“MEH LAH JOHOR!”: CUPING & JUCY DUTA RASMI TAHUN MELAWAT JOHOR 2026


Jika anda merancang percutian ke selatan Semenanjung Malaysia pada tahun hadapan, Johor kini bersedia menyambut kedatangan anda dengan semangat baharu dan dua maskot istimewa.

Dalam satu majlis penuh simbolik yang berlangsung di Zoo Johor, Kerajaan Negeri Johor, melalui Tourism Johor dan Majestic Johor Tourism Sdn. Bhd., telah melancarkan maskot, tagline, lagu, dan video rasmi sempena Tahun Melawat Johor 2026 (VJY2026). Pelancaran ini disempurnakan oleh YAB Dato’ Onn Hafiz bin Ghazi, Menteri Besar Johor.


Duta Kecil Negeri: Cuping dan Jucy

Maskot rasmi kempen VJY2026 ialah dua ekor Harimau Malaya yang ikonik dari Zoo Johor — Cuping dan Jucy.


Cuping, harimau jantan yang lahir pada tahun 2013, melambangkan kekuatan, ketabahan, dan semangat juang rakyat Johor. Namanya diambil bersempena parut kekal di telinganya (cuping) akibat gigitan ibunya semasa kecil.

Jucy, harimau betina kelahiran tahun 2018, mencerminkan keanggunan, keramahan, dan layanan mesra (hospitality) — nilai yang amat sinonim dengan masyarakat Johor.

Bersama-sama, Cuping dan Jucy berperanan sebagai duta kecil negeri, mewakili keseimbangan yang harmoni antara kekuatan dan kelembutan, serta antara tradisi dan kemodenan.


“Meh Lah Johor!” — Tagline Panggilan Mesra

Dengan tagline yang ringkas dan mesra, “Meh Lah Johor!”, kempen ini menyeru pelancong dari dalam dan luar negara untuk datang meneroka keunikan negeri ini. Terdapat pelbagai tarikan yang ditawarkan, dari warisan budaya yang kaya, keindahan alam semula jadi, kepelbagaian kulinari, hinggalah ke destinasi moden yang menarik.

Lagu rasmi kempen, “Pesona Johor”, turut dilancarkan. Nyanyian penyanyi pemenang anugerah, Aina Abdul, lagu ini menampilkan keindahan kesemua 10 daerah Johor dengan lirik yang menyentuh perasaan. Selain itu, video rasmi VJY2026 juga dipertontonkan, menonjolkan landskap dan identiti Johor yang ingin diketengahkan ke peringkat antarabangsa.


Promosi Awal dan Sasaran Utama

Sebagai langkah awal promosi, pelekat VJY2026 kini boleh dilihat pada bas awam dan kenderaan Grab di seluruh negeri. Inisiatif ini disokong dengan tawaran 20,000 kod promosi perjalanan Grab khas untuk pelancong. Majlis pelancaran juga menyaksikan penyerahan kit promosi kepada 10 pegawai daerah bagi memastikan kempen ini dapat diperluas ke setiap pelusuk Johor.

VJY2026 bukan sekadar kempen pelancongan semata-mata. Dengan sasaran menarik 12 juta pelancong dan menjana lebih RM42 bilion hasil ekonomi, ia adalah manifestasi semangat Johor yang bersedia menyambut dunia.


Acara kemuncak pelancaran dan sambutan besar-besaran dijadualkan berlangsung pada 14 Disember 2025 di Dataran MBJB.

Untuk maklumat lanjut, sila layari Tourism Johor dan ikuti Facebook Tourism Johor.


Penghargaan

Setinggi-tinggi penghargaan kepada Gaya Travel Magazine, Tourism Johor, Tourism Malaysia, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) serta semua penaja dan rakan strategik yang menjayakan FAMTRIP Majestic Johor ini dengan penuh dedikasi. Terima kasih juga kepada rakan-rakan media yang turut serta, menjadikan setiap detik perjalanan lebih bermakna dan penuh semangat.

Dengan pelbagai pengalaman menarik dari Johor Bahru ke Kota Tinggi dan Mersing, kami kini lebih bersedia dan teruja untuk menyambut kempen pelancongan yang dinanti-nantikan.

Meh Lah Johor! — Johor sememangnya luar biasa. Jumpa anda di Visit Johor 2026!

Comments

Popular posts from this blog

PROGRAM FAMTRIP MAJESTIC JOHOR BERSAMA MEDIA SEMPENA VISIT JOHOR 2026 (13 – 16 OKTOBER 2025 /JB – KOTA TINGGI – MERSING)