KONSERT MAJLIS TERTINGGI ROCKQUEEN ELLA: ‘HOMECOMING’ EDISI 60 PERMATA BIRU KINI DI SETIA SPICE ARENA, 22 OGOS INI
Hitman Solutions bersama Rockqueen hari ini mengumumkan bahawa konsert “Majlis Tertinggi Rockqueen Ella: Homecoming Edisi 60 Permata Biru” akan berlangsung di Setia SPICE Arena, Pulau Pinang pada 22 Ogos 2026, berbanding tarikh dan lokasi yang diumumkan sebelum ini.
Perubahan ini dibuat selepas penelitian menyeluruh oleh pihak penganjur bersama pasukan produksi dan artis, dengan matlamat untuk memberikan pengalaman konsert yang lebih optimum, selesa dan bermakna buat para peminat yang bakal menghadiri konsert kepulangan istimewa Ella ke negeri kelahirannya.
Pengalaman Lebih Dekat, Imersif & Nostalgik
Pemilihan Setia SPICE Arena dilihat sebagai langkah terbaik untuk memperkukuh pengalaman penonton menerusi susun atur yang lebih dekat dengan pentas, sistem akustik yang lebih terkawal serta suasana persembahan yang lebih imersif.
Selain itu, lokasi tertutup ini turut menawarkan perlindungan daripada sebarang ancaman cuaca yang tidak menentu seperti hujan atau ribut, di samping menyediakan kemudahan akses, pengangkutan dan logistik yang lebih mesra pengunjung.
Lebih istimewa, Setia SPICE Arena turut mempunyai nilai sentimental yang tersendiri dalam perjalanan seni Ella. Lokasi yang sama pernah menjadi saksi kejayaan konsert “Jilid Akhir: Ella Puteri Kota” yang mencatat kehadiran lebih 14,000 peminat, sekali gus menjadikannya lokasi yang cukup sinonim dengan hubungan erat antara Ella dan peminatnya di Pulau Pinang.
Naik Taraf Berdasarkan Permintaan Peminat
Menurut pihak penganjur, keputusan untuk memindahkan lokasi konsert ke Setia SPICE Arena turut didorong oleh maklum balas dan permintaan ramai yang mengharapkan kemeriahan pengalaman serupa Jilid Akhir lalu dapat diulang semula di situ.
Justeru, perubahan ini boleh dianggap sebagai satu penambahbaikan yang memberi nilai tambah kepada keseluruhan pengalaman konsert, sambil mengekalkan visi asal penganjuran “Homecoming Edisi 60 Permata Biru” sebagai sebuah perayaan istimewa sempena ulang tahun ke-60 Ella.
Walaupun penganjur pada asalnya berhasrat untuk mengekalkan tarikh 25 Julai 2026, namun kekangan ketersediaan venue menjadikan 22 Ogos 2026 sebagai pilihan terbaik yang tersedia demi merealisasikan pengalaman konsert yang lebih berkualiti.
Tiket Kekal Pada Harga Asal
Pihak penganjur turut mengesahkan bahawa harga tiket akan kekal seperti yang diumumkan sebelum ini.
Bagi pemegang tiket sedia ada, tiket yang telah dibeli akan dipindahkan secara automatik kepada tempat duduk yang mempunyai nilai setara di Setia SPICE Arena tanpa sebarang kos tambahan. Maklumat lanjut mengenai proses penempatan semula lokasi setiap tempat duduk akan dimaklumkan secara terus kepada para pembeli dalam masa terdekat.
Meneruskan semangat kempen Peace, Love & Rindu, sebanyak RM2 daripada setiap tiket yang terjual akan disalurkan kepada organisasi kebajikan terpilih berdasarkan pilihan pembeli tiket. Sumbangan bagi kategori Peace akan disalurkan kepada Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Pulau Pinang, kategori Love kepada Yayasan Kebajikan Negara (YKN), manakala kategori Rindu kepada Yayasan Kebajikan Artis Tanahair.
Penampilan Istimewa Datuk Ramli Sarip & Ziana Zain
Menambahkan lagi keterujaan peminat, konsert ini bakal menampilkan dua nama unggul industri muzik tanah air iaitu Datuk Ramli Sarip dan Ziana Zain sebagai (Ahli Majlis Tertinggi) artis jemputan istimewa.
Beberapa nama artis jemputan lain turut akan diumumkan dalam masa terdekat.
Tema “90’s Glam Rock: Battle of The Bands”
Bersempena tema rasmi konsert, para peminat disaran tampil hadir dengan gaya “90’s Glam Rock: Battle of The Bands” yang cukup sinonim dengan perjalanan awal karier Ella.
Elemen fesyen jaket dan denim, serta jaket dan but kulit antara penataan sesuai sebagai contoh merujuk kepada era “glam and grunge” yang pernah mewarnai dunia muzik rock tempatan, khususnya imej dan fesyen ikonik Ella & The Boys waktu dekad tersebut.
Pesan Ratu Rock & Komitmen Pihak Penganjur
Mengulas mengenai perubahan ini, Ella menyambut baik keputusan tersebut demi memastikan penggemar dan peminat menerima pengalaman terbaik.
“Seperti biasa, keutamaan saya adalah untuk memberikan yang terbaik kepada semua dan memastikan setiap persembahan menjadi pengalaman yang istimewa. ‘Homecoming’ inshallah akan tetap berlangsung, saya sangat teruja untuk kembali bertemu mereka di Utara yang sentiasa menyokong perjalanan seni saya,” kata Ella.
Sementara itu, Ketua Projek Khas Hitman Solutions, Keeran D berkata keputusan tersebut dibuat selepas perbincangan terperinci bersama semua pihak yang terlibat.
“Selepas melalui pelbagai pertimbangan bersama semua pihak berkaitan, kami yakin perubahan ini akan memberikan pengalaman yang lebih baik secara keseluruhan kepada para penonton. Setia SPICE Arena menawarkan persekitaran yang lebih sesuai untuk merealisasikan sebuah persembahan yang benar-benar setaraf dengan status Ella sebagai satu-satunya ikon ratu rock negara.
“Walaupun kami pada asalnya berharap untuk mengekalkan tarikh 25 Julai, cuma ketersediaan venue menjadikan 22 Ogos sebagai pilihan terbaik yang dapat memenuhi keperluan produksi serta pengalaman penonton,” jelasnya.
Penghargaan Kepada Rakan Media dan Kebajikan
Pihak penganjur merakamkan penghargaan kepada Era FM, Sinar FM, Mix FM dan Lite FM selaku rakan radio rasmi, serta Astro Gempak sebagai rakan media digital bagi konsert ini.
Untuk maklumat lanjut dan pembelian tiket, layari www.hitmanlive.com serta ikuti media sosial Hitman Solutions untuk perkembangan terkini.
Sebarang pertanyaan media boleh diajukan menerusi talian +6012-2655783 atau e-mel concerts@hitman.group.
.jpg)
.jpg)
.jpg)
Comments
Post a Comment