KESEDARAN MENGENAI STROK: KENALI TANDA, BERTINDAK, DAN AMBIL LANGKAH PENCEGAHAN
Apabila berlakunya serangan strok, setiap saat adalah penting. Di jabatan Kemalangan & Kecemasan (A&E) Pusat Perubatan Sunway Damansara, langkah intervensi yang tepat dan pantas adalah kritikal dalam penjagaan strok. Terletak secara strategik bersebelahan jabatan radiologi, jabatan A&E dilengkapi dengan peralatan diagnostik termaju, termasuk mesin MRI 3 Tesla tercanggih dengan fungsi AI, yang berupaya memberikan imbasan otak dengan pantas dan terperinci, serta pengimbas CT terkini. Pengintegrasian fasiliti ini memastikan bahawa pesakit dapat menerima diagnosis yang cepat dan tepat, di mana ia merupakan faktor penting dalam meningkatkan hasil rawatan strok.
Pesakit yang tiba di A&E akan dinilai menggunakan kaedah BE-FAST, yang dapat mengenal pasti gejala strok secara berkesan dengan menilai keseimbangan (Balance), mata (Eyes), muka (Face), tangan (Arms), pertuturan (Speech), dan masa (Time) gejala bermula. Selepas penilaian awal dilakukan, pasukan strok yang terdiri daripada pakar A&E, pakar radiologi, pakar neurologi dan pakar bedah saraf akan diaktifkan. Semua jabatan ini bekerjasama rapat dengan pasukan A&E bagi memberikan penjagaan yang menyeluruh, daripada diagnosis hingga rawatan. Kerjasama yang lancar ini dapat memaksimumkan tempoh kritikal untuk tindakan intervensi, sekali gus meningkatkan peluang pemulihan yang lebih baik kepada pesakit.
“Tindakan pantas di A&E dapat mengurangkan kesan serangan strok secara signifikan dan meningkatkan hasil rawatan dalam jangka panjang. Kaedah BE-FAST dapat membantu mengenal pasti gejala strok walaupun yang paling ringan, menekankan kepentingan untuk mendapatkan rawatan perubatan segera. Masa adalah paling utama, setiap saat adalah sangat penting dalam usaha memelihara fungsi otak,” tegas Pengarah Perubatan merangkap Perunding Pakar Perubatan Kecemasan Pusat Perubatan Sunway Damansara, Dr Lee Tuan Cheong.
Apabila seseorang pesakit itu disahkan mengalami strok, pakar neurologi dan bedah saraf akan memberikan rawatan khusus berdasarkan jenis strok yang dialami. Untuk strok iskemia, rawatan seperti trombolisis, yang digunakan untuk mencairkan darah beku dan trombektomi mekanikal, prosedur invasif minimum untuk membuang darah beku, dapat memulihkan semula aliran darah dengan berkesan. Bagi mengurangkan kelewatan, A&E Pusat Perubatan Sunway Damansara mempunyai kelengkapan yang diperlukan untuk memberi rawatan trombolisis kepada pesakit strok iskemia akut, memastikan langkah intervensi yang cekap dan efisien.
“Hasil rawatan strok sangat bergantung kepada pengesanan awal dan langkah intervensi yang tepat pada masanya. Melalui rawatan lanjutan dan penjagaan pelbagai disiplin, kami komited untuk menyelamatkan nyawa dan membantu pesakit menikmati semula kualiti hidup mereka,” kata Pakar Neurologi Pusat Perubatan Sunway Damansara, Dr Andrea Lau Yue Hui. “Sebagai pakar neurologi, peranan kami ialah untuk mendiagnosis dan merawat strok dengan tepat dalam tempoh kritikal bagi meminimumkan kecederaan otak. Dengan langkah intervensi awal, kita boleh meningkatkan pemulihan fungsi secara signifikan dan mengurangkan kerosakan neurologi jangka panjang, membolehkan pesakit kembali menjalani kehidupan yang bebas dan berkualiti.”
Untuk strok hemoragik, teknik pembedahan lanjutan seperti pemotongan anuerisma, coiling, atau kraniotomi digunakan untuk menghentikan pendarahan, mengurangkan tekanan, dan mencegah komplikasi selanjutnya. “Prosedur pembedahan lanjutan boleh menyelamatkan nyawa, namun pencegahan daripada serangan strok kali kedua juga sangat penting. Matlamat kami ialah untuk memberikan peluang pemulihan yang terbaik kepada pesakit di samping menangani risiko serangan strok di masa depan,” kata Perunding Pakar Bedah Saraf Pusat Perubatan Sunway Damansara, Dr Low Siaw Nee.
Kesedaran adalah penting untuk penjagaan strok yang berkesan. Pusat Perubatan Sunway Damansara menggalakkan semua orang untuk mempelajari kaedah BE-FAST iaitu:
B – Balance (Keseimbangan): Hilang keseimbangan atau koordinasi secara tiba-tiba.
E – Eyes (Mata): Perubahan penglihatan secara tiba-tiba, seperti kabur atau hilang penglihatan.
F – Face (Muka): Muka menjadi herot sebelah.
A – Arms (Tangan): Lemah atau kebas pada sebelah tangan.
S – Speech (Pertuturan): Pertuturan menjadi tidak jelas atau celaru.
T – Time (Masa): Cepat bertindak dan dapatkan rawatan perubatan segera jika terdapat mana-mana tanda ini.
Pencegahan strok turut memainkan peranan yang penting. Amalan gaya hidup sihat, termasuk pemakanan seimbang, kerap bersenam, dan berhenti merokok atau mengambil alkohol secara berlebihan boleh mengurangkan risiko serangan strok secara signifikan. Mengurus penyakit kronik seperti hipertensi, diabetes, dan kolesterol tinggi menerusi saringan kesihatan berkala juga adalah penting.
“Pendidikan orang ramai mengenai kesedaran dan pencegahan strok adalah penting. Dengan ilmu pengetahuan yang betul, tindakan yang cepat, dan penjagaan pakar, kita boleh menyelamatkan nyawa dan meningkatkan hasil rawatan,” jelas Dr. Lee.
Kenal pasti tanda-tanda, bertindak segera, dan dapatkan penjagaan strok daripada pakar-pakar di Pusat Perubatan Sunway Damansara. Untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai langkah pencegahan strok dan pilihan rawatan, sila layari laman sesawang Pusat Perubatan Sunway Damansara atau hubungi kami di +603-8966 9191. Jika anda mengesyaki serangan strok, segera hubungi kami +603-8966 4153. Kami bersedia untuk membantu anda dengan pantas dan efisien.
Comments
Post a Comment