MICKEY LAI MENANG ANUGERAH FILEM PENDEK DAN DANA HADIAH SEBANYAK USD $10,000 DALAM PROJEK FILEM ALTERNATIVA


Projek Filem Alternativa, sebuah inisiatif global tanpa keuntungan oleh inDrive yang menyokong pembikin filem baharu dari industri perfileman yang kurang berkembang, telah mengumumkan pemenang Anugerah Filem Alternativa 2024 di Yogyakarta, Indonesia. Bagi kategori filem pendek, pembikin filem Malaysia, Mickey Lai, telah diiktiraf sebagai salah seorang daripada dua pemenang untuk filemnya “WASHHH”, dan menerima dana hadiah sebanyak USD $10,000.

Daripada 25 filem yang tersenarai, termasuk 13 filem panjang dan 12 filem pendek, mewakili 14 negara Asia serta 20 bahasa berbeza, pemenang telah dipilih oleh juri bebas antarabangsa yang terdiri daripada pembikin filem bertanggungjawab sosial dan pakar dalam impak sosial. Jumlah keseluruhan dana hadiah adalah sebanyak $100,000, dengan $20,000 diberikan untuk setiap pemenang kategori filem panjang, manakala $10,000 pula diberikan kepada dua pemenang kategori Anugerah Filem Pendek.

“WASHHH”, arahan Mickey Lai, mengisahkan seorang pelatih Cina di kem Program Latihan Khidmat Negara Malaysia yang diarahkan mengetuai rakan-rakannya yang terdiri daripada pelbagai kaum untuk mencuci tuala wanita yang kotor di tengah malam. Filem pendek ini dipilih atas keberaniannya mencetuskan perbincangan mengenai topik tabu berkaitan kepercayaan budaya dalam situasi yang terhad dari segi masa dan ruang.

Mickey Lai, pengarah “WASHHH”, meluahkan rasa syukur ketika menerima anugerah tersebut, “Filem ini meneroka trauma dan konflik antara kaum serta agama dan berdasarkan dari pengalaman peribadi saya. Pada mulanya, kami berasa ragu-ragu untuk menayangkan cerita ini kepada penonton kerana ia mengetengahkan isu sensitif dalam komuniti kita. Namun, saya bersyukur atas sokongan dan kasih sayang yang luar biasa daripada penonton, dan saya berharap filem ini dapat memberi inspirasi kepada pembikin filem lain untuk terus bersuara dalam menangani isu-isu sosial dan budaya yang kritikal melalui seni penceritaan.”

Kamila Andini, salah seorang juri antarabangsa untuk anugerah tahun ini, berkongsi sebab di sebalik pemilihan filem tersebut, “WASHHH dengan penuh sensitif mengetengahkan banyak topik kompleks yang dihadapi gadis muda Muslim di Asia Tenggara dalam sebuah situasi. Sinematografi dan lakonan yang dipersembahkan dengan begitu cekap berjaya menggambarkan setiap lapisan tekanan, kemarahan, kekeliruan, dan kekecewaan yang timbul daripada isu-isu tersebut. Filem ini menunjukkan bagaimana menstruasi, sebuah kitaran semula jadi dalam tubuh wanita, dapat mencetuskan pelbagai perspektif dalam budaya yang berbeza. Sebuah cerminan intim daripada suara unik yang menonjolkan betapa pentingnya sinema kepada kita hari ini.”

Liza Surganova, Ketua Projek Filem Alternativa, mengucapkan tahniah kepada semua pemenang bagi anugerah tahun ini, “Kami berasa bangga meraikan setiap pemenang Anugerah Filem Alternativa 2024, di mana hasil karya mereka yang luar biasa melambangkan kuasa transformatif sinema. Filem-filem ini bukan sahaja melangkaui batas ekspresi artistik, tetapi juga mengetengahkan isu-isu sosial yang mendesak, serta mencetuskan perbincangan yang boleh memberi inspirasi kepada perubahan yang bermakna. Kami percaya pada potensi seni penceritaan bagi menyatukan komuniti serta menangani cabaran sistemik, dan Projek Alternativa Film merupakan cara kami memperjuangkan bakat luar biasa yang mendorong naratif ini ke hadapan.”

Anugerah Filem Alternativa mengiktiraf filem-filem dengan kecemerlangan seni yang membincangkan topik sosial dan budaya penting, dengan hasrat untuk memberi kesan positif kepada kehidupan masyarakat dan komuniti tempatan serta mencabar ketidakadilan selaras dengan misi inDrive. Tahun ini di Indonesia menandakan edisi kedua anugerah tersebut, dengan edisi pertamanya diadakan di Kazakhstan pada tahun 2023. Sehubungan dengan itu, Projek Filem Alternativa telah mengumumkan Amerika Latin sebagai fokus kawasan baharu bagi tahun 2025, dengan Majlis Penganugerahan Filem Alternativa edisi ketiga yang akan diadakan pada tahun 2026.

Untuk maklumat lanjut mengenai Festival dan Anugerah Filem Alternativa 2024 serta senarai penuh pemenang, sila layari https://alternativa.film/awards-2024.html



Comments

Popular posts from this blog

“RONA BOSPHORUS”, DRAMA ADAPTASI PERTAMA BUKA TIRAI DI RTM TAHUN 2025

SEJUTA BINTANG KEMBALI, TOP 32 BERSEDIA BERSAING DALAM CALPIS SODA ONE IN A MILLION!

KEHADIRAN WATAK-WATAK BAHARU MENCERIAKAN ASTRO SMK MUSIM 3