L’ORÉAL MERAIKAN KEUNGGULAN PRODUK, PERKHIDMATAN DAN INOVASI KECANTIKANNYA SELAMA 30 TAHUN DI MALAYSIA
L’Oréal Groupe hari ini telah meraikan ulang tahunnya yang ke-30 di Malaysia, menandakan tiga dekad selama ia membawakan kecemerlangan inovasi kecantikan buat para pengguna Malaysia. Daripada merintis produk penjagaan kulit dan rambut, melahirkan solekan yang ikonik serta kecantikan peribadi yang dikuasakan oleh Teknologi Kecantikan, kepelbagaian famili L'Oréal yang dianggotai 30 jenama kesukaan ramai telah memperkasakan jutaan insan untuk kelihatan dan berasa berkelihatan dan berperasaan menawan.
Tomas Hruska, Pengarah Urusan L’Oréal Malaysia, menyatakan, “Kecantikan bukannya tentang produk semata-mata. Ia melambangkan keyakinan, jati diri dan kesejahteraan. Menginjak usia 30 tahun di Malaysia merupakan satu detik yang amat membanggakan bagi kami. Matlamat kami sebenarnya ringkas sahaja – untuk membawakan produk, perkhidmatan, dan inovasi kecantikan yang terunggul buat warga Malaysia, membantu individu berasa yakin dan dipedulikan. Mendongak ke hadapan, L'Oréal Malaysia kekal komited untuk mendengar para pengguna dan terus menawarkan produk serta perkhidmatan yang mampu mencetus perubahan.”
Kuasa transformatif kecantikan, seperti dijulang oleh syarikat kecantikan #1 di negara, tidak terhad kepada kecantikan peribadi sahaja. Laporan Impak Sosioekonomi yang baru dirungkaikan oleh Asterès menunjukkan bagaimana keberadaan L'Oréal yang signifikan di Malaysia sedang memacu kemakmuran negara dari sudut ekonomi dan sosial. Laporan ini mempamerkan bahawa kecantikan mempunyai kesan rantaian: bagi setiap pekerjaan di L'Oréal, 36.6 peluang pekerjaan tambahan terjana merentasi sudut ekonomi Malaysia yang lebih luas. Ini bermakna L'Oréal memberi sumbangan kepada 21,609 peluang pekerjaan merentasi rantaian nilainya. Di samping itu, L'Oréal juga memperkasakan lebih 1,600 benefisiari dengan kemahiran, latihan, dan endowmen. Jaringan yang luas ini memperkasakan rakyat Malaysia untuk membina kerjaya yang baik, membantu perniagaan tempatan berkembang, mengangkat komuniti yang kurang mendapat perhatian, dan menyokong para keluarga, semuanya menyumbang kepada pertumbuhan dan kemakmuran negara secara aktif.
Kecantikan: Antara industri yang paling dinamik di dunia
Pasaran kecantikan Malaysia yang bernilai RM13.6 bilion merupakan sebuah hab yang pesat bagi pertumbuhan dan inovasi, mencerminkan kekayaan budaya yang pelbagai di negara ini. Dari rutin kecantikan yang bermula di kala pagi, hingga ke solekan jenjang pelamin, mahupun cukuran pertama yang dibuat oleh sang pemuda, konsep kecantikan benar-benar tersulam dalam kehidupan seharian warga Malaysia. Di Malaysia, pasaran kecantikan dikuasai oleh para pengguna yang muda dan celik digital, dan pertumbuhannya dipacu oleh cita mereka terhadap kecantikan kulit, trend K-beauty yang terkini serta apresiasi yang kian meningkat ke atas rutin penjagaan diri.
Sejak pengasasannya pada tahun 1995, L’Oréal Malaysia telah berkembang menjadi syarikat kecantikan nombor satu di negara ini, membawakan produk serta perkhidmatan kecantikan yang terunggul kepada 6.7 juta pengguna di Malaysia melalui portfolio yang terdiri daripada 30 buah jenama. Portfolio yang komprehensif ini menaungi seluruh negara, menawarkan barisan produk yang luas lagi pelbagai bagi memenuhi aspirasi warga Malaysia yang kian berkembang ke atas produk-produk penjagaan kulit dan diri. Penapakan L’Oréal di Malaysia menjangkau 47,508 outlet runcit, 1,300 salon, 2,399 farmasi dan lapan platform e-dagang, ditampung oleh pusat pengedaran strategik yang terletak di Shah Alam, Selangor.
Di samping itu, Laporan Impak Sosioekonomi tersebut turut mendemonstrasikan bahawa selain operasi langsung syarikat ini, rantaian manfaat turut dirasai oleh pelbagai perniagaan dan komuniti di Malaysia dan ia merangkumi peluang pekerjaan, kemahiran dan pendapatan tambahan yang menyumbang kepada kemakmuran negara. Laporan ini menunjukkan bahawa L'Oréal Malaysia menyumbang kepada 21,609 peluang pekerjaan di seluruh negara, termasuk 590 individu yang digajikan sendiri olehnya. Satu pekerjaan L'Oréal di Malaysia menjana 36.6 lagi peluang pekerjaan melalui rantaian nilai dalam ekonomi Malaysia, membuktikan impak peneraju kecantikan ini bagi negara.
Selain sumbangan ekonominya, L'Oréal turut bertekad untuk memacu kemajuan dari sudut sosial. Pada tahun 2023, L'Oréal telah membantu 1,600+ benefisiari melalui pelaburannya dalam membangunkan bakat serta mengangkat komuniti tempatan.
Comments
Post a Comment