TOP 8 FINALIS CAT FASHION WEEK TELAH DIUMUM!


Senarai Top 8 Cat Fashion Week diumumkan secara rasmi menerusi segmen khas dalam program NONA Ahad lepas. Sebagai program realiti pertama di Malaysia yang meletakkan si bulus sebagai bintang utama peragaan, Cat Fashion Week bukan sekadar acara fesyen, ia meraikan karakter, pesona dan hubungan istimewa antara pemilik serta haiwan kesayangan mereka. Konsep unik ini bukan hanya menyentuh hati, malah turut merapatkan komuniti pencinta kucing di seluruh negara.

Daripada ratusan penyertaan yang diterima, hanya 20 kucing terpilih ke pusingan pre-judging tempoh hari untuk memperagakan gaya masing-masing yang diinspirasikan oleh kreativiti pemilik. Dalam sesi penjurian yang penuh teliti, juri Yuen Wai menjelaskan, “Nama pun Cat Fashion Week, jadi salah satu kriteria utama yang kita akan nilai adalah busana yang kucing itu pakai, dan juga bila kita ada fashion show, kecantikan kucing itu juga akan kita nilai. Dua benda ni agak pentinglah dalam penilaian kita. Kalau kucing tu cantik macam manapun, tapi kalau dia tak confident, dia takut, jadi dia tak menggayakan pakaian tu. Keserasian kucing tu dengan owner tu juga penting. Kita nak cari pemenang yang balance.”

Inilah barisan Top 8 yang bakal berentap di pentas kemuncak Cat Fashion Week:

1. Nurul Izzah & Omey (Jantan, Siberian)

2. Nurul Awwal & Chibu (Jantan, Domestic Long Hair)

3. Nurmayani & Kristoff (Jantan, Ragdoll)

4. Siti Rohani & Goyem (Jantan, Domestic Long Hair)

5. Farahin Zakaria & Junny (Betina, Persian)

6. Zakry Shazryl & Winter Notty (Jantan, Munchkin)

7. Anis Halyatie & Evian Evan (Jantan, Ragdoll)

8. Siti Khadijah & Mocha (Betina, Domestic Long Hair)

Pentas akhir kini semakin hampir! Lapan finalis kini memasuki fasa persiapan intensif, daripada merancang busana hingga membina keserasian dan keyakinan di atas pentas peragaan.

Episod NONA Ahad lalu turut menampilkan salah satu finalis Top 8, Mocha, seekor kucing betina berbaka Domestic Long Hair yang suka dibelai seperti anak kecil. Menurut pemiliknya, Siti Khadijah, “Mocha ni memang saya fully jaga dari dia kecil sampai sekarang, dah 4 tahun. Adik saya bagi dia sebagai hadiah… dan saya masuk Cat Fashion Week ni sebenarnya suka-suka je, saja nak try sekali, at least kita ada pengalaman dan sweet moment bersama.” Mocha yang manja di rumah tetapi garang di luar ini juga gemar berada di tempat tinggi dan berjalan di taman, menjadikannya antara peserta yang paling menonjol di mata juri.

Ikuti kisah menarik finalis seterusnya dalam segmen khas Cat Fashion Week menerusi program NONA, setiap Ahad jam 2 petang, hanya di TV3. Mulai 27 Julai 2025, penonton turut disajikan dengan kapsul eksklusif yang akan ditayangkan setiap Ahad, jam 7.50 malam, selama tiga minggu berturut-turut, memperlihatkan cabaran dan perjalanan di sebalik pentas Cat Fashion Week.

Malam kemuncak yang dinanti-nantikan pula bakal berlangsung pada Ahad, 17 Ogos 2025, jam 9 malam, menyaksikan siapakah yang akan membawa pulang gelaran juara beserta hadiah wang tunai RM5,000. Turut dipertandingkan, anugerah khas iaitu Anugerah Felix, Si Bijak dan Si Lincah, sebuah penghormatan kepada kelincahan dan kepintaran si bulus!

Cat Fashion Week disokong oleh penaja Felix, serta rakan media rasmi Hot FM dan SAYS.

Siapakah yang bakal membawa pulang mahkota runway kucing pertama dalam sejarah televisyen Malaysia? Temui jawapannya hanya di TV3 – “Meow Menyala, Gaya Membara!”

Untuk mendapatkan info terkini tentang TV3 atau drama kegemaran anda, layari laman sosial Facebook, Twitter, YouTube dan Instagram TV3 iaitu @TV3Malaysia.



Comments

Popular posts from this blog

ADAM LEE DAN SITI KHADIJAH BERSATU DALAM DI SEBALIK REDA BAKAL MENGUSIK JIWA PENONTON MULAI 30 JUN 2025

“SENTUHAN WIRA”: FILEM AKSI SUKAN TENTANG DETIK BERSEJARAH KEMENANGAN PIALA THOMAS 1992 KINI DILANCARKAN