MONEY GAME$: BUKAN SEKADAR AKSI KOMEDI, SARAT DENGAN PENGAJARAN TENTANG BAHAYA SCAM


"Money Games," sebuah filem komedi dengan barisan pelakon terkenal yang akan ditayangkan di pawagam pada hari pertama Tahun Baru Cina, menyajikan kisah yang sarat dengan gelak tawa, pengkhianatan, dan kejutan sambil menyisipkan pengajaran yang tepat pada masanya mengenai bahaya penipuan atau scam.


Filem ini menggabungkan pelakon-pelakon berpengalaman dari Hong Kong seperti Eric Tsang, Bobby Au-Yeung, dan Edmond So, bersama bintang-bintang Malaysia Jack Lim, Choo Hao Ren, Sandra Lim, dan Wayne Thong. Gabungan ini membawa sinergi yang hebat ke layar perak, memastikan penonton tidak kering gusi.

Filem ini berkisar tentang Zeng Miao Zhu, pemimpin Persatuan Anti-Penipuan, bersama skuad elitnya – Lam, Arrow, Big Mouth, dan Ba Jie – dalam usaha mereka untuk menyusup ke dalam empayar "money game" yang dikendalikan oleh Tang Gang yang penuh misteri.


Maka timbullah kekacauan, pengkhianatan, kejutan plot yang penuh suspens yang menjadikan penonton tertanya-tanya apakah yang akan berlaku seterusnya.  


Lakonan Bobby Au-Yeung sebagai Tang Gang yang jahat menyerlah. Au-Yeung dengan mahir menunjukkan taringnya melalui nuansa halus dan pandangan mata yang tajam, tanpa perlu menjerit untuk menyampaikan "kejahatan"nya, membuktikan bahawa air yang tenang jangan disangka tiada buaya!


Dalam gelak tawa, "Money Game$" juga menyelitkan peringatan yang tepat pada masanya tentang ancaman penipuan kewangan yang sering diperkatakan di media massa. Ia menampilkan pengajaran agar penonton tidak mudah terperdaya oleh skim cepat kaya yang disebabkan ketamakan dan kebodohan sendiri.


Keseluruhannya, filem ini menghiburkan dengan gandingan hebat barisan pelakon dari dua negara, Malaysia dan Hong Kong. "Money Game$" juga membawa kelainan berbanding filem-filem CNY Jack Lim sebelum ini, yang bergantung kepada komedi sepenuhnya. Kelainan ini, dengan fokus kepada drama, aksi dan jalan cerita yang lebih mendebarkan menawarkan sesuatu yang segar untuk dinikmati di musim perayaan ini.


"Money Game$" bakal ditayangkan di pawagam berhampiran anda mulai 29 Januari 2025.


Comments

Popular posts from this blog

“RONA BOSPHORUS”, DRAMA ADAPTASI PERTAMA BUKA TIRAI DI RTM TAHUN 2025

SEJUTA BINTANG KEMBALI, TOP 32 BERSEDIA BERSAING DALAM CALPIS SODA ONE IN A MILLION!