ROSYAM NOR HIDUPKAN WATAK PENTAKSUB KUASA DALAM DRAMA TERBAHARU

 “Ada manusia yang terlalu sempurna di mata ramai, kerana mereka tidak pernah membuka topeng sebenar.” Terbaharu di slot Samarinda TV3, Jiwa Seorang Pentaksub membawa penonton menyelami sisi gelap seorang pemimpin berpengaruh yang dipuja rakyat, namun tenggelam dalam obsesi terhadap kuasa dan wanita sehingga memusnahkan semua di sekelilingnya.

 

Drama 25 episod arahan Nur Ain Sharif dan terbitan Suhan Movies ini menampilkan Datuk Rosyam Nor sebagai Firzan, seorang lelaki yang membina empayar politiknya sebelum menjadi figura yang disanjung masyarakat. Turut dibintangi Sophia Albarakbah, Rita Rudaini, Shahz Jaszle, Ady Mohammad dan Ariff Idrus, drama ini bakal bersiaran mulai 1 Jun 2026, setiap Isnin hingga Khamis, jam 10.00 malam di TV3.

 

Bermula sebagai pemandu peribadi kepada seorang ahli politik berpengaruh, Firzan (Datuk Rosyam Nor) perlahan-lahan belajar bahawa kuasa mampu mengubah segalanya. Dari situlah dia mula menggunakan perkahwinan sebagai jalan untuk membuka ruang dalam dunia politik sebelum berjaya membina pengaruh dan empayarnya sendiri.

 

Namun dalam dunia Firzan, kuasa mengatasi segalanya, termasuk keluarganya sendiri. Kehadiran Diana (Sophia Albarakbah), seorang pempengaruh media sosial terkenal yang juga teman wanita anaknya, Aiman (Ady Mohammad), mula mencetuskan ketegangan apabila Firzan mula memanipulasi keadaan demi memiliki wanita tersebut untuk dirinya sendiri.

 

Dalam masa sama, seorang lagi anaknya, Aidil (Shahz Jaszle), masih belum mampu menerima Firzan semula dalam hidupnya selepas sekian lama menyimpan kebencian terhadap bapanya itu.

 

Sementara itu, Suri (Rita Rudaini) menjadi individu paling setia yang sentiasa berada di sisi Firzan dan menyimpan terlalu banyak rahsia gelap tentang lelaki tersebut. Namun apabila topeng mula retak dan semakin banyak rahsia terbongkar, siapakah sebenarnya yang sedang memanipulasi siapa?

 

Menurut Datuk Rosyam Nor, Firzan merupakan watak yang sanggup melakukan apa sahaja demi kuasa dan kepuasan dirinya sendiri. “Firzan ni fikir dia sentiasa rasa dia betul. Dia tak nampak dirinya sebagai penjahat dan bijak bermain dengan persepsi supaya orang percayakannya. Saya pasti penonton akan geram dan menyampah dengan sikap Firzan yang tak pernah rasa cukup dengan apa yang dia ada,” katanya.

 

Jangan lepaskan peluang menyaksikan Jiwa Seorang Pentaksub mulai 1 Jun 2026, setiap Isnin hingga Khamis, jam 10.00 malam di slot Samarinda TV3.

 

Penonton boleh menonton episod baharu secara eksklusif di iQIYI, 1 jam selepas siaran di TV3, sama ada melalui laman web iQIYI atau aplikasi di Google Play dan App Store.

 

Untuk maklumat lanjut dan perkembangan terkini, ikuti TV3 di Facebook, X, YouTube dan Instagram @TV3Malaysia, serta Instagram rasmi Drama Sangat di @dramasangat.

 


Comments

Popular posts from this blog

REVIEW: SAMBAL SIGNATURE CHEF WAN YANG MENGGELETEK LIDAH

FORUM AI & PERUNDANGAN 2026 MENEROKA MASA DEPAN BIDANG PERUNDANGAN

DRAMA BAHARU AKASIA TV3: “LUKA DI HUJUNG SETIA” GANDINGKAN DATO’ ADI PUTRA & ZARA ZYA