DI SEBALIK JUBAH: AZIRA SHAFINAZ & DAIYAN TRISHA BERDEPAN ISU PENYELEWENGAN DANA KEBAJIKAN
Apabila agama digunakan sebagai alat manipulasi dan kepercayaan diperdagangkan, kebenaran menjadi perkara paling mudah dikaburkan. Bermula 22 Januari 2026, Di Sebalik Jubah membawa penonton menyusuri sisi gelap dunia kebajikan menerusi siri jenayah lapan episod yang disiarkan secara eksklusif di Tonton setiap Isnin dan Khamis.
Siri ini mengisahkan Layla (Azira Shafinaz) dan Amina (Daiyan Trisha), dua beradik pempengaruh Islamik yang dipuja ramai serta dikenali sebagai simbol kebaikan dan kemurahan hati. Dengan imej berjubah dan aura kesucian, mereka mengetuai Laymina Shares, sebuah yayasan kebajikan yang berjaya meraih kepercayaan orang ramai, sekali gus menggerakkan ribuan pengikut untuk menderma melalui setiap kempen yang dijalankan.
Namun di sebalik kejayaan kutipan dana yang besar, timbul persoalan apabila sebahagian sumbangan tidak disalurkan kepada golongan sasaran, sebaliknya digunakan untuk kepentingan peribadi. Kecurigaan mula tercetus apabila Rashid (Nafiz Muaz), seorang dermawan muda yang pada awalnya mengagumi perjuangan mereka, mula meragui kesahihan projek-projek kebajikan yang dijalankan.
Dengan bantuan Rashid, satu demi satu rahsia tersingkap, lantas menguji kepercayaan awam serta hubungan dua beradik itu apabila kebenaran tidak lagi dapat disembunyikan.
Ketika imej dan populariti menjadi ukuran kepercayaan, sejauh manakah nilai sebenar keikhlasan serta kebenaran sanggup diketepikan demi menjaga nama dan pengaruh?
Menurut Daiyan Trisha, watak Amina menggambarkan konflik moral yang sering berlaku dalam masyarakat hari ini. “Amina terperangkap dalam keadaan yang menekan, terikat dengan keluarga, namun pada masa sama sedar ada sesuatu yang tidak betul. Inilah yang menjadikan cerita ini relevan, kerana ia memperlihatkan bagaimana imej dan kuasa boleh mempengaruhi pilihan yang sepatutnya berlandaskan nilai.”
Jangan ketinggalan untuk menyaksikan Di Sebalik Jubah, siri yang mengupas keyakinan yang dikhianati, agenda tersembunyi dan konflik kasih sayang keluarga, secara eksklusif di Tonton minggu ini.
Untuk maklumat lanjut tentang rancangan kegemaran anda, ikuti tonton di Facebook, Twitter, TikTok dan Instagram di @tontonmy.
.jpg)
Comments
Post a Comment