GABUNGAN PADU LIMA SUARA! TOP 5 CSOIAM PERSEMBAHKAN ‘KEMAS KEMAS RAYA’ SEBAGAI HADIAH ISTIMEWA SYAWAL!
Rumah yang kemas menjadikan suasana raya lebih ceria; sudahkah anda menyiapkannya atau masih dalam keadaan huru-hara? Setelah mencipta nama menerusi rancangan realiti nyanyian, Top 5 Calpis Soda One In A Million (CSOIAM) kembali menghangatkan industri dengan kejutan terbaharu melalui pelancaran lagu raya mereka, Kemas Kemas Raya! Menampilkan gabungan elemen muzik tradisional dan moden dalam genre pop, lagu ini bukan sekadar hiburan tetapi juga membawa perspektif segar yang berbeza daripada kebiasaan lagu raya.
Mempunyai karakter yang tersendiri, setiap anggota Top 5 CSOIAM, Marygrace, Kai Deva, Jimi, Zazzleen dan Mariam, masing-masing amat teruja dengan projek Kemas Kemas Raya ini. Keunikan lagu ini terletak pada vibe dan lirik yang segar, diiringi muzik catchy yang mengikuti trend semasa. Lagu ini yang dibawa secara berkumpulan dan korus yang mudah diikuti menjadikannya lebih menarik serta sesuai dengan selera Gen Z hari ini.
Bertepatan dengan menjelangnya Syawal, Kemas Kemas Raya ingin menghidupkan semula tradisi mengemas rumah, mengingatkan bahawa kemeriahan Aidilfitri bukan hanya tentang duit raya, pakaian baru, atau juadah lazat, tetapi juga suasana rumah yang nyaman dan teratur.
“Selalu kalau lagu raya, mesti cerita tentang duit raya, lemang, dan bermaafan. Sebab itu kami bawakan lagu yang rare ini dengan mesej simple tapi penting iaitu untuk kemas rumah dulu sebelum raya,” ujar Adam Stapler, selaku komposer dan penulis lirik lagu ini.
Berkongsi tentang proses pembikinan lagu ini, Adam berkata, “Bekerja dengan Top 5 CSOIAM sangat mudah. Mungkin sebab mereka sudah biasa dengan disiplin semasa pertandingan, jadi apabila saya minta sesuatu, mereka cepat tangkap. Dalam masa sehari sahaja, mereka sudah menghafal dan memberi sepenuh fokus untuk memastikan lagu ini berjaya disempurnakan.”
Sesi rakaman lagu ini dikatakan terpantas yang pernah mereka lakukan dengan hanya mengambil masa sekitar empat jam. Zazzleen menjelaskan, “Setiap seorang mengambil kira-kira satu jam untuk rakam bahagian masing-masing. Kami dapat demo petang, dan pada malam yang sama terus jalani sesi rakaman. Semua orang memang beri komitmen terbaik!”
Walaupun dalam tempoh yang singkat, pencipta dan penulis lirik lagu ini banyak membimbing untuk memastikan setiap ahli mencapai hasil yang sebaik mungkin. Pengalaman ini begitu positif sehingga Top 5 teruja untuk bekerjasama lagi di masa hadapan. Mariam berkata, “Adam sangat membantu dalam memberi gambaran dan hala tuju untuk lagu ini. Sepanjang proses rakaman, dia banyak berkongsi idea kreatif yang menjadikan lagu ini lebih menarik.”
Tidak dinafikan, lagu ini memberi cabaran tersendiri buat mereka berlima. Antaranya, mereka perlu mengawal tona dan tenaga vokal, menyesuaikan melodi dengan cepat, serta menghayati emosi sebaiknya. Seperti yang dikongsi oleh Kai Deva, “Kami perlu memastikan semangat raya benar-benar dirasai melalui gambaran yang ceria, bertenaga, dan penuh kemeriahan dalam setiap bait lirik yang disampaikan.”
Mereka berharap lagu ini mendapat tempat dalam hati pendengar, lebih-lebih lagi sebagai lagu raya pertama mereka dalam industri. Marygrace berkata, “Lagu ini wajib didengari sebab ramai yang boleh relate dengan situasi perlu kemas rumah sebelum raya. Bolehlah pasang lagu ini sambil mengemas, tambah mood raya sekali!” Jimi pula menambah, "Saya berharap lagu ini dapat mengeratkan silaturahim antara adik-beradik, rakan-rakan, dan orang di sekeliling kita, menjadikan sambutan raya lebih bermakna."
Jadikan Kemas Kemas Raya sebagai sebahagian daripada playlist raya anda! Dengarkan sekarang di iTunes atau strim terus di Spotify dan YouTube Music. Jangan lupa juga kongsikan lagu ini dan jadikan ia latar untuk content raya anda. Ingat, raya lebih seronok dengan rumah kemas, badan sihat, dan hati pun tenang!
Untuk mendapatkan maklumat terkini tentang Alternate Records & Talents, layari akaun rasmi media sosial Alternate Records & Talents di Facebook, @alternate.my_ di Instagram, dan @alternate.rt_ di TikTok.
Comments
Post a Comment