EKSKLUSIF DI VIU: SEADANYA KITA TAMPILKAN GANDINGAN EMMA MAEMBONG & MIERUL AIMAN


Viu Malaysia, perkhidmatan penstriman video OTT terkemuka oleh PCCW (SEHK:0008), dengan bangganya mempersembahkan drama bersiri ketujuh untuk tahun ini, Seadanya Kita (Unexpectedly Yours). Siri romantik 15 episod ini akan ditayangkan secara eksklusif di Viu bermula 7 Ogos 2025, dengan episod baharu setiap Khamis dan Jumaat.

Naratif Cinta, Keluarga dan Pilihan Hidup

Seadanya Kita mengangkat kisah Alani (Emma Maembong), seorang ibu tunggal yang sedang membina semula kehidupannya bersama anak lelaki, Iqi (Mikael Noah), selepas ditinggalkan oleh suaminya, Farouq (Shahz Jaszle). Kehidupan yang mula stabil kembali terganggu apabila Farouq muncul semula selepas lima tahun menghilang.

Dalam masa yang sama, Alani bertemu Kerol (Mierul Aiman), seorang penyanyi rock muda yang masih dibayangi masa silamnya. Hubungan profesional antara mereka perlahan-lahan berkembang menjadi sesuatu yang lebih mendalam apabila Kerol menemui ketenangan dalam keluarga kecil Alani. Tanpa disedari, Kerol mula memainkan peranan penting dalam kehidupan Iqi—peranan yang Alani sendiri belum bersedia untuk terima.

Terperangkap antara masa lalu yang menuntut peluang kedua, masa kini yang perlu dijaga, dan masa depan yang mungkin menjanjikan kebahagiaan, Alani terpaksa berdepan luka lama yang disangkanya telah lama sembuh.


Gandingan Pelakon Hebat dan Pasukan Kreatif Berpengalaman

Drama ini menampilkan gandingan pertama dua bintang tersohor Malaysia, Emma Maembong dan Mierul Aiman (W: Two Worlds), yang membawa watak mereka dengan penuh penghayatan dan emosi. Turut membintangi ialah Shahz Jaszle, Nelissa Nizam, Ara Johari, Yasmin Hani, Anas Ridzuan dan Mikael Noah.

Seadanya Kita diarahkan oleh Feroz Kader, pengarah prolifik yang kembali bekerjasama dengan Viu selepas kejayaan Pabila Dia Tersenyum. Diterbitkan oleh Global Film Station, siri ini meneruskan komitmen Viu Malaysia dalam mengetengahkan naratif tempatan yang dekat di hati penonton.

Menurut Imillya Irwani Roslan, Pengarah Produksi Viu Malaysia: “Kami amat teruja untuk membawakan Seadanya Kita kepada para penonton. Drama ini sangat istimewa kerana menampilkan gandingan pertama antara Mierul Aiman dan Emma Maembong. Keserasian mereka menjentik emosi dan kejujuran dalam sebuah kisah yang mendalam tentang cinta, keluarga dan pilihan hidup—termasuk persoalan sama ada perbezaan usia benar-benar menjadi halangan atau sekadar persepsi manusia.”


Lagu Tema Rasmi: “Berakhir Kita”

Menambahkan lagi emosi dalam naratif drama ini ialah lagu tema rasmi bertajuk “Berakhir Kita” nyanyian Syamel. Dicipta oleh Shazriq Azeman dan Omar K dari World Peace Music, balada ini dilancarkan serentak dengan tayangan siri dan kini boleh didapati di semua platform penstriman utama serta saluran YouTube rasmi Universal Music Malaysia.

Muat turun aplikasi Viu melalui App Store, Google Play, Huawei AppGallery, TV Pintar, atau layari www.viu.com.

Comments

Popular posts from this blog

ASTRO KUPAS RAHSIA KELUARGA, PEREBUTAN KUASA & HARTA ‘KERANA SEORANG LELAKI’

EKSPO PERDAGANGAN PERTANIAN “REMARKABLE SHANDONG” (MALAYSIA) 2025 DILANCARKAN DI KUALA LUMPUR: KERJASAMA CHINA-MALAYSIA MEMBUKA LALUAN BAHARU UNTUK PERDAGANGAN PERTANIAN ASEAN

F&NHB LANCAR NUTRIWELL DI MALAYSIA, PUPUK KESEJAHTERAAN SECARA SEMULA JADI