AUTO CONNEXION-FORD ANTARA ENAM PENGEDAR DI DUNIA YANG DIIKTIRAF DENGAN PERKHIDMATAN MASYARAKAT CEMERLANG
Sime Darby Auto ConneXion-Ford (Auto ConneXion) telah diiktiraf atas usaha kebajikan masyarakatnya di peringkat global dengan anugerah ‘Salute to Dealers’ 2025 yang disampaikan oleh Ford Motor Company. Sebagai salah satu daripada enam wakil pengedar di dunia yang menerima penghormatan ini, anugerah tersebut membuktikan dedikasi jangka panjang Auto ConneXion terhadap inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) yang berkesan, secara berterusan selama lebih sedekad. Inisiatif ini merangkumi usaha terhadap pendidikan, penjagaan kesihatan, kebajikan warga tua, keselamatan makanan dan kelestarian alam sekitar serta lain-lain.
Turse Zuhair, Pengarah Urusan Auto ConneXion berkata, “Kami benar-benar berbangga dapat membawa pulang anugerah ‘Salute to Dealers’. Pengiktirafan ini menunjukkan usaha berterusan kami untuk menyantuni masyarakat Malaysia dan mendorong perubahan sosial yang positif berteraskan pendidikan, kesihatan awam, kesejahteraan dan kelestarian alam sekitar. Sebagai pengedar tunggal kenderaan Ford di Malaysia, inisiatif CSR kami adalah berpandukan budaya keprihatinan Sime, memastikan kami menyediakan penyelesaian yang bermakna dan berkekalan bagi komuniti yang lestari dan berkembang maju.”
Selama lebih sedekad, Auto ConneXion kekal aktif dalam menyumbang kepada komuniti melalui pelbagai inisiatif yang memberi impak. Antara projek CSR terbarunya ialah Projek Air Bersih, Ford Mobile Clinic dan The Lost Food Project.
AutoConneXion telah melaksanakan Projek Air Bersih dengan kerjasama MyFundAction, sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang diterajui oleh golongan belia Malaysia. Dengan matlamat untuk membekalkan air bersih dan selamat kepada golongan memerlukan di Gerik, Perak, projek ini melibatkan pemasangan sistem tangki air lestari menggunakan teknik penggerekan canggih, menjamin bekalan air bersih jangka panjang yang boleh dipercayai bagi isi rumah berpendapatan rendah. Sepasukan 30 sukarelawan Auto ConneXion telah mengambil bahagian dalam inisiatif ini di lokasi tersebut, mencurahkan masa dan tenaga untuk menambah baik kehidupan kira-kira 70 keluarga Orang Asli di Gerik.
Anugerah ‘Salute to Dealers’ menekankan komitmen 25 tahun Ford untuk menyokong pengedarnya di seluruh dunia yang memberikan sumbangan bermakna kepada masyarakat. Auto ConneXion, dengan kerjasama Ford Philanthropy, bahagian amal global Ford, terus menerajui inisiatif CSR untuk menyokong masyarakat memerlukan di Malaysia.
Auto ConneXion juga terus menangani cabaran keterjaminan makanan melalui kerjasamanya dengan The Lost Food Project. Bersama-sama Ford Philanthropy, Auto ConneXion telah menyumbang USD45,000 (kira-kira RM200,000) kepada The Lost Food Project untuk menyokong misi pengumpulan lebihan makanan untuk diagihkan kepada masyarakat terpinggir. Sumbangan ini membekalkan kira-kira 855,000 sajian makanan berkhasiat kepada golongan memerlukan. Di samping itu, sepasukan 25 sukarelawan daripada Auto ConneXion telah menyertai aktiviti penyisihan dan penyediaan makanan di gudang The Lost Food Project di Jalan Chan Sow Lin, Kuala Lumpur, di mana sebanyak 3,820kg makanan telah diselamatkan—iaitu bersamaan 10,914 sajian makanan.
Satu tumpuan lain bagi Auto ConneXion ialah menambah baik kemudahan kesihatan bagi masyarakat luar bandar dan yang dilanda banjir. Auto ConneXion, bersama Yayasan Sime Darby dan Ford Philanthropy baru-baru ini telah menyumbang kepada pelancaran Ford Mobile Clinic yang serba lengkap untuk MyFundAction. Menerusi inisiatif Ford Mobile Clinic dengan kerjasama MyFundAction, perkhidmatan penjagaan kesihatan asas dapat ditujukan kepada perkampungan Orang Asli dan serta mangsa-mangsa banjir di seluruh negara. Untuk menyokong usaha ini, Auto ConneXion bersama Yayasan Sime Darby telah menyumbang sebuah Ford Ranger, manakala Ford Philanthropy menderma sebanyak USD55,000 (kira-kira RM250,000) untuk membina dan mengubah suai Klinik Bergerak Ford. Dilengkapi dengan bekalan dan alat perubatan penting, termasuk monitor tanda hayat, alat bantuan pernafasan dan kelengkapan diagnostik, Klinik Bergerak Ford menyediakan pemeriksaan kesihatan dan rawatan yang memanfaatkan lebih 2,200 penerima bantuan pada tahun 2025.
Menurut Isma Fildza Hazry, Ketua Pegawai Pembangunan MyFundAction, “Kerjasama kami dengan Auto ConneXion telah mencetus perubahan besar. Berbekalkan sokongan mereka, kami telah berjaya menyantuni komuniti terpinggir dengan menyediakan sumber keperluan dan memupuk harapan. Kami berbangga untuk berganding bahu dengan rakan kerjasama yang benar-benar komited untuk membangunkan komuniti kami.”
Auto ConneXion dan Ford Philanthropy terus berpegang pada misi untuk menyokong kebajikan masyarakat, keterjaminan makanan dan akses kepada penjagaan kesihatan. Inisiatif ini menekankan kesungguhan mereka untuk memperkasakan komuniti dan mencetus perubahan sosial di seluruh Malaysia.
Comments
Post a Comment