FILEM AKSI DRAMA “BLUEFISH” MERIAHKAN MIFFEST KE-9, CECILIA CHOI BAKAL HADIR DI TAYANGAN PERDANA MALAYSIA
Festival Filem Antarabangsa Malaysia ke-9 (MIFFest) bakal menyaksikan Tayangan Perdana Malaysia bagi filem aksi drama penuh emosi Bluefish (청어), arahan pengarah Korea Selatan terkenal Lee Sang-hoon dan diterbitkan oleh Presiden serta Pengasas MIFFest, Joanne Goh.
Filem ini menampilkan kerjasama Pan-Asia yang menggabungkan bakat dari Korea Selatan, Hong Kong, Malaysia dan Indonesia, dengan kisah menyentuh hati tentang penebusan, ketabahan dan hubungan sesama manusia.
Barisan pelakon hebat termasuk aktor Korea Selatan Ji Seung-hyun (The Swordsman, Holy Punch), pelakon Hong Kong berbakat Cecilia Choi yang pernah meraih Pelakon Wanita Terbaik di Hong Kong Film Critics Society Awards menerusi Beyond the Dream, serta penampilan khas bintang aksi antarabangsa Yayan Ruhian (The Raid, Star Wars: The Force Awakens, John Wick: Chapter 3 – Parabellum).
Mengangkat kisah seorang pengembara yang dihantui masa silam penuh keganasan, hidupnya berubah selepas bertemu seorang wanita bisu. Pertemuan itu berkembang menjadi perjalanan mendalam tentang penyembuhan, belas kasihan dan penebusan, sekali gus menonjolkan kuasa hubungan manusia dalam situasi paling gelap.
Sorotan utama festival kali ini ialah kehadiran Cecilia Choi di Kuala Lumpur, yang dijangka menjadi antara penampilan paling dinanti peminat dan media. Kehadirannya memberi peluang eksklusif untuk meraikan Bluefish bersama salah seorang bakat paling menyerlah dalam sinema Hong Kong.
Difilemkan di Korea Selatan dengan kerjasama antarabangsa merentasi pelbagai negara, Bluefish menggabungkan penceritaan penuh emosi dengan aksi mendebarkan, menjanjikan pengalaman sinematik segar yang merentas budaya dan generasi.
Dengan tayangan perdana Malaysia di MIFFest ke-9, Bluefish dijangka menjadi antara judul paling dinanti tahun ini. Jadual tayangan, acara karpet merah dan aktiviti festival akan diumumkan menjelang penganjuran rasmi di www.miffest.com.my
.jpg)
.png)
.jpg)
Comments
Post a Comment