beliau yakin dapat menamatkan pengajian dengan jayanya.

Menurut Puan Shahila Shah, Pengurus Besar Kanan, Penerbitan Filem, Müzik dan Kandungan Rancangan, Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, showcase ini bertujuan untuk menampilkan kehebatan Puteri sebagai seorang artis yang mampu mengimbangi dunia hiburan dan akademik, "Puteri bukan sahaja versatile dalam bidang lakonan dan nyanyian, tetapi juga seorang pelajar yang cemerlang. Kejayaannya dalam mengekalkan prestasi seimbang ini adalah sesuatu yang sangat kami kagumi dan boleh menjadi contoh terbaik untuk artis muda lain. Beliau seorang yang rajin dan berdedikasi dan showcase ini adalah bukti komitmen kami untuk terus menyokong kariernya", kata Puan Shahila Shah.

Sebagai seorang artis muda yang beraspirasi, Puteri telah bersama Alternate Records selama tiga tahun dan hingga ke hari ini, beliau telah mencapai pelbagai kejayaan besar. Antaranya, beliau merupakan finalis Top 6 dalam rancangan Big Stage dan pernah dicalonkan sebagai BBNU Wanita Popular di Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2023. Selain itu, beliau juga menjadi wajah utama untuk jenama Panadol dan beberapa jenama terkenal lain.

Lahir dari program realiti Lagu Cinta Kita 3 pada tahun 2022, Puteri Khareeza membuktikan dirinya sebagai seorang artis serba boleh. Selain nyanyian, beliau juga aktif dalam dunia lakonan, membintangi drama popular seperti Nuh & Nayla, Wanita Syurga, dan Kerana Cinta Itu Ada. Lagu-lagu hit beliau seperti "Duka Di Sebalik Tawa" (OST Melur Untuk Firdaus), "Sebenar" (OST Khilaf Yang Tertulis), dan "Helah" (OST Haloba) telah mendapat sambutan luar biasa, dengan "Duka Di Sebalik Tawa" berjaya meraih lebih 475 juta tontonan di TikTok, 5.4 juta tontonan di YouTube, dan 2.4 juta penstriman di platform dalam talian seperti Spotify.

Showcase ‘Sebenar’ adalah peluang terbesar untuk Puteri menonjolkan bakatnya dan merupakan bukti kerja kerasnya dalam mencapai impian serta meninggalkan impak dalam dunia hiburan tempatan. Jadi, jangan lepaskan peluang untuk menyaksikan Puteri Khareeza ‘Sebenar’ Showcase secara langsung di RCD Big Studio, Plaza Alam Sentral, Shah Alam pada 16 November 2024. Jom sama-sama kita ‘healing’ bersama Puteri Khareeza dengan alunan muzik yang meraikan satu peristiwa penting dalam karier Puteri.


Showcase ini pasti menjadi acara yang amat dinantikan oleh peminat setia yang mengikuti setiap langkah dalam karier seninya. Jadi tunggu apa lagi? 16 November 2024 di RCD Big Studio, Plaza Alam Sentral, Shah Alam!

Untuk maklumat terkini berhubung Alternate Records & Talents, layari akaun rasmi media sosial Facebook, @alternate.my_ di Instagram, dan @alternate.rt_ di TikTok.

Comments

Popular posts from this blog

“RONA BOSPHORUS”, DRAMA ADAPTASI PERTAMA BUKA TIRAI DI RTM TAHUN 2025

SEJUTA BINTANG KEMBALI, TOP 32 BERSEDIA BERSAING DALAM CALPIS SODA ONE IN A MILLION!

KEHADIRAN WATAK-WATAK BAHARU MENCERIAKAN ASTRO SMK MUSIM 3