ISAN NIKAH: FILEM KOMEDI ISLAMIK THAILAND TENTANG CINTA, PERBEZAAN & KELUARGA
Selepas kejayaan filem seram Islamik Khong Khaek tahun lalu, syarikat produksi Thailand Monwichit Entertainment kembali dengan sebuah naskhah yang lebih ringan tetapi sarat makna — filem komedi Islamik bertajuk Isan Nikah.
Filem ini bakal ditayangkan di pawagam Malaysia mulai 17 Julai 2025, dan menjanjikan pengalaman tontonan yang lucu, menyentuh hati serta membuka mata tentang realiti perkahwinan campur dan perbezaan budaya.
Cinta Dua Dunia: Muslim & Buddha
Isan Nikah mengangkat kisah cinta antara Sophia, seorang gadis Muslim dari Pattani, dan Bak Kai, jejaka Buddha dari daerah Isan yang sanggup memeluk Islam demi mengahwini kekasihnya. Namun, perjalanan cinta mereka tidak semudah disangka apabila abang Sophia, Bang Lee, menentang keras perkahwinan tersebut.
Bang Lee yang masih trauma dengan sejarah keluarganya — ditinggalkan ibu yang berkahwin dengan lelaki dari Isan — cuba menggagalkan perkahwinan adiknya dengan pelbagai cara. Hasilnya? Situasi-situasi yang mencuit hati dan penuh dengan kekecohan yang menghiburkan.
Komedi Budaya Penuh Warna
Menurut pengarah Kriangkrai Monwichit, filem ini bukan sahaja mengetengahkan isu perkahwinan campur, tetapi juga memaparkan kehidupan masyarakat Muslim di selatan Thailand — termasuk budaya kampung, makanan, bahasa dan sejarah tempatan. “Isan Nikah adalah kisah yang jarang dipaparkan, dan kami olahkannya dalam bentuk komedi yang ringan tetapi bermakna,” katanya.
Filem ini turut menampilkan barisan pelakon popular Thailand seperti Nattawut Sanyabut sebagai Bak Kai, Kamonporn Sangwatcharasoontorn sebagai Sophia, Amadkuciasree Doloh @ Chalee sebagai Bang Lee. Chatchai Chinnasri, Adull Borsu, Natthanicha Chueasanga, Amorneak Micheli, dan ramai lagi
Filem Islamik Thailand Menembusi Pasaran Malaysia
Empire Film Solution Sdn. Bhd. bertindak sebagai pengedar rasmi filem ini di Malaysia. Menurut Pengarah Urusan, Mohamad Zubir Badar Shair, pihaknya tertarik dengan naskhah ini kerana ia membawa kelainan daripada filem Thailand yang biasa ditayangkan di sini.
“Sudah tiba masanya penonton Malaysia disajikan dengan filem komedi Islamik dari Thailand. Isan Nikah bukan sahaja menghiburkan, tetapi juga memperkenalkan budaya Muslim di selatan Thailand yang jarang dipaparkan,” katanya.
Pihak produksi dan pengedar berharap filem ini akan mendapat sambutan hangat di Malaysia, sekaligus membuka ruang kepada lebih banyak filem Islamik dan komedi dari Thailand untuk menembusi pasaran tempatan.
SINOPSIS
Isan Nikah mengisahkan perkahwinan antara gadis Muslim Pattani, Sophia, dan jejaka Buddha dari Isan, Bak Kai, yang memeluk Islam demi cinta. Namun, abang Sophia, Bang Lee, menentang keras perkahwinan itu kerana trauma masa lalu. Pelbagai cubaan dilakukan untuk menggagalkan perkahwinan tersebut — mencetuskan kekecohan dan kelucuan yang tidak dijangkakan.
Jangan lepaskan tayangan perdana Isan Nikah di pawagam seluruh Malaysia mulai 17 Julai 2025.
Untuk maklumat lanjut dan promosi terkini, ikuti Empire Film Solution di media sosial.
Comments
Post a Comment