DATO' M. NASIR KONGSI KEMERIAHAN HARI RAYA BERSAMA PEMINAT DENGAN KONSERT CIPTA RAYA


Zepp Kuala Lumpur bergema dengan alunan suara emas Dato' M. Nasir yang diiringi oleh nyanyian bersama para peminatnya dalam konsert yang menampilkan secara khususnya untuk lagu-lagu Hari Raya, "CIPTA RAYA". Anjuran Icon Entertainment ini bukan sekadar persembahan muzik, tetapi lebih kepada sambutan budaya dan nostalgia yang menyentuh jiwa setiap hadirin.


Sejak pengumuman konsert ini, peminat setia Dato' M. Nasir sudah menjangkakan malam yang penuh magis. Namun, apa yang disaksikan semalam jauh mengatasi jangkaan. Berbekalkan kejayaan Konsert CIPTA 1 & 2, "CIPTA RAYA" membuktikan bahawa lagu-lagu perayaan juga mampu memukau dalam skala konsert yang gah. Idea yang tercetus daripada sambutan hangat lagu "Satu Hari Di Hari Raya" di penghujung CIPTA 2 nyata menzahirkan malam yang tidak dapat dilupakan.


Tepat jam 8.15 malam, tabir pentas dibuka, dan Dato' M. Nasir muncul disambut dengan sorakan gemuruh. Malam dimulakan dengan "RAYA YANG SEMPURNA", menetapkan nada syahdu dan penuh bermakna bagi malam tersebut. Tanpa berlengah, beliau terus mengalunkan "HARI RAYA HARI BAHAGIA", membangkitkan semangat keriangan Aidilfitri di dalam dewan konsert.

Senarai lagu yang dipersembahkan benar-benar sebuah perjalanan merentasi zaman dan emosi. Daripada "HATI EMAS" yang sarat nasihat, "RAIKAN CINTA" yang menyentuh perasaan, hingga "SENTUHAN DI HARI RAYA" yang membawa kehangatan suasana lebaran, setiap lagu dipersembahkan dengan penuh penghayatan.


Momen yang paling syahdu dan mengesankan semalam adalah ketika alunan "SUARA TAKBIR" bergema di seluruh ruang Zepp Kuala Lumpur. Lagu yang merupakan penghormatan Dato' M. Nasir kepada seniman legenda, P. Ramlee ini, benar-benar membangkitkan rasa kesyukuran yang mendalam di hati setiap penonton yang hadir. Menurut Dato' M. Nasir sendiri, "SUARA TAKBIR" bukan sekadar lagu raya biasa, tetapi ia adalah salah satu karya agung yang pernah dirakamkan dalam khazanah lagu-lagu perayaan.

Dato' M. Nasir turut menyampaikan lagu ciptaannya, "LEBARAN BONDA", yang pernah dirakamkan oleh Dato' Hattan. Beliau mengakui lagu ini amat bermakna baginya meskipun sambutannya tidak sehebat yang diharapkan.

Bukan sahaja lagu-lagu ciptaan sendiri, Dato' M. Nasir juga menyentuh karya-karya klasik raya yang menjadi lagu wajib setiap kali tiba Aidilfitri seperti lagu "SELAMAT HARI LEBARAN" sebuah lagu raya Indonesia yang masih popular sampai hari ini. Beliau juga tidak melupakan "HALAMAN ASMARA" yang membuktikan versatiliti beliau dalam mencipta lagu-lagu cinta yang abadi.


Kejutan demi kejutan terus disajikan. Persembahan "PHOENIX BANGKIT DARI ABU" memberikan sentuhan rock nusantara yang bertenaga, membuktikan bahawa Dato' M. Nasir tetap relevan dengan pelbagai genre muzik. Tepukan gemuruh kembali memenuhi dewan ketika "SELAMAT HARI RAYA (AL-JAWAHER)" dan "SUATU MASA" dipersembahkan dengan gubahan muzik yang tersendiri.

Rentak terus dikekalkan dengan "SALAM DUNIA" yang membawa pesan kedamaian, diikuti dengan "SAHABAT GUA" yang rancak dan "SATU HARI DI HARI RAYA" yang menjadi tunjang idea konsert ini. Namun, tidak disangka-sangka, "APOKALIPS" dengan sentuhan rocknya yang kuat turut memeriahkan malam raya ini, memberikan dimensi yang berbeza pada konsert perayaan ini.


Kemuncak segalanya adalah MEDLEY - ESOK HARI RAYA / ADA, yang membuat seluruh Zepp KL ikut bernyanyi dan menari. Sebagai penutup yang sempurna, alunan lagi raya klasik "SELAMAT HARI RAYA (SALOMA)" dalam susunan muzik rock mengakhiri malam yang penuh kenangan ini dengan rasa syukur dan bahagia.

Lebih daripada sekadar konsert, "CIPTA RAYA" juga menawarkan pengalaman "rumah terbuka" yang unik. Para pemegang tiket berpeluang menikmati jamuan raya sebelum konsert bermula, mewujudkan suasana kekeluargaan dan kebersamaan yang jarang ditemui dalam acara-acara sebegini. Inisiatif ini membuktikan komitmen Icon Entertainment dan Dato' M. Nasir untuk menjadikan malam tersebut benar-benar istimewa.


"Cipta Raya adalah sebuah konsert yang sangat istimewa dan perlu diraikan seperti hari raya, hari kemenangan kita semua," ujar Dato' M. Nasir, dan semalam, beliau berjaya merealisasikan visi tersebut. Konsert ini bukan sahaja meraikan lagu-lagu raya, tetapi juga meraikan warisan seni Dato' M. Nasir yang tidak ternilai harganya. Sebuah malam yang akan dikenang sebagai mercu tanda dalam dunia hiburan tanah air, mengangkat martabat lagu-lagu raya ke pentas yang lebih gemilang.

Photo ihsan: Bangsawan Pictures

Comments

Popular posts from this blog

SEJUTA BINTANG KEMBALI, TOP 32 BERSEDIA BERSAING DALAM CALPIS SODA ONE IN A MILLION!

ASTRO DAN SUN NXT BEKERJASAMA BAWAKAN HIBURAN INDIA TERBAIK UNTUK RAKYAT MALAYSIA

BERMULANYA ‘ASTRO SHAW CINEMATIC UNIVERSE’ : KELUANG MAN MENGAKTIFKAN PENGALAMAN PERTAMA SUPERHERO MALAYSIA MELANGKAUI LAYAR