SYAFIQ KYLE, BETO KUSYAIRY DAN MIMI LANA BERGANDINGAN DALAM HAK: TUNTUT ATAU TUNDUK
Astro Shaw, dengan kerjasama Etika Sdn Bhd (menerusi jenama 7UP dan Mirinda), Enotech Pictures dan Icon Pictures, terus memperkukuhkan industri perfileman tempatan menerusi filem terbaharu mereka, HAK: Tuntut Atau Tunduk.
Berlatarbelakangkan komuniti yang semakin berkembang dan realiti tempat kerja yang kian berubah, filem ini mengetengahkan sebuah karya reflektif mengenai perubahan sosial yang membentuk kehidupan harian rakyat Malaysia masa kini. Ia menyentuh tema maruah, tanggungjawab, integriti dan hubungan sesama manusia, sambil mengajak penonton merenung nilai-nilai yang membentuk cara masyarakat hidup, bekerja dan berinteraksi.
Diarahkan oleh pengarah terkenal Ezrie Gazali, dengan skrip tulisan Alfie Palermo berdasarkan konsep asal oleh Santharuban Thurai Sundaram, HAK: Tuntut Atau Tunduk dibangunkan sebagai sebuah karya berani yang mencerminkan realiti masyarakat Malaysia.
Sebagai rakan strategik, Etika menyertai projek ini melalui jenama 7UP dan Mirinda untuk menyokong karya yang bukan sahaja menghiburkan, tetapi juga mencetuskan perbualan sosial yang bermakna.
Filem ini dibintangi oleh Syafiq Kyle, Beto Kusyairy, Kodi Rasheed, Mimi Lana, Fadhli Masoot, Aziz M. Osman, Radhi Khalid, Rubini Sambanthan, El Umar Mokhtar dan Fizz Fairuz. Menariknya, ia turut menandakan kolaborasi pertama di layar antara Syafiq Kyle dan Beto Kusyairy.
Kini dalam fasa produksi aktif di sekitar Lembah Klang, penggambaran dijalankan di lokasi autentik seperti pasar awam dan kawasan pangsapuri kediaman bagi menampilkan visual realistik yang memperkayakan penceritaan emosional. Filem ini dijadualkan menemui penonton di pawagam seluruh negara pada penghujung tahun ini.
Menurut Raja Jastina Raja Arshad, Penerbit Eksekutif merangkap Ketua Astro Shaw, HAK: Tuntut Atau Tunduk dibangunkan dengan pendekatan lebih berani, berlatarkan realiti ekonomi mencabar serta isu hak masyarakat yang terjejas akibat sistem dan dominasi warga asing. Beliau menekankan bahawa naratif sebegini wajar dikupas dengan mendalam agar penonton dapat melihat isu dari sudut pandang berbeza.
Amy Gan, Naib Presiden Pemasaran Etika Sdn Bhd yang turut bertindak sebagai Penerbit Eksekutif, menambah bahawa projek ini bukan sekadar hiburan, tetapi juga mencerminkan realiti sosial yang sedang membentuk masyarakat. Menurutnya, perbualan mengenai hak berkait rapat dengan tanggungjawab, maruah kerja yang jujur, serta nilai yang perlu dihargai dan diwariskan.
HAK: Tuntut Atau Tunduk mengisahkan Hakim (Syafiq Kyle), seorang pegawai operasi pasar awam yang terdesak mendapatkan wang menjelang kelahiran anak pertamanya. Keadaan itu membawanya ke jalan eksploitasi sehingga memberi kesan kepada pekerja asing di sekelilingnya. Namun, kehidupannya berubah apabila menemui sebuah beg berisi wang tunai, sekali gus meletakkan dirinya dan keluarga dalam buruan pihak yang mahu merampas kembali wang tersebut.
Mampukah Hakim melindungi insan tersayang sebelum semuanya terlambat? Nantikan HAK: Tuntut Atau Tunduk di pawagam seluruh negara pada penghujung tahun ini. Ikuti platform media sosial rasmi Astro Shaw untuk klip eksklusif dan perkembangan terkini.
.jpg)
Comments
Post a Comment