KES HFMD MENINGKAT 266% – CARA TERBAIK MELINDUNGI ANAK ANDA


Ketika sedang seronok bercuti sekolah, ibu bapa dan penjaga harus lebih berhati-hati ekoran peningkatan mendadak kes Penyakit Tangan, Kaki, dan Mulut (HFMD) yang dilaporkan di seluruh negara baru-baru ini menekankan betapa pentingnya untuk terus berwaspada terhadap tanda-tanda amaran yang berkaitan dengan penyakit ini.

Meskipun penyakit ini lazim berlaku pada waktu ini setiap tahun, Dr. Ch’ng Tong Wei, Pakar Perunding Penyakit Berjangkit Kanak-kanak, Pusat Perubatan Sunway, Bandar Sunway (SMC) berkata bahawa kadar penularan semasa adalah membimbangkan, justeru kesedaran dan langkah pencegahan perlu ditingkatkan.

“Sebagai pakar penyakit berjangkit kanak-kanak, saya dapati terdapat peningkatan dalam jumlah rujukan ke hospital, pertanyaan daripada ibu bapa yang berasa bimbang, serta permintaan panduan daripada prasekolah dan tadika tentang cara menguruskan wabak,” katanya.

Dr. Ch’ng Tong Wei, Pakar Perunding Penyakit Berjangkit Kanak-kanak, Pusat Perubatan Sunway

Memahami HFMD

HFMD ialah jangkitan virus yang amat mudah menular dan lazimnya menyerang kanak-kanak di bawah usia lima tahun. Penyakit ini biasanya menunjukkan gejala seperti berikut:
  • Demam
  • Sakit tekak
  • Kurang selera makan
  • Ulser di dalam mulut yang menyakitkan
  • Ruam pada tangan, kaki, dan kadangkala punggung
Kebanyakan kes adalah ringan, dengan pemulihan dalam masa 7–10 hari. Walau bagaimanapun, sebilangan kecil kes, biasanya dikaitkan dengan varian virus EV71, boleh menyebabkan komplikasi seperti:
  • Meningitis virus
  • Ensefalitis (radang otak)
  • Komplikasi pada jantung dan paru-paru
Berita baiknya adalah komplikasi ini sangat jarang berlaku, kata Dr Ch’ng.

Situasi Semasa Wabak HFMD

Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia, kes HFMD di seluruh negara menunjukkan peningkatan jangkitan setinggi 266% berbanding dalam tempoh yang sama tahun lepas.

Jumlah kes HFMD di Malaysia telah meningkat kepada 99,601 kes setakat minggu epidemiologi ke-17 tahun ini, berbanding 27,236 kes dalam tempoh yang sama pada tahun lepas.

Tiada kematian dilaporkan berkaitan dengan penyakit ini.

Menurut Kementerian Kesihatan, 10,421 kes tahun ini atau 10% adalah berkaitan dengan wabak, manakala 90% atau 89,180 kes berlaku secara sporadik.

Tips Pencegahan untuk Ibu Bapa dan Sekolah

“Oleh kerana tiada rawatan khusus yang tersedia untuk HFMD, pencegahan dan penjagaan rapi adalah penting,” katanya.

Langkah-langkah yang perlu dipertimbangkan adalah:

1. Pastikan kanak-kanak yang dijangkiti berehat di rumah
  • Kanak-kanak yang menghidap HFMD harus kekal di rumah sehingga semua lepuh telah kering dan mereka bebas demam selama sekurang-kurangnya 24 jam.
  • Ini adalah cara yang paling berkesan untuk menghentikan penyebaran virus.
  • Mencuci tangan adalah sangat penting.
2. Amalkan tahap kebersihan yang tinggi
  • Ajar kanak-kanak untuk mencuci tangan mereka dengan bersih menggunakan sabun, terutamanya selepas menggunakan tandas dan sebelum makan.
  • Bersihkan dan nyahjangkit mainan serta permukaan secara berkala dengan disinfektan berasaskan klorin atau antivirus.
3. Elakkan Kawasan Berisiko Tinggi Semasa Wabak Berlaku
  • Semasa wabak HFMD, hadkan sementara aktiviti di taman permainan, pergi ke pusat penjagaan kanak-kanak, atau ke tempat yang sesak di mana risiko penularan lebih tinggi.
  • Elakkan berkongsi peralatan makan, tuala, atau barangan peribadi.
4. Berikan Penjagaan yang Selesa untuk Kanak-kanak yang Dijangkiti
  • Berikan makanan lembut, minuman sejuk, serta paracetamol sekiranya perlu untuk mengurangkan demam atau kesakitan.

Dapatkan Rawatan Perubatan

Beliau berkata bahawa kebanyakan kanak-kanak sembuh tanpa komplikasi, tetapi berjumpa doktor adalah sangat penting jika kanak-kanak menunjukkan gejala-gejala seperti:
  • Enggan makan atau minum (risiko dehidrasi)
  • Demam tinggi (melebihi 39°C) yang berlarutan lebih daripada 2 hari
  • Lesu, mudah marah, atau perubahan tahap kesedaran
Kes yang teruk mungkin memerlukan kemasukan ke hospital untuk penghidratan intravena, antipiretik, dan pemantauan neurologi yang rapi, tambahnya.

Membendung Wabak HFMD Adalah Tanggungjawab Bersama

Peningkatan kes di seluruh Selangor, Johor, Perak, dan negeri-negeri lain baru-baru ini adalah peringatan bahawa kita harus terus berwaspada - bukan hanya di hospital, tetapi sebagai satu komuniti.

Situasi ini sedang dipantau dengan teliti oleh pasukan pediatrik, jururawat, dan unit kawalan jangkitan kami, di mana mereka bekerjasama untuk menyokong ibu bapa dan memastikan pengurusan kes dengan selamat dan cekap.

Sentiasa dapatkan maklumat dan amalkan langkah-langkah pencegahan, Dr. Ch’ng percaya kita akan dapat mengurangkan penularan dan melindungi kesihatan anak-anak kita.

“Dengan mematuhi garis panduan, kita dapat bersama-sama melindungi anak-anak kita dan mengurangkan penularan penyakit ini. Untuk pertanyaan lanjut atau nasihat perubatan, sila rujuk kepada profesional penjagaan kesihatan.”

Sebagai hospital kuaternari swasta terbesar di Malaysia, SMC terus menjadi peneraju dalam inovasi perubatan dan penjagaan pesakit. Ia menawarkan 28 Pusat Kecemerlangan, dengan 810 katil berlesen dan lebih daripada 60 kepakaran yang disokong oleh pasukan pelbagai disiplin yang menyediakan rawatan peribadi dalam rangka kerja penjagaan holistik.

Pusat Kesihatan dan Perkembangan Kanak-kanak SMC menempatkan 52 pakar perunding dan pakar bedah pediatrik. Ia juga menawarkan 23 subkepakaran pediatrik termasuk neonatologi, kardiologi, neurologi, onkologi, gastroenterologi, dan endokrinologi pediatrik - jumlah tertinggi di antara hospital swasta di Malaysia. SMC juga merupakan hospital swasta yang pertama di Malaysia yang mempunyai Jabatan Kecemasan yang khusus untuk kanak-kanak.

SMC dinobatkan sebagai hospital terbaik dalam pediatrik di Malaysia dalam ranking Hospital Pakar Terbaik Asia Pasifik Newsweek 2024. SMC turut menerima pengiktirafan antarabangsa di mana ia disenaraikan antara 250 hospital terbaik di peringkat global dalam ranking Hospital Terbaik Dunia Newsweek selama dua tahun berturut-turut, dan juga menerima Anugerah Hospital Terbaik (Malaysia) di Healthcare Asia Awards selama empat tahun berturut-turut.

Comments

Popular posts from this blog

‘BUKAN IPAR SEMPURNA’ SELAMI SISI GELAP PERKAHWINAN YANG TERCEMAR OLEH RAHSIA, DENDAM & PENGKHIANATAN

NIKMATI SAJIAN BAKERI SEGAR: TOUS LES JOURS KINI DI SUNWAY PYRAMID DAN SUNWAY VELOCITY

GOLDENHOME LANCAR RUANG PAMERAN SELUAS 10,000 KAKI PERSEGI