1-DARIPADA-10 ORANG DENGAN PRADIABETES MUNGKIN DAPAT DIABETES JENIS 2 DALAM TEMPOH SETAHUN


Pradiabetes ialah kebimbangan kesihatan yang semakin meningkat dan melibatkan kira-kira 1 daripada 4 orang dewasa Malaysia. Disebabkan gejala-gejalanya yang sukar dikesan, kebanyakan pesakit tidak menyedari mereka menghidap pradiabetes. Menurut Diabetes Atlas 2021 yang dikeluarkan oleh International Diabetes Federation (IDF), kira-kira 3.5 juta (15.5%) orang dewasa Malaysia mempunyai toleransi yang terganggu terhadap glukosa, yang menunjukkan kehadiran pradiabetes.

Untuk menangani isu ini, Program Stand Against Prediabetes (SAPd) telah ditubuhkan oleh Persatuan Endokrin & Metabolik Malaysia (MEMS) dengan kerjasama tujuh persatuan bersekutu perubatan dan kesihatan, dengan sokongan daripada Merck Malaysia. Berikutan penubuhan ini, saringan pradiabetes farmasi komuniti seluruh negara telah dilancarkan di bawah kempen ‘Saring, Sahkan, Runding dan Ubah’. Usaha ini diperkukuhkan lagi dengan sokongan daripada Roche Diagnostics, yang meningkatkan lagi jangkauan dan impak program ini.

Pada masa ini, 735 farmasi di seluruh Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak mengambil bahagian dalam inisiatif saringan ini. Ini termasuk Farmasi Alpro, Farmasi AM PM, Farmasi BIG, Farmasi FirstCare, Farmasi Health Lane, Farmasi HTM, Farmasi Mega Kulim, Farmasi Murni, Farmasi Pure, Farmasi Straits, Farmasi Sunlight, dan Farmasi Vision.

Menurut Pengerusi SAPd, Profesor Emeritus Dr Chan Siew Pheng, "Pradiabetes didefinisikan sebagai keadaan paras glukosa darah yang tinggi, tetapi tidak cukup tinggi untuk dianggap sebagai diabetes jenis 2. Namun begitu, fasa pertengahan ini mendedahkan individu kepada risiko yang tinggi untuk menghidap diabetes 2 sepenuhnya."

"Kajian menunjukkan bahawa 1 daripada 10 orang dengan pradiabetes akan menghidap diabetes jenis 2 dalam masa setahun, manakala dalam tempoh 10 tahun, seramai 7 daripada 10 orang mungkin akhirnya menghidap diabetes," jelas beliau. Lebih banyak kajian mendapati bahawa mengabaikan pradiabetes juga boleh membawa kepada komplikasi serius yang lain seperti penyakit kardiovaskular3, kehilangan penglihatan, kerosakan saraf dan penyakit buah pinggang kronik.

Prof Dr Chan, yang merupakan pakar perunding kanan endokrinologi, menambah, "Perkara ini boleh dicegah dengan pengesanan awal dan intervensi gaya hidup serta ubat-ubatan, jika perlu. Anda boleh menyemak tahap risiko anda dengan mudah menggunakan penyemak risiko dalam talian SAPd di https://standagainstprediabetes.my/ms/check-your-risk-bm.

Selain itu, anda juga boleh melawat farmasi dan menjalani ujian tusukan jari yang mudah untuk memeriksa sama ada paras glukosa darah anda meningkat, iaitu ≥5.6 mmol/L (berpuasa) atau ≥7.8 mmol/L (rawak)."

Setakat ini, lebih 65,000 individu telah menjalani ujian tusukan jari untuk menguji glukosa darah di farmasi yang mengambil bahagian. Antara yang diuji, lebih daripada 14,000 individu didapati mempunyai paras glukosa darah yang tinggi dan tidak normal.

Prof Dr Chan menekankan bahawa walaupun ujian tusukan jari adalah mudah untuk memeriksa tahap risiko anda, ia tidak boleh mendiagnosis pradiabetes. "Jika anda mendapati paras glukosa darah anda tinggi, langkah seterusnya adalah menjalani ujian darah yang betul, iaitu dengan ujian HbA1c atau glukosa plasma semasa berpuasa, yang boleh diaturkan dengan doktor atau makmal diagnostik anda untuk mengesahkan sama ada anda menghidap pradiabetes," katanya sambil menambah bahawa kerjasama rapat dengan doktor anda adalah penting untuk mengembalikan semula kesihatan anda. "Jika keputusan ujian darah anda menunjukkan diagnosis pradiabetes, adalah penting untuk berbincang dengan doktor anda. Mereka boleh membimbing anda memahami keperluan-keperluan khusus untuk menguruskan keadaan dan mengembalikan paras glukosa darah anda kepada normal. Tindakan susulan yang kerap dapat membantu menjejak kemajuan anda dan memberikan galakan yang diperlukan untuk terus berada di atas landasan ke arah kesihatan yang lebih baik," tekan Prof Dr Chan.


Kempen saringan pradiabetes ini akan diteruskan sehingga Jun 2025. Rebut peluang ini untuk menjaga kesihatan anda hari ini! Periksa tahap glukosa darah anda dan buat keputusan termaklum untuk mengurangkan risiko komplikasi jantung, buah pinggang dan saraf yang serius.

Comments

Popular posts from this blog

SEJUTA BINTANG KEMBALI, TOP 32 BERSEDIA BERSAING DALAM CALPIS SODA ONE IN A MILLION!

ASTRO DAN SUN NXT BEKERJASAMA BAWAKAN HIBURAN INDIA TERBAIK UNTUK RAKYAT MALAYSIA

BERMULANYA ‘ASTRO SHAW CINEMATIC UNIVERSE’ : KELUANG MAN MENGAKTIFKAN PENGALAMAN PERTAMA SUPERHERO MALAYSIA MELANGKAUI LAYAR