PAMI KEMBALI DENGAN CRY JAR, POP MANIS PENUH SINDIRAN
Selepas mencuri tumpuan industri muzik dengan aura yang cukup bertenaga, bintang muda berbakat besar di bawah naungan Juicey iaitu Pami kini kembali mengubati rindu peminat. Hadir dengan single terbaharu berjudul Cry Jar, naskhah ini sarat dengan elemen sindiran halus yang dibalut kemas dalam melodi pop yang cukup manis.
Pelancaran ini menyusul sejurus selepas kejayaan album sulungnya, Puffette, yang menerima pujian melambung daripada pengkritik muzik. Malah, Pami baru sahaja dinobatkan sebagai penerima anugerah Best Hidden Gem of the Year di TOTY Music Awards yang berlangsung di Thailand, baru-baru ini.
Meskipun tampil dengan rentak pop yang ringan dan mudah diterima, Cry Jar sebenarnya menyimpan taring pada liriknya yang sinis. Pami membawakan konsep unik iaitu balang pampasan emosi sebagai simbolik kepada setiap titisan air mata yang tumpah akibat disakiti. Menurut Pami, lagu ini merupakan satu pesanan sinis bahawa jika seseorang tidak mahu serius dalam bercinta, mereka tetap perlu membayar harga atas luka yang ditinggalkan. Setiap kali air mata tumpah, ia akan dikumpul di dalam balang tersebut sebagai bukti kesakitan yang tidak pernah hilang.
Dihasilkan sewaktu menyertai kem penulisan lagu di Sydney, Australia, Cry Jar sengaja digarap dengan bunyi yang ceria dan hampir manis bagi mengimbangi liriknya yang sinis. Pami menyifatkan lagu ini sebagai sebuah jenaka gelap yang mencerminkan realiti hubungan masa kini. Beliau tidak mahu lagu ini kedengaran terlalu berat atau dramatik, sebaliknya mahu menonjolkan bahawa setiap kerosakan emosi yang dilakukan oleh seseorang tanpa peduli sebenarnya datang dengan harga yang mahal.
Sejak kemunculan sulungnya menerusi EP Out of Nowhere pada 2024, Pami pantas menjadi sebutan global hasil vokal yang memikat dan gaya pop yang segar. Kedudukannya sebagai wajah baharu muzik Asia semakin kukuh selepas kejayaan album Puffette pada tahun lalu. Dalam tempoh setahun kebelakangan ini, Pami terus menyerlah di pentas festival antarabangsa seperti LaLaLa Festival di Indonesia, BiKN Shibuya di Jepun, Zandari Festa di Korea Selatan, serta Bangkok Music City di Thailand. Menerusi Cry Jar, Pami sekali lagi membuktikan kematangannya dalam berkarya dengan mengubah rasa pedih menjadi naskhah seni yang mampu menyentuh hati pendengar.
Dengarkan Cry Jar sekarang di semua platform penstriman digital termasuk Spotify, Apple Music, dan YouTube.
.jpg)
.jpg)
Comments
Post a Comment