"KISAH BAWAH TANAH" BAKAL “MENGHANTUI” PENGGEMAR ANIMASI DI MALAYSIA, SINGAPURA, BRUNEI & THAILAND


Siri animasi komedi baharu, Kisah Bawah Tanah, kini bersedia untuk menggegarkan persada animasi Asia Tenggara. Ia bakal ditayangkan secara rasmi di ASTRO bagi pasaran Malaysia, Singapura, dan Brunei, serta di saluran Boom di Thailand pada tahun 2026.

Berbeza dengan kebanyakan kartun tempatan yang lazimnya menyasarkan penonton cilik, Kisah Bawah Tanah mengisi kekosongan yang lama wujud dalam pasaran. Siri ini menampilkan animasi yang memang dicipta khusus untuk tontonan remaja dan dewasa muda. Ia bijak menggabungkan elemen-elemen kisah rakyat (folklore), satira, dan lawak absurd supernatural dalam sebuah pengalaman komedi unik yang berakar umbi daripada budaya Asia Tenggara.
Kebangkitan Animasi Rantau


Diterbitkan oleh Animasia Studio dan Spaceboy Studios, siri 26 episod ini menjemput penonton ke dunia surreal di mana kisah-kisah mitos tempatan bertembung dengan keresahan hidup moden. Kisahnya menyoroti pengembaraan dua sahabat karib, Sam dan Zack – jerangkung yang merayau-rayau di dunia Bawah Tanah mencari makna kehidupan.

Sepanjang perjalanan mereka, Sam dan Zack bertembung dengan pelbagai 'hantu' terkenal daripada mitos Asia Tenggara seperti pocong, pontianak, dan penanggal, yang diolah semula dengan sentuhan komedi yang amat segar.


Setiap episod ialah sebuah misadventure yang tersendiri, menggunakan huru-hara supernatural untuk memancarkan cabaran hidup kontemporari – daripada tekanan kerja, masalah kewangan, perhubungan, ekspektasi sosial, hinggalah keunikan hidup seharian yang dekat dengan masyarakat kita.

“Kisah Bawah Tanah diwujudkan untuk mengisi ruang yang hilang – suara animasi Asia Tenggara yang bercakap dengan orang dewasa,” kata Edmund Chan, Pengarah Urusan Animasia Studio. “Ia membuktikan bahawa kisah dari rantau kita ini boleh menghiburkan, nakal, dan penuh pemikiran pada masa yang sama.”


Projek ini mendapat sokongan padu daripada Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) sejak di peringkat konsep pada tahun 2018 lagi, merangkumi pembiayaan, bimbingan pembangunan, dan jaringan industri.

“MDEC berpeluang menyaksikan Kisah Bawah Tanah berkembang daripada lakaran kertas kepada IP serantau yang sedia untuk siaran. Ia bukan sahaja pencapaian pencipta, tetapi langkah penting untuk industri kandungan digital negara,” ulas Anuar Fariz Fadzil, Ketua Pegawai Eksekutif MDEC.

Selain itu, Komet Productions yang diterajui oleh Ahmad Izham Omar turut menyertai sebagai Penerbit Perunding, menyuntik pengalaman kepimpinan kreatif untuk memandu potensi jangka panjang harta intelek (IP) ini.


Kerjasama dengan ASTRO dianggap sebagai padanan semula jadi kerana kedua-dua pihak berkongsi keyakinan terhadap jenaka, budaya, dan kreativiti Malaysia. Dengan capaian ASTRO merentasi Malaysia, Singapura, dan Brunei, pelancaran siri ini akan disokong oleh promosi silang, aktivasi digital, dan kerjasama jenama bagi memperluaskan dunia Kisah Bawah Tanah melangkaui skrin televisyen.

“ASTRO sentiasa percaya dalam mengangkat cerita yang meraikan identiti Malaysia – daripada humor, tradisi, hingga kuasa imaginasi tanpa batas,” ujar Azlin Reza Azmi, Naib Presiden, Malay, International, Kids & OD, Astro Malaysia. “Kisah Bawah Tanah ialah bukti berani evolusi animasi Malaysia; ia kelakar, berani, dan bersedia untuk berdiri sebaris dengan yang terbaik di rantau ini.”

Pelancaran serantau diperkukuh dengan kerjasama bersama Boom, yang akan menayangkan siri ini kepada penonton Thailand menjelang penghujung 2026.


“Kami teruja membawa Kisah Bawah Tanah kepada penonton Thailand. Siri ini berjaya menangkap humor, hati, dan kekacauan spiritual yang difahami secara naluri oleh masyarakat Asia Tenggara. Jarang sekali animasi terasa begitu serantau tetapi pada masa sama bersifat universal,” kata Pornpoj Laohasukkasem, Ketua Pegawai Eksekutif Boom.

Dengan sokongan padu daripada ASTRO, Boom, dan rakan kreatifnya, Kisah Bawah Tanah mewakili kebangkitan suara animasi Asia Tenggara yang yakin dan kontemporari. Gabungan unik antara seram, komedi, dan sense of heart menjadikan siri ini berpotensi mencipta tempat dalam budaya pop, menghiburkan penonton untuk ketawa, berhubung, dan menghargai semula kisah-kisah rakyat yang pernah mereka dengar – termasuk yang pernah ditakuti.


“Selama berdekad, mitos rantau kita hanya hidup dalam bisikan dan bayangan. Dengan Kisah Bawah Tanah, kami akhirnya memberi mereka pentas yang selayaknya. Dunia perlu tahu bahawa kisah rakyat dari rantau ini sama pelik, menarik, dan menghiburkan,” kata Hendra Wardi, Pencipta Bersama & Penerbit Eksekutif Spaceboy Studios.

Comments

Popular posts from this blog

GAME ON THEME PARK BAWA DIMENSI LIBURAN BAHARU DI THE MINES

HARVEY NORMAN MERIAHKAN SAMBUTAN PERAYAAN KRISMAS DENGAN "THE BIG CHRISTMAS SALE"

RESTORAN CIKGU LEE: CITARASA TRADISI CINA MUSLIM DI TAMAN MELAWATI