“AJAR AKU” SATUKAN DUA DUNIA MUZIK DALAM KOLABORASI UNIK AIZAT AMDAN & SOG


Nama Aizat Amdan sinonim dengan balada dan pop alternatif sejak lebih dua dekad lalu. Namun kali ini, penyanyi dan komposer itu tampil berani dengan single terbaharu berjudul “Ajar Aku”, hasil kolaborasi bersama kumpulan post-hardcore popular, Sekumpulan Orang Gila (SOG).

Diterbitkan di bawah Kasi Gegar Entertainment (KGE), karya ini bukan sekadar gabungan dua genre berbeza, tetapi simbol keberanian untuk keluar daripada zon selesa. “Ajar Aku” mengadun kelembutan melodi dan penceritaan emosional Aizat dengan tenaga agresif serta kekuatan bunyi SOG, menghasilkan pop rock progresif dengan sentuhan sinematik moden.


Menariknya, lagu ini tercipta secara organik ketika rakaman Dari Studio Podcast kendalian Aizat. SOG yang hadir sebagai tetamu episod Mei tahun lalu akhirnya menjadi sebahagian daripada proses kreatif, melahirkan idea spontan yang berkembang menjadi single rasmi. Detik awal penghasilan lagu ini boleh ditonton melalui episod Dari Studio EP34 di YouTube.

Dari segi naratif, “Ajar Aku” menyentuh soal keberanian merendahkan ego demi menerima ilmu dan kasih sayang. “Kadang-kadang kita terlalu ego untuk menerima nasihat, sedangkan proses belajar itu sendiri adalah sebahagian daripada kehidupan,” kata Aizat.

Gabungan Vokal Soulful & Post-Hardcore

Lagu ini mempertemukan vokal soulful Aizat dengan suara keras dan agresif Raja Nazrin Shah (SOG). Proses rakaman menjadi cabaran besar untuk mencari keseimbangan antara dua dunia muzik, namun hasilnya melahirkan dinamika unik. Susunan muzik oleh Anas Amdan menambah elemen strings dan tekstur sinematik yang memperkuatkan skala dramatik karya tersebut.


Lebih istimewa, bahagian vokal wanita di penghujung lagu dirakam sendiri oleh Yuna. Pada asalnya, bahagian itu hanyalah demo menggunakan suara AI, namun Yuna yang kebetulan berada di studio menawarkan diri untuk merakamkan vokal sebenar. Kehadirannya memberi nyawa baharu dan dorongan untuk menghasilkan video muzik rasmi.

Bagi Aizat, “Ajar Aku” bukan sekadar eksperimen mencampurkan genre, tetapi usaha memperluaskan landskap muzik tempatan dengan pendekatan berani. “Saya mahu lagu ini menjadi timeless dan terus relevan walaupun masa berlalu,” ujarnya.


Single “Ajar Aku” kini boleh distrim di semua platform digital utama termasuk Apple Music, Spotify dan YouTube.

Comments

Popular posts from this blog

FORUM AI & PERUNDANGAN 2026 MENEROKA MASA DEPAN BIDANG PERUNDANGAN

MEMUPUK GENERASI KANAK-KANAK BIJAK: FERNLEAF LANCAR SUSU TEPUNG RUMUSAN UNTUK KANAK-KANAK DENGAN NUTRISI SMARTGRO™ DIPERTINGKAT UNTUK MEMENUHI KEPERLUAN KANAK-KANAK MODEN KINI

MALAYAN FLOUR MILLS BERHAD RAIKAN ULANG TAHUN KE-60 TAHUN, PERLUAS EKOSISTEM MAKANAN BERSEPADU DENGAN PELANCARAN PRODUK SEDIA DIMAKAN