WCT MENYOKONG KOMUNITI SETEMPAT MELALUI INISIATIF HARI RAYA AIDILADHA



WCT Holdings Berhad (“WCT”), sebuah syarikat pemegangan pelaburan dengan perniagaan dalam bidang kejuruteraan dan pembinaan, pembangunan hartanah, serta pelaburan dan pengurusan pusat beli-belah, hotel, dan penerbangan perniagaan menzahirkan komitmennya terhadap kesejahteraan komuniti melalui inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) Hari Raya Aidiladha yang diadakan di Surau Al- Mukmin, Taman Mutiara Gombak.

Dianjurkan di bawah WCTGives dan dipandu menerusi tonggak #WeCareTogether, inisiatif ini bertujuan untuk menyokong komuniti setempat di samping menyemarakkan semangat keprihatinan, perpaduan dan berkongsi rezeki semasa musim perayaan.

Sebagai sokongan kepada inisiatif ini, WCT dan Surau Al-Mukmin berganding bahu melaksanakan ibadah korban, mencerminkan keprihatinan dan sokongan bersama terhadap komuniti setempat. Daging korban telah diagihkan kepada hampir 200 golongan asnaf dan B40 di kawasan setempat, bagi memastikan inisiatif tersebut memberi manfaat secara bermakna kepada mereka yang memerlukan.

Dato’ Lee Tuck Fook, Pengarah Urusan Kumpulan WCT berkata, “program ini mencerminkan komitmen berterusan WCT dalam memperkukuh peranan korporatnya sebagai rakan pembangunan negara yang bertanggungjawab dan prihatin terhadap komuniti. Di WCT, kami percaya bahawa pembangunan komuniti yang mampan bukan sahaja tertumpu kepada pembangunan fizikal, tetapi juga merangkumi aspek kebajikan, nilai kemasyarakatan dan semangat kebersamaan. Melalui program ini, kami berharap dapat menyumbang sebagai tanda keprihatinan dan sokongan korporat kepada komuniti setempat, khususnya dalam menceriakan sambutan Aidiladha bagi golongan yang memerlukan.”

Mewakili WCT pada program tersebut ialah Halmiaskandar Kasmiri, Ketua Jabatan Audit Dalam, WCT Holdings Berhad, yang turut bersama wakil Surau Al-Mukmin dan komuniti setempat dalam menjayakan program berkenaan.

Program tersebut turut merangkumi sesi memasak secara gotong-royong yang melibatkan pihak Surau Al-Mukmin dan komuniti setempat, sekali gus memupuk semangat kebersamaan dan penyertaan komuniti, diikuti dengan pengagihan daging korban kepada keluarga asnaf dan B40 di kawasan sekitar.


Dilancarkan pada 2022, WCTGives mencerminkan komitmen WCT untuk mengimbangi keuntungan dengan tujuan murni serta menjana nilai bersama untuk perniagaan dan masyarakat melalui tiga tonggak utama, iaitu #WeCareTogether, #AGreenerTomorrow dan #EducationForAll. Setiap tonggak memberi tumpuan kepada program yang bertujuan memperkaya kehidupan komuniti, menyediakan sokongan pendidikan kepada golongan kurang berkemampuan, serta memelihara alam sekitar. WCT memperuntukkan sebahagian daripada jumlah pendapatan tahunannya untuk membiayai pelbagai program CSR di seluruh bahagian perniagaannya

Untuk maklumat lanjut mengenai WCTGives, layari www.wct.com.my/sustainability/wctgives

 

Comments

Popular posts from this blog

REVIEW: SAMBAL SIGNATURE CHEF WAN YANG MENGGELETEK LIDAH

FORUM AI & PERUNDANGAN 2026 MENEROKA MASA DEPAN BIDANG PERUNDANGAN

DRAMA BAHARU AKASIA TV3: “LUKA DI HUJUNG SETIA” GANDINGKAN DATO’ ADI PUTRA & ZARA ZYA

LEGO MY PLAY FESTIVAL CETUS FENOMENA DI SURIA KLCC DAN KLCC PARK, RAI SAMBUTAN LEGO TERBESAR DI MALAYSIA