SHOPEE LANCAR MSME CO‑LAB PERTAMA DI MALAYSIA UNTUK MEMPERKUKUH SOKONGAN KEPADA USAHAWAN TEMPATAN
Shopee Malaysia hari ini mengumumkan pelancaran Shopee MSME Co-Lab, sebuah program baharu yang dirangka untuk memperkukuh kerjasama dengan pihak berkepentingan tempatan serta mempertingkat sokongan kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dalam mengharungi dan mencapai kejayaan dalam ekonomi digital. Shopee MSME Co-Lab menghimpunkan persatuan PMKS, rakan kongsi ekosistem dan pihak industri lain untuk berkongsi pandangan, mengenal pasti peluang baharu yang muncul serta merangka penyelesaian praktikal melalui kerjasama bagi memperkasakan perniagaan kecil untuk memulakan dan mengembangkan operasi secara dalam talian.
![]() |
[Kiri] Dato’ Fazli Nordin, Pengarah Urusan, Advokasi Perusahaan dan Industri semasa majlis menandatangani MoU bersama [kanan] Saovanee Chan-Somchit, Pengarah Negara, Shopee Malaysia |
Dilancarkan bersempena Sidang Kemuncak Penjual Shopee 2025, program ini menandakan satu pencapaian penting dalam usaha berterusan Shopee untuk menyokong pendigitalan PMKS, selaras dengan keutamaan negara seperti Kerangka Ekonomi MADANI dan Belanjawan 2025. Sebagai sebahagian daripada pelancaran program ini, Shopee telah memeterai kerjasama rasmi dengan Advokasi Perusahaan dan Industri (API) melalui satu Memorandum Persefahaman (MoU) — sekali gus memulakan langkah kerjasama berterusan bersama rakan industri bagi memperkasa sokongan terhadap usahawan tempatan.
Malaysia menjadi pasaran pertama Shopee yang melancarkan Co-Lab, sebagai pengiktirafan terhadap kekuatan dan kepelbagaian komuniti PMKS tempatan, di samping berperanan sebagai asas kepada pembelajaran berterusan dan potensi perluasan inisiatif ini ke seluruh rantau.
“Shopee MSME Co-Lab merupakan sebahagian daripada komitmen berterusan kami untuk mendengar, memahami dan bekerjasama dengan lebih rapat bersama PMKS bagi membina ekosistem digital yang lebih inklusif dan memperkasa PMKS,” kata Saovanee Chan-Somchit, Pengarah Negara, Shopee Malaysia. “Menerusi platform ini, kami berharap dapat memperkukuh jalinan kerjasama dan merangka penyelesaian yang mampu membantu lebih banyak perniagaan tempatan berkembang maju dalam talian.”
Komponen utama program Shopee MSME Co-Lab merangkumi:
● Dialog Strategik dan Pandangan
Menghimpunkan pemimpin PMKS dan pihak berkepentingan industri lain untuk membincangkan pengalaman, pandangan serta keutamaan yang berubah-ubah, di samping bertukar-tukar pandangan tentang trend perdagangan digital dan cabaran yang dihadapi oleh PMKS. Sesi keterlibatan ini bertujuan untuk mengenal pasti idea yang boleh dilaksanakan, yang seterusnya boleh membentuk hala tuju inisiatif masa hadapan atau dikongsi dalam perbincangan industri yang lebih meluas.
● Pratonton Inovasi dan Maklum Balas Berterusan
Rakan kongsi PMKS terpilih akan menerima akses awal kepada ciri-ciri, alat-alat atau inisiatif strategik baharu, serta berpeluang memberikan maklum balas.
● Perkongsian Kolaboratif
Co-Lab berpotensi menjadi platform untuk menjalin kerjasama dengan rakan strategik bagi menilai inisiatif bersama yang dapat memberi manfaat kepada komuniti PMKS di Malaysia secara menyeluruh.
“Kerjasama dengan Shopee ini mewujudkan peluang untuk kami membawa suara dan keperluan PMKS terus ke meja rundingan bersama pembuat keputusan dan pihak pembangun inovasi platform. Ia bukan sekadar soal meningkatkan jualan, tetapi tentang membina masa depan digital yang lebih inklusif secara bersama,” kata Dato’ Fazli Nordin, Pengarah Urusan, Advokasi Perusahaan dan Industri.
Komitmen Terhadap Malaysia dan Pasaran Serantau
Shopee MSME Co-Lab dibina berasaskan usaha berterusan Shopee untuk menyokong komuniti perniagaan kecil melalui pemerkasaan kapasiti, penambahbaikan platform, serta penglibatan yang lebih mendalam dengan rakan kongsi ekosistem. Pelancaran inisiatif ini di Malaysia membuka peluang yang bermakna untuk memperkukuh kerjasama tempatan dan meneroka pendekatan baharu dalam menyokong PMKS, dengan ilmu pengetahuan yang berpotensi membentuk usaha serantau pada masa hadapan.
“Visi kami adalah untuk menjadi lebih daripada sekadar sebuah platform – kami ingin menjadi rakan kongsi aktif dalam membentuk masa depan PMKS,” tambah Saovanee. “Co-Lab ini memberi ruang kepada PMKS untuk menyuarakan keperluan mereka dalam membentuk kemudahan dan pengalaman yang relevan, sambil memupuk ekosistem yang lebih kukuh berasaskan kepercayaan dan kemajuan bersama.”
Shopee merancang untuk melibatkan lebih ramai rakan strategik di bawah MSME Co-Lab dalam masa terdekat, dengan sesi keterlibatan yang berterusan bagi memacu pembangunan masa hadapan.
Comments
Post a Comment