EKSPO PRODUK E-DAGANG TERPILIH MALAYSIA 2024 MENARIK DELEGASI ANTARABANGSA
Ekspo Produk E-Dagang Terpilih Malaysia 2024 secara rasminya dilancarkan hari ini di MITEC, menandakan satu pencapaian penting bagi hubungan perdagangan Malaysia yang semakin meningkat dengan China. Dengan lebih daripada 200 jenama terkemuka dari China dan tempatan mempamerkan produk mereka, ekspo ini dijangka dapat mengukuhkan hubungan ekonomi dua hala dan memperluaskan peluang perniagaan di seluruh Asia Tenggara. Acara ini yang mengunjurkan transaksi bernilai RM60 juta, turut meraikan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik antara Malaysia dan China pada tahun ini.
“Seperti pepatah Cina yang mengatakan, ‘Orang dulu menanam pokok, generasi berikut menikmati teduhannya’. Ianya mengingatkan kita kepada usaha para pemimpin terdahulu dalam membina asas kukuh untuk kita teruskan dengan membina kemakmuran bersama dan pertumbuhan yang kolaboratif. Kini, ianya menjadi tanggungjawab kita untuk meneruskan dan memperluaskan lagi legasi tersebut,” ujar Albert Chan, Pengarah Urusan JMM Holding dan JMM Exhibition yang turut merupakan penganjur ekspo dalam ucapan perasmiannya.
Penyertaan Pelbagai Pempamer Mencerminkan Pertumbuhan Kerjasama Dua Hala
Ekspo tersebut menonjol dengan penyertaan yang pelbagai, melibatkan hampir 200 pempamer dari Malaysia dan China merangkumi pelbagai sektor seperti solusi tenaga baharu, teknologi elektrik pintar, fesyen, produk gaya hidup, dan inovasi rumah. Chan menekankan potensi transformasi acara ini sebagai platform untuk memperkukuh hubungan perniagaan dua hala dan memberi manfaat kepada pengguna tempatan.
“Dengan 80% pempamer dari China dan 20% dari Malaysia, ianya jelas menunjukkan minat dan keyakinan yang kuat daripada syarikat-syarikat China dalam memanfaatkan Malaysia sebagai laluan masuk strategik ke Asia Tenggara,” jelas Chan.
Kehadiran delegasi perniagaan antarabangsa dari China dan Pakistan turut menguatkan lagi kepentingan ekspo sulung ini, sekaligus mengetengahkan peranan penting Malaysia sebagai hab berbilang budaya dan bahasa untuk perdagangan serantau di seluruh Asia Tenggara.
Komitmen Teguh Kerjasama Dua Hala
Ekspo Produk E-Dagang Terpilih Malaysia ini berlangsung ketika kerjasama yang semakin erat antara Malaysia dan China, terutamanya ketika kedua-dua negara meraikan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik pada tahun 2024. Acara ini juga bertepatan dengan pengumuman terkini China mengenai pelanjutan polisi pengecualian visa selama 30 hari untuk warganegara Malaysia, yang dijangka dapat meningkatkan lagi kerjasama merentas sempadan.
“Inisiatif ini mencerminkan hubungan yang semakin erat antara kedua-dua negara dan menandakan peluang kerjasama yang lebih besar dalam bulan dan tahun mendatang,” kata Chan.
Beliau turut menekankan bahawa ekspo tersebut melambangkan kepercayaan bersama dan perkongsian matlamat selama berdekad lamanya, serta menawarkan peluang penting kepada perniagaan untuk berhubung, bertukar idea, dan meneroka pertumbuhan baharu.
Menyokong Visi ESG Malaysia
Sejajar dengan komitmen Malaysia untuk mengutamakan alam sekitar, sosial, dan tadbir urus (ESG) seperti digariskan dalam Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) dan Belanjawan 2025 yang memperuntukkan lebih RM300 juta untuk peralihan sektor tenaga tempatan, ekspo ini turut mempamerkan teknologi hijau terkini. Inovasi ini merangkumi fotovoltaik solar (PV), sistem penyimpanan tenaga, cerucuk pengecasan, pencahayaan, peralatan rumah, dan penyelesaian mesra alam lain, selaras dengan matlamat kerajaan Malaysia untuk mencapai 31% tenaga boleh diperbaharui menjelang 2025 dan pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050.
Ekspo Menjangkakan Transaksi Perdagangan RM60 Juta dan 15,000 Pengunjung
Merupakan acara sulung yang bersejarah, Ekspo Produk E-Dagang Terpilih Malaysia 2024 ini dijangka menarik lebih daripada 15,000 pengunjung serta menjana transaksi perdagangan sebanyak RM60 juta sepanjang tiga hari penganjurannya.
Tinjauan positif terhadap acara ini mencerminkan peranan kerjasama Malaysia-China yang semakin meningkat dalam memacu pertumbuhan ekonomi, inovasi, dan kelestarian. Kejayaan ekspo tahun ini dijangka membuka jalan kepada penyertaan yang lebih luas dalam edisi akan datang, mengukuhkan lagi hubungan perdagangan dua hala dan meletakkan Malaysia sebagai hab perniagaan serantau utama.
Pandangan Hadapan: Prospek Kukuh Untuk Pertumbuhan Masa Depan
Ekspo Produk E-Dagang Terpilih Malaysia 2024 dianjurkan bersama oleh Malaysia Guangdong Chamber of Commerce (MGCC) dengan sokongan beberapa organisasi terkemuka, termasuk Persatuan Persahabatan Malaysia-China (PPMC), Persatuan Elektrik dan Elektronik Malaysia (TEEAM), dan Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (SIRIM). Selain itu, menyedari perubahan tingkah laku pengguna pasca-pandemik, pihak penganjur turut memperluaskan capaian acara ini melalui kerjasama dengan lebih daripada 120 penstrim langsung tempatan berbilang bangsa sepanjang tiga hari penganjurannya, menggabungkan pengalaman membeli-belah dalam talian dan luar talian bagi meningkatkan jumlah perdagangan. Sokongan kukuh daripada persatuan industri utama mengukuhkan lagi kredibiliti acara ini dan meningkatkan keyakinan penganjur terhadap kejayaannya.
"Menjadikan Kuala Lumpur sebagai langkah pertama dalam perjalanan ini, ekspo ini merupakan penanda aras penting, dan kami berharap dapat memperluaskan lagi jejak kami ke seluruh Asia Tenggara pada tahun-tahun mendatang," tambah Chan.
Majlis perasmian ekspo turut dihadiri oleh YB Tuan Ng Chin Tsai, Ahli Dewan Undangan Negeri Sembilan kawasan Temiang, Dato' Tang Zhi Nian, Presiden Malaysia Guangdong Chamber of Commerce, dan Dato' Sri Foo Yong Hing, Timbalan Presiden organisasi tersebut.
Untuk maklumat terkini mengenai Ekspo Produk E-Dagang Terpilih Malaysia 2024, sila nantikan:
Website: www.jmmexhibition.com.my
Comments
Post a Comment