LAUGH OUT LOUD ENTERTAINMENT LANCAR IKLAN RAYA "BILA" DENGAN KERJASAMA MILO


Sempena kehadiran Aidilfitri yang penuh makna, Laugh Out Loud Entertainment SDN BHD hari ini secara rasmi melancarkan Iklan Raya terbaharu berjudul “Bila”, dalam satu majlis sidang media yang berlangsung di The Camelot, Royal Chulan Damansara.

Dengan sokongan penaja rasmi, Milo, “Bila” merupakan sebuah iklan Raya yang diarahkan oleh Nadhir Nasar, menampilkan penceritaan yang ringan, dekat dengan realiti dan sarat dengan emosi.

Iklan ini mengisahkan tentang Siti, seorang wanita bekerjaya yang melihat Raya bukan sekadar perayaan, tetapi juga musim tekanan. Pada usia 30 tahun, setiap kali balik kampung dipenuhi soalan panas: “Bila nak kahwin??” jadi demi mengelak desakan keluarga, Siti mengupah ‘fake boyfriend’ setiap tahun. Namun Raya kali ini berbeza apabila Alif, pelakon sambilan yang diupahnya, tanpa sengaja menawan hati seluruh keluarga, sekaligus membuatkan Siti berdepan dengan hakikat bahawa kejayaan kerjaya yang dikejar mungkin telah menjauhkan dirinya daripada orang tersayang.

Melalui sentuhan pengarahan Nadhir Nasar, naskhah ini disampaikan dengan gabungan komedi, emosi, dan kehangatan keluarga tanpa berlebihan, tetapi cukup untuk membuat penonton tersenyum dan tersentuh, serta turut mengetengahkan realiti tekanan sosial semasa musim perayaan, sambil mengajak penonton menghargai makna sebenar keluarga, kejujuran, dan hubungan yang tulus.Iklan ini dibintangi oleh barisan pelakon popular seperti Yusuf Bahrin, Areef Amran, Erysha Emyra, Ezzanie Jasny, Auni Yusri, Syad Mutalib, serta penampilan istimewa penyanyi bersuara emas, Liza Hanim.


“Bekerja bersama rakan-rakan di bawah pengurusan yang sama sentiasa menjadi sesuatu yang istimewa lebih-lebih lagi apabila kami berkolaborasi dalam projek yang saya arahkan. Bangga untuk terus melangkah, membesar dan mencipta bersama LOL management,” ujar Nadhir Nasar yang memegang predikat pengarah untuk projek LOL kali ini.

Menurut wakil produksi, iklan ini dihasilkan dengan pendekatan penceritaan yang santai dan jujur kerana isu yang diketengahkan sangat dekat dengan realiti masyarakat hari ini.

“Soalan ‘bila’ itu mungkin kedengaran biasa, tetapi di sebaliknya ada tekanan, kerinduan dan emosi yang jarang diluahkan. Kami mahu sampaikan kisah ini dengan cara yang ringan, tetapi bermakna.”

Iklan Raya “Bila” akan diterbitkan secara rasmi di saluran YouTube Laugh Out Loud Entertainment Sdn Bhd pada Sabtu, 7 Mac 2026 jam 8.00 malam, dan dijangka menarik perhatian penonton yang gemarkan kisah komedi romantik dengan sentuhan kekeluargaan.

Majlis pelancaran turut diserikan dengan tayangan eksklusif, persembahan khas serta sesi soal jawab bersama media sebelum diteruskan dengan majlis berbuka puasa dalam suasana Ramadan yang penuh kemesraan.

Comments

Popular posts from this blog

MENYATUKAN EKOSISTEM PENCIPTA KANDUNGAN DIGITAL, JENAMA DAN PENJUAL BAGI MEMPERKUKUH PENGALAMAN MEMBELI-BELAH PENGGUNA PADA 2026